MENU
 
MAJLIS TAKLIMAT KEMPEN PASAR AWAM BERSIH

MAJLIS TAKLIMAT KEMPEN PASAR AWAM BERSIH DAN KEMPEN MEMBASMI TIKUS DI PASAR SELAYANG

25 Jun 2025 | Selayang

Taklimat Kempen Pasar Awam Bersih dan Kempen Membasmi Tikus telah berlangsung pada 25 Jun 2025 bertempat di Pasar Baru Selayang. Taklimat ini diadakan dengan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengambil bahagian dalam Kempen Kesihatan Persekitaran 2025. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kebersihan pasar serta langkah-langkah membasmi tikus di premis-premis perniagaan.

Kempen ini merupakan sebahagian daripada Enam (6) Kategori Kempen Kebersihan di bawah inisiatif KPKT. MPS mengambil bahagian dalam empat (4) kategori kempen, iaitu Kempen Tandas Awam Bersih, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih dan Kempen Membasmi Infestasi Tikus.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Deveandran, Ahli Majlis MPS Zon 7, yang menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan persekitaran pasar kekal bersih, selamat dan sihat untuk semua.

Program diteruskan dengan sesi taklimat oleh beberapa wakil jabatan. Taklimat ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengisian dalam kempen yang dijalankan. Puan Kasmah binti Kamis dari Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) membentangkan syarat-syarat penyewaan gerai di bawah seliaan majlis. Seterusnya, Encik Muhd Kasri bin Muharddin dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPK) menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan makanan dan amalan kebersihan pengendali makanan.

Puan Nozie Akmaar binti Mohd dari Jabatan Pelesenan pula menerangkan syarat-syarat permohonan lesen perniagaan. Majlis turut diteruskan dengan penyerahan borang kaji selidik oleh Encik Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Korporat, kepada Puan Haniza, wakil Persatuan Peniaga Pasar Selayang, untuk diedarkan kepada peserta sebagai usaha menambah baik pengurusan dan fasiliti pasar.

Majlis turut dimeriahkan dengan kuiz ringkas yang dikendalikan oleh Puan Siti Aisyah binti Borhannordin.

Program diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada pihak MPS kepada semua tetamu yang hadir atas komitmen dan penyertaan mereka. Diharapkan segala ilmu dan informasi yang telah dikongsi sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan komuniti dan kelestarian persekitaran pasar.

Event Date: 
Rabu, 25 Jun 2025 - 10:00am