OPERASI PEMANTAUAN & PENGUATKUASAAN PEMATUHAN SYARAT LESEN PERNIAGAAN
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan telah melaksanakan Operasi Pemantauan dan Penguatkuasaan Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan di sekitar kawasan Pusat Beli Belah AEON Anggun Rawang serta kawasan komersial Kota Emerald, Rawang.
Operasi yang melibatkan seramai 15 orang kakitangan dari Jabatan Pelesenan dan diketuai oleh Tuan Haji Mohd Syukri Bin Abdullah Zawawi, Pengarah Jabatan Pelesenan MPS bertujuan memastikan semua premis perniagaan di kawasan pentadbiran MPS mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan oleh pihak MPS.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 97 premis perniagaan telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa premis yang gagal mematuhi syarat lesen perniagaan yang telah ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, sebanyak lapan Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan telah dikeluarkan kepada premis terlibat dalam tempoh 14 hari bagi tujuan tindakan pembetulan. Selain itu, tujuh premis telah diarahkan tutup kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah daripada pihak MPS.
Dalam masa yang sama, sebanyak 13 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang kecil serta syarat lesen perniagaan yang sedang berkuat kuasa.
MPS akan terus melaksanakan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua premis perniagaan di kawasan pentadbiran MPS mematuhi peraturan serta syarat lesen yang telah ditetapkan demi menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam.