Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2026

SESI RAMAH MESRA YANG DIPERTUA BERSAMA KAKITANGAN MPS

SESI RAMAH MESRA YANG DIPERTUA BERSAMA KAKITANGAN MPS

Sesi Ramah Mesra Yang Dipertua (YDP) bersama kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan sempena menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua MPS serta Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Timbalan Yang Dipertua MPS dan pengarah-pengarah jabatan MPS turut sama dalam memeriahkan sesi ini.

Sesi ramah mesra ini dimulakan dengan pertemuan bersama pengurusan tertinggi sebelum bergerak ke jabatan-jabatan yang berada di Menara MPS dan seterusnya ke bangunan lama bagi menyantuni warga kerja di lokasi tersebut.

Dalam sesi ini juga, Tuan YDP telah berkesempatan bertanya khabar mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, di samping menyampaikan pesanan agar sentiasa berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Semoga pertemuan seperti ini akan terus mengeratkan hubungan silaturahim serta menyuntik semangat kepada seluruh warga kerja MPS untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat serta memacu kejayaan organisasi pada masa hadapan.

#kitaselangormajubersama

#selayangkusayang

#malaysiamadani

MPS AGIH BANTUAN BAKUL MAKANAN SEMPENA AIDILFITRI

MPS AGIH BANTUAN BAKUL MAKANAN SEMPENA AIDILFITRI

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan masyarakat melalui pelaksanaan Program Selayang Prihatin 2026 dengan pengagihan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan.

Program berbentuk bantuan sekali beri (one-off) ini disasarkan kepada keluarga kurang berkemampuan yang menetap di 24 Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) di bawah pentadbiran MPS.

Serahan bantuan bakul makanan ini telah disempurnakan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua MPS bersama Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Timbalan Yang Dipertua MPS dan Tuan Ts. Hairudin bin Daud; Penolong Setiausaha MPS, En. Ahmad Fauzi bin Ishak; Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat serta Ahli Majlis MPS yang bersama-sama turun padang menyantuni penerima di kawasan masing-masing.

Setiap keluarga menerima bakul makanan yang mengandungi keperluan asas harian sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Pada masa sama, program ini bertujuan memastikan golongan kurang berkemampuan tidak terpinggir dalam meraikan Aidilfitri.

MPS berharap usaha ini dapat memberi kelegaan kepada para penerima di samping menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti setempat.

#malaysiamadani

#selayangkusayang

#kitaselangormakubersama

CERAMAH AMBANG SYAWAL MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 2026

CERAMAH AMBANG SYAWAL MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 2026

Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Ceramah Ambang Syawal bertempat di Lobi Menara MPS. Program ini diadakan bersempena menyambut kedatangan bulan Syawal yang bakal tiba.

Ceramah bertajuk “Meneruskan Amal, Mengekalkan Taqwa” telah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Dato’ Mohd Nizam bin Kamaruzaman dan dihadiri seramai 350 orang kakitangan MPS.

Antara intipati ceramah adalah penekanan terhadap kepentingan meneruskan amalan-amalan baik yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan, di samping mengekalkan tahap ketaqwaan dalam kehidupan seharian.

Turut hadir ialah YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; serta Dr. Mohd Zikry bin Zulkifle, Presiden KSDK MPS.

Dalam majlis ini, turut diadakan sesi gimik penyampaian cenderahati Aidilfitri serta duit raya daripada MPS kepada 13 orang kakitangan gred H1 MPS.

Semoga penganjuran ceramah ini memberi manfaat kepada seluruh warga MPS, seterusnya menjadi peringatan untuk terus istiqamah dalam melakukan kebaikan.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PROGRAM TADARUS AL-QURAN (LELAKI) MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

PROGRAM TADARUS AL-QURAN (LELAKI) MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Program Tadarus Al-Quran (Lelaki) anjuran ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah berlangsung bertempat di Dewan Keraian, Menara MPS.

Program ini telah dipimpin oleh Encik Mohammad Faiz bin Omar, pegawai daripada Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, MPS. Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Muhamad Anwar bin Mohamad Nor, ahli jawatankuasa ANULAE Cawangan MPS.

