Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2026

LAWATAN KOMBINASI AUDIT PENSIJILAN SEMULA MS ISO 9001.2015 & ISO IEC 27001.2022

LAWATAN KOMBINASI AUDIT PENSIJILAN SEMULA MS ISO 9001.2015 & ISO IEC 27001.2022

Sesi Pengauditan dan Lawatan Kombinasi Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 dan ISO/IEC 27001:2022 oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. diteruskan pada hari kedua melibatkan jabatan-jabatan dalaman Majlis Perbandaran Selayang (MPS)

Sepanjang lawatan ini, pasukan juruaudit telah melaksanakan semakan secara menyeluruh terhadap 49 prosedur Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) serta menilai keberkesanan pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISO/IEC 27001:2022) merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan risiko, pematuhan dokumentasi, kawalan operasi dan penambahbaikan berterusan.

Sesi pengauditan yang berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Julai 2026 ini bertujuan memastikan sistem pengurusan yang dilaksanakan oleh MPS terus memenuhi keperluan piawaian antarabangsa, di samping memperkukuh budaya kerja berkualiti, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan keselamatan maklumat organisasi sentiasa terpelihara.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua warga MPS atas komitmen, kerjasama dan dedikasi sepanjang proses audit berlangsung. Semoga usaha berterusan ini memperkukuh kecemerlangan sistem pengurusan MPS demi penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti, cekap dan berintegriti.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

MESYUARAT PEMBUKAAN AUDIT PENSIJILAN SEMULA MS ISO 9001.2015 & ISO IEC 27001.2022

MESYUARAT PEMBUKAAN AUDIT PENSIJILAN SEMULA MS ISO 9001.2015 & ISO IEC 27001.2022

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Mesyuarat Pembukaan Kombinasi Lawatan Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 dan ISO/IEC 27001:2022 yang dilaksanakan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, serta dihadiri oleh Puan Zulaina binti Abu Talib selaku Wakil Pengurusan ISO merangkap Pengarah Jabatan Korporat, Ketua-ketua Skop, Ketua-ketua Audit Dalam ISO, Ketua-ketua Dokumentasi ISO dan pegawai-pegawai berkaitan.

Pelaksanaan audit ini bertujuan menilai tahap pematuhan serta keberkesanan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISO/IEC 27001:2022) di MPS, di samping memastikan amalan penambahbaikan berterusan terus menjadi budaya kerja organisasi.

Semoga sesi audit ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan, seterusnya memperkukuh penyampaian perkhidmatan MPS yang berkualiti, cekap dan berintegriti.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PENYERAHAN OBOR SUKMA XXII & PARA SUKMA SELANGOR 2026 MPS KE MPAJ

PENYERAHAN OBOR SUKMA XXII & PARA SUKMA SELANGOR 2026 MPS KE MPAJ

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyempurnakan acara simbolik penyerahan Obor SUKMA Selangor 2026 kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran temasya sukan terbesar negeri serta usaha menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.

Dalam kesinambungan perjalanan Larian Obor SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026, MPS merupakan lokasi persinggahan keenam sebelum obor diserahkan ke MPAJ selaku lokasi ketujuh bagi meneruskan jelajah obor tersebut.

Simbolik penyerahan obor telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS kepada YBrs. Tuan Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, Timbalan Yang Dipertua MPAJ sebagai tanda kesinambungan perjalanan obor menuju ke destinasi seterusnya.

Program ini turut menyerlahkan semangat kebersamaan antara pihak berkuasa tempatan dalam memastikan perjalanan Larian Obor SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026 berlangsung dengan lancar sehingga ke destinasi seterusnya.

Turut sama memeriahkan majlis adalah YBhg. Dato’ Mohd Yazid bin Sairi, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026; YBrs. Puan Azlina binti Abdul Aziz, Pegawai Daerah Gombak; YBrs. Tuan Mohamad Nizam bin Marjugi, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat SUKMA Selangor serta pengarah-pengarah jabatan MPS.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PROGRAM PENUAAN SIHAT WARGA EMAS 2026

PROGRAM PENUAAN SIHAT WARGA EMAS 2026

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) telah menganjurkan Program Penuaan Sihat Warga Emas 2026 dengan kerjasama Klinik Kesihatan Selayang Baru (KKSB) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Zulkifli bin Hamzah, Ketua WHIP merangkap Ahli Majlis Kawasan JKP Zon 6. Turut hadir ialah YBrs. Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah JPM MPS dan YBrs. Dr. Lalitha Ambigai a/p Vengidasan, Ketua Klinik Kesihatan Selayang Baru merangkap Pakar Perubatan Keluarga.

Seramai 97 orang warga emas telah menyertai program ini yang menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan penjagaan kesihatan dan amalan penuaan sihat. Antara pengisiannya ialah senaman pagi, demonstrasi bantuan kecemasan (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED), pengendalian situasi tercekik serta pemeriksaan dan saringan kesihatan menerusi lapan (😎 reruai yang dikendalikan oleh pegawai kesihatan daripada KKSB dan PKD Gombak bersama urusetia Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS.

Reruai yang disediakan meliputi saringan pemakanan dan sarkopenia, fisioterapi, pemeriksaan kesihatan, vaksinasi, pemeriksaan pergigian, kaunseling farmasi, saringan kognitif serta aktiviti permainan bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan warga emas.

Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas. Usaha berterusan seperti ini juga menyokong aspirasi melahirkan warga emas yang sihat, aktif, berdikari dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

KARNIVAL MADE IN KUANG 3.0

KARNIVAL MADE IN KUANG 3.0

Karnival Made in Kuang 3.0 yang mempromosikan produk dan perkhidmatan yang diusahakan oleh warga tempatan telah berlangsung dengan meriah bertempat di Perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Kuang.

Karnival ini merupakan anjuran YBrs. Tuan Saharudin bin Abu Bakar, Ahli Majlis MPS Zon 19 bersama Pertubuhan Usahawan Berdaya Kuang dan telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan hasil keluaran usahawan tempatan kepada masyarakat sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti melalui penglibatan pelbagai pengusaha dari sekitar Kuang.

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian oleh masyarakat Orang Asli dari Kampung Orang Asli Hulu Kuang yang menyerlahkan keunikan warisan budaya tempatan. Seterusnya, Tuan TYDP MPS bersama para jemputan telah mengadakan lawatan ke sekitar tapak Karnival Made in Kuang bagi meninjau gerai-gerai pameran yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.

Antara produk yang dipamerkan termasuk makanan sejuk beku, makanan tradisional tempatan serta pelbagai perkhidmatan yang diusahakan oleh komuniti setempat. Karnival turut dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Kompang Formasi Berirama yang berjaya menarik perhatian pengunjung serta menyemarakkan lagi suasana program.

Penganjuran Karnival Made in Kuang 3.0 diharapkan dapat terus menjadi medium yang berkesan dalam memperkasa usahawan tempatan, memperluas jaringan pemasaran serta menggalakkan sokongan masyarakat terhadap produk keluaran komuniti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan di kawasan Kuang.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MPS

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan bertempat di Lobi Menara MPS. Program ini dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dengan penglibatan 14 jabatan dalaman MPS.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan MPS dalam memperkukuh komunikasi bersama penduduk. Ia memberi peluang kepada orang awam untuk mengemukakan pertanyaan dan aduan secara langsung kepada pegawai jabatan berkaitan, di samping mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai isu perbandaran.

Sepanjang program berlangsung, sebanyak 48 aduan dan pertanyaan telah diterima melibatkan pelbagai perkara, antaranya rayuan kompaun, semakan Pelan Kebenaran Merancang, permohonan laluan jalan, rayuan kompaun cukai taksiran, sitaan kenderaan, pengurusan JMB, permohonan premis MPS, permohonan lesen, proses permit bangunan serta sesi pra-konsultasi bersama Jabatan Bangunan.

Program ini telah berlangsung dengan lancar dan mencapai matlamatnya sebagai platform perkhidmatan bersemuka yang lebih telus, responsif dan mesra rakyat.

Turut sama pada program ini, YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.

Orang awam yang tidak berkesempatan hadir boleh mengemukakan aduan atau cadangan secara dalam talian melalui portal SPAB di https://mps.spab.gov.my atau menerusi platform media sosial rasmi MPS.

#SelayangKuSayang

#MalaysiaMadani

#KitaSelangorMajuBersama

#HariBertemuPelangganMPS

#MajlisPerbandaranSelayang

OPERASI BERSEPADU PENJAJA WARGA ASING

OPERASI BERSEPADU PENJAJA WARGA ASING

Operasi Bersepadu Penjaja Warga