Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Perbandaran Selayang (KSDK) MPS telah menganjurkan Program Motivasi Leader Junior MPS pada 4 Jun 2026 bertempat di Dewan Seri Siantan, Selayang.
Program yang melibatkan seramai 130 peserta terdiri daripada anak-anak kakitangan MPS dan komuniti sekitar ini bertujuan membentuk generasi pemimpin muda yang mempunyai sahsiah terpuji, memupuk semangat bekerjasama serta kerja berpasukan, di samping menanam nilai integriti dan amanah sebagai asas pembinaan karakter sejak usia muda.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti dan modul motivasi interaktif yang dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Shahril bin Sabri. Modul yang disampaikan disesuaikan dengan peringkat umur peserta berusia antara 9 hingga 12 tahun bagi memastikan penyampaian yang lebih berkesan, menarik dan mudah difahami.
Turut hadir memeriahkan program ialah YBrs. Dr. Mohd Zikry bin Zulkifle, Presiden KSDK MPS.
Program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan serta memberikan impak positif kepada para peserta dalam meningkatkan keyakinan diri, membentuk sikap kepimpinan dan mengukuhkan nilai-nilai murni yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga ilmu, pengalaman dan nilai-nilai positif yang diperoleh sepanjang program dapat menjadi panduan kepada para peserta dalam membentuk jati diri serta mengembangkan potensi kepimpinan pada masa hadapan.