Seramai 30 orang kakitangan lelaki MPS telah mengambil bahagian dalam program ini. Program Tadarus Al-Quran ini merupakan program pertama yang dilaksanakan oleh ANULAE Cawangan MPS di bulan Ramadhan bagi menggalakkan penghayatan Al-Quran di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja lelaki MPS.

Semoga program ini terus memberi manfaat serta keberkatan kepada semua yang terlibat.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PROGRAM SINGGAH SAHUR 2026

PROGRAM SINGGAH SAHUR 2026

Program Singgah Sahur 2026 telah dianjurkan oleh Hospital Pakar KPJ Rawang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi menyantuni petugas barisan hadapan (frontliner) yang bertugas di agensi keselamatan serta klinik yang beroperasi 24 jam.

Program ini bertujuan menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan yang terus komited menjalankan tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat, khususnya sepanjang waktu malam di bulan Ramadan. Dalam program ini, sebanyak 142 pek juadah sahur telah diagihkan kepada mereka yang sedang menjalankan tugas.

Delegasi Hospital Pakar KPJ Rawang diketuai oleh Puan Sharian Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Rawang bersama Puan Nor Nadia binti Ban, Pengurus Operasi Hospital Pakar KPJ Rawang. Majlis Perbandaran Selayang pula diwakili oleh Tuan TS Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS.

Antara agensi dan klinik yang menerima agihan juadah sahur ialah:

- Balai Bomba Rawang

* Balai Polis Rawang

* ⁠Balai Bomba Bukit Sentosa

- ⁠Balai Polis Bukit Sentosa

* Klinik SP Care Rawang Mutiara

* Klinik Utama Rawang (Panel MPS)

* Klinik Ng Dan Singh Batu 17

* Careclinics Klinik Wong Singh Batu 17

* Pusat Rawatan AMC

* Klinik Anda 24 Jam Bukit Sentosa

* Careclinics Klinik Wong Singh Sentosa

* Klinik Ng Dan Singh Bukit Sentosa

Program seperti ini diharap dapat mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara MPS dan rakan agensi selain menyuntik semangat kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PERASMIAN BAZAR RAMADAN SANTAI USAHA SAMA BANDAR TASIK PUTERI DAN MPS

PERASMIAN BAZAR RAMADAN SANTAI USAHA SAMA BANDAR TASIK PUTERI DAN MPS

Bazar Ramadhan Santai Usaha Sama Bandar Tasik Puteri (BTP) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah dirasmikan oleh YB Tuan William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang bertempat di Paradise Fair @ Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Penganjuran bazar melalui usaha sama pemaju Low Yat Group dan MPS ini turut mendapat kerjasama, tajaan dan sokongan daripada rakan-rakan strategik, iaitu PLATS Selangor, Bank Islam Malaysia Berhad, JKP Zon 18 MPS, serta Bigfoot Festival selaku pengelola bazar.

Di samping itu, penganjuran bazar ini merupakan sebahagian daripada usaha merealisasikan Pelan Strategik Pengurusan dan Pemerkasaan Penjaja Kecil MPS 2026–2030.

Acara perasmian ini turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; Tuan Low Gee Soon, Pengarah Urusan Low Yat Group; serta Encik Norman Awang, Pemangku Pengarah Jabatan Deposit dan Kad, Bank Islam Malaysia Berhad.

Selesai perasmian, dif-dif kehormat berkesempatan meninjau sekitar bazar serta menyampaikan topi chef kepada para peniaga sebagai simbolik sokongan dan penghargaan kepada pengusaha bazar yang terlibat.

Turut hadir ialah YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Tuan Andrew Goh, Pengurus Besar Pembangunan Hartanah Bandar Tasik Puteri, Low Yat Group; Puan Loo Voon May, Ahli Majlis Zon 18 MPS; Tuan U Chin Ong, Ahli Majlis Zon 12 MPS; Tuan Haji Mohd Syukri bin Abdullah Zawawi, Pengarah Jabatan Pelesenan; pengarah-pengarah jabatan MPS, rakan-rakan strategik serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

OPERASI BERSEPADU BAGI PELAKSANAAN TINDAKAN PEROBOHAN SEBUAH PREMIS

OPERASI BERSEPADU BAGI PELAKSANAAN TINDAKAN PEROBOHAN SEBUAH PREMIS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu bagi tindakan perobohan sebuah premis yang melibatkan struktur binaan tanpa kebenaran di Jalan FRIM, Ulu Kepong.

Tindakan penguatkuasaan diambil selaras dengan peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Operasi ini diketuai oleh Jabatan Bangunan MPS dengan kerjasama beberapa jabatan dalaman iaitu Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Korporat, Bahagian Pengurusan Projek dan Fasiliti serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan. Turut terlibat dalam operasi ini ialah Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad.

Seramai 73 orang anggota terlibat dalam operasi ini dengan sokongan logistik sebuah jentera backhoe dan sebuah lori RORO bagi melaksanakan kerja-kerja perobohan struktur berkenaan. Operasi telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama dan penyelarasan yang baik antara jabatan dalaman MPS serta agensi luar yang terlibat.

MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil bagi mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

MPS SERTAI PROGRAM WORLD QURAN HOUR 2026

MPS SERTAI PROGRAM WORLD QURAN HOUR 2026

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut mengambil bahagian dalam Program World Quran Hour 2026 yang berlangsung serentak di seluruh Malaysia dari jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang.

Program yang bertemakan “Membentuk Manusia, Sebelum Membina Dunia” ini memberi penekanan terhadap pembinaan insan yang berintegriti, berprinsip dan beramanah sebagai asas kepada pembentukan masyarakat dan kepimpinan yang berkualiti.

Sepanjang program, warga kerja MPS telah membaca dan menghayati Surah Al-Muzammil ayat 1 hingga 20 di jabatan masing-masing sebagai usaha memperkukuh budaya ilmu serta penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.

MPS berharap penganjuran ini terus menyemarakkan minat dan komitmen masyarakat untuk mendalami al-Quran, selaras dengan usaha membentuk modal insan yang berakhlak dan berjiwa ihsan.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PROGRAM KEBUN KOMUNITI MPS PERKUKUH USAHA PENGHIJAUAN BANDAR

PROGRAM KEBUN KOMUNITI MPS PERKUKUH USAHA PENGHIJAUAN BANDAR

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meneruskan agenda kelestarian dengan memberi tumpuan utama kepada Pertandingan Kebun Komuniti Terbaik 2025, yang menjadi inti pati Program Kebun Komuniti Peringkat MPS pada tahun ini. Pertandingan tersebut dianjurkan bagi menghargai usaha komuniti dalam mengindahkan kawasan kediaman melalui penghasilan kebun yang kreatif, teratur dan berimpak kepada kesejahteraan setempat.

Tiga kategori utama dipertandingkan, iaitu Plot Kebun Komuniti Terbaik 2025 (Setiap Kebun), Kebun Komuniti Terbaik 2025 (Kategori Kawasan Lapang) serta Kebun Komuniti Terbaik (Kategori Penyelenggaraan). Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja bertujuan memberi pengiktirafan, malah memupuk semangat kerjasama, inovasi dan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan komuniti MPS.

Melalui pertandingan ini juga, MPS berharap agar setiap kebun komuniti dapat menjadi model amalan hijau yang mampu menyumbang kepada pengurangan kos sara hidup melalui penghasilan tanaman segar serta membuka peluang penjanaan ekonomi kecil kepada penduduk setempat.

Majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Kebun Komuniti Terbaik 2025 ini telah dirasmikan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Turut hadir, Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS serta Tuan LAr. Mokhtar Affandi bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Landskap MPS.

Penganjuran pertandingan dan program ini mengukuhkan lagi komitmen MPS dalam memperkasa penglibatan masyarakat ke arah bandar yang lebih hijau, sejahtera dan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

OPS MERCUN BERSEPADU BERSAMA IPD SUNGAI BULOH

OPS MERCUN BERSEPADU BERSAMA IPD SUNGAI BULOH

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terus komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menerusi pelaksanaan Operasi Mercun Bersepadu bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi ini memberi fokus kepada tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga, termasuk semakan permit perniagaan, sitaan barangan jualan tanpa kebenaran serta rampasan mercun dan bunga api yang dijual tanpa permit sah.

MPS akan terus bekerjasama dengan PDRM dalam usaha membendung aktiviti penjualan mercun secara haram demi keselamatan masyarakat.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormakubersama