MENU
 

TEKS UCAPAN

YBRS TUAN HAJI SHAMSUL SHAHRIL BADLIZA

BIN MOHD NOOR S.M.S, A.M.S

YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

 

DI MAJLIS LAFAZ AKUAN TERIMA JAWATAN YANG DIPERTUA MPS

1 OKTOBER 2019 (SELASA)

10.00 PAGI, BILIK SIANTAN, MPS

 

 

 

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Terima kasih pengacara majlis,

 

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Juhari Bin Ahmad,

Timbalan Yang Dipertua MPS

 

Yang Berusaha Tuan Haji Azhar Bin Samsuri

Penolong Setiausaha Majlis Perbandaran Selayang

 

YAD. Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj. Wan Mahmood Bin Pa’ Wan Teh

Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Gombak

 

Yang Berusaha Tuan Amir Fazlee bin Khalid

Ketua WHIP

 

Yang Dihormati Ahli-Ahli Majlis,

Para pengarah jabatan,

Pegawai-pegawai, pihak media, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

 

 

Assalamualaikum  warahmatullahi  wabarakatuh,

Salam sejahtera dan Salam Selayangku Sayang

 

Alhamdulillah, kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnianya, dapat kita berkumpul pada hari yang bersejarah ini sempena Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang.

 

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH ATAS PELANTIKAN

 

Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Hj Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor di atas keprcayaan beliau melantik saya sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang. Setinggi-tinggi penghargaan jua kepada Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang memberikan sokongan atas pelantikan saya ini.

Untuk makluman, saya telah melapor diri di MPS pada 18 September 2019 yang lalu. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan para pengarah yang telah menyambut baik kedatangan saya ketika saya melapor diri dan juga telah membentangkan sedikit sebanyak mengenai latar belakang dan struktur MPS kepada saya.

 

YAD Tan Sri, YBhg Dato’ Datin, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

Seperti semua sedia maklum, pelantikan Yang Dipertua adalah berpandukan peruntukan yang diberi kepada pihak berkuasa negeri di bawah akta kerajaan tempatan 1976. Amanah dan tanggungjawab ini amatlah berat dan penting untuk saya menerajui MPS. Saya mengharapkan sokongan dan kerjasama Ahli-Ahli Majlis dan semua pengarah jabatan dalam membentuk pelan perancangan pembangunan dan peningkatan hasil MPS. Ianya adalah untuk memastikan MPS akan terus maju dan berdaya saing melalui sumbangan tuan-tuan dan puan-puan terhadap khidmat nasihat serta kepakaran dalam bidang masing-masing.

Pada hari pertama saya melapor diri, saya dimaklumkan bahawa MPS memilik pelbagai aset yang dapat memberi kemudahan kepada masyarakat. Kita memiliki stadium yang digunapakai untuk perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia, gerai-gerai dan sebagainya. Saya berpendapat bahawa segala kemudahan yang dimiliki ini perlulah diselenggara dengan baik dan dinaiktaraf dari masa ke semasa dimana akan memberi kesan dari segi perkhidmatan kepada masyarakat setempat dan juga memberi impak kepada pulangan hasil majlis.

Bagi saya sendiri, MPS sangat bertuah dengan keluasan kawasan seluas 546 kilometer persegi ini turut mempunyai bentuk muka bumi yang hampir 33% adalah merupakan hutan simpan dan rekreasi. Tempat-tempat yang berada dalam kawasan pentadbiran MPS ini seperti Taman Rimba Bukit Lagong, HUTLISTA, Taman Ekstrem Gua Damai dan Kolam Air Panas Selayang perlu dinaiktaraf dan dimajukan lagi oleh MPS. Saya percaya sekiranya kita bijak menggunakan segala infrastruktur dam kemudahan sedia ada ini untuk dimajukan, MPS mampu mendapat pulangan hasil yang lumayan dan sekaligus menaikkan lagi imej MPS untuk menjadi satu destinasi pelancongan.

Justeru, saya mahukan kerjasama antara Ahli-Ahli Majlisbersama barisan pentadbiran MPS bagi bersama-sama memastikan aset dan infrastruktur MPS menjadi lebih komersil dan berdaya saing agar dapat memberi pulangan hasil yang maksimum kepada MPS. Oleh itu suka saya tekankan disini bahawa pengurusan dan tadbir urus yang sistematik terhadap aset-aset antara fokus utama saya dalam memastikan MPS menjadi berdaya saing.

Seperti di dalam ucapan saya pagi tadi, suka saya ingatkan mengenai tanggungjawab PBT untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang terbaik kepada masyarakat di dalam kawasan pentadbiran MPS. Kita perlulah sentiasa memastikan kehendak stake holder dan pelanggan iaitu pembayar-pembayar cukai dipenuhi dan setimpal dengan apa yang dibayar. Kebajikan warga Selayang perlu dititikberatkan tetapi dalam masa yang sama, pendapatan dan kebersihan serta pulangan kepada majlis juga menjadi tumpuan dan fokus utama.

Saya percaya Ahli-Ahli Majlis yang berada di hadapan saya ini tidak pernah lokek menjadi mata, telinga dan mulut iaitu sebagai perantara antara masyarakat dan Majlis dalam penyaluran maklumat. Maka seterusnya adalah menjadi tanggungjawab Majlis terutamanya pihak pengurusan untuk mengambil tindakan daripada suara-suara Ahli-Ahli Majlis. Saya mahukan sikap kerjasama, toleransi dan persefahaman antara Ahli-Ahli Majlis dan juga pihak pengurusan bagi mengukuhkan lagi imej MPS. Saya juga sangat mengalu-alukan dan mengharapkan pandangan yang positif daripada semua pihak bagi merealisasikan segala perancangan dan pembangunan bagi mencapai sasaran kita bersama.

Selain itu juga, saya amat berharap agar MPS dapat berganding bahu dan bekerja rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin masyarakat, jawatankuasa penduduk dan sebagainya. Ini adalah bagi tujuan untuk mendapatkan pandangan dan pendapat dalammembentuk pentadbiran MPS ke arah yang lebih cemerlang dan mesra rakyat.

 

YAD Tan Sri, YBhg Dato’ Datin, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Akhir kata, saya berharap agar MPS sentiasa dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada seluruh warga MPS. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri atas kepercayaaan dan pelantikan saya sebagai Yang Dipertua MPS ke-7 dan Insha Allah kita akan bersama-sama memberikan yang terbaik untuk MPS. Beri saya ruang, mandat dan kepercayaan untuk merencanakan transformasi, gagasan dan idea baru bagi mengangkat imej MPS sebagai sebuah perbandaran yang mampan, progresif dan sejahtera. Insha Allah dengan tekad yang tinggi, kita akan berusaha dan bekerja dengan penuh keikhlasan dan iltizam.,Kepada Allah jua kita berserah.

 

Sekian, wabillahi Taufik wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.