LAWATAN MENGEJUT KETUA JABATAN BAGI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN BERINTEGRITI BILANGAN 1.2026
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin bersama Timbalan Yang Dipertua MPS, YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri telah mengadakan Lawatan Mengejut Ketua Jabatan Bagi Penyampaian Perkhidmatan Berintegriti Bilangan 1 Tahun 2026 yang diselaraskan oleh Unit Integriti MPS.
Lawatan ini telah dilaksanakan di Bahagian Kemudahan Awam, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) serta Bahagian Elektrikal, Jabatan Kejuruteraan bagi meninjau sendiri tahap penyampaian perkhidmatan, keadaan fasiliti dan persekitaran tempat kerja.
Antara lokasi yang ditinjau termasuk kaunter permohonan penyewaan dewan dan kemudahan awam, ruang kerja warga kerja, fasiliti di Stadium MPS serta gerai-gerai di kawasan stadium. Lawatan ini memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk melihat sendiri keadaan di lapangan, mendapatkan maklum balas secara langsung serta mengenal pasti aspek yang boleh dipertingkatkan demi memastikan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Melalui pendekatan turun padang ini, MPS terus komited dalam memperkukuh budaya integriti, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan memastikan kemudahan awam yang disediakan memenuhi keperluan serta keselesaan warga Selayang.