Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Perancang Bandar telah menganjurkan Sesi Libat Urus Hala Tuju Pengukuhan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi MPS pada 5 Mac 2026 bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya.
Sesi ini disertai seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi MPS, wakil jabatan-jabatan dalaman MPS, wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).
Jabatan dalaman MPS yang terlibat bagi sesi libat urus ini ialah Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Landskap, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Teknologi Maklumat serta Jabatan Pelesenan.
Sesi dimulakan dengan taklimat Garis Panduan Kriteria Penarafan Bandaraya oleh wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tuan Mohd Yasin bin Alwi. Seterusnya, taklimat Proses Penarafan Bandaraya bagi PBT di Negeri Selangor telah disampaikan oleh wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Tuan Salehuddin bin Sabtu. Taklimat seterusnya mengenai Status Semasa MPS dalam Mencapai Status Bandaraya disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perancang Bandar, TPr Affendei bin Samingan.
Ucapan penutup telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Haji Azhar bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS serta YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS.
Sesi libat urus ini bertujuan meningkatkan kefahaman berkaitan 15 kriteria yang perlu dipenuhi serta hala tuju bagi mencapai status Majlis Bandaraya. Dapatan sesi ini akan membantu memperkukuh perancangan dan gerak kerja MPS selaras dengan visi MPS iaitu “Majlis Perbandaran Selayang Pemacu Perbandaran Berdaya Huni ke Arah Status Bandaraya Menjelang 2030.”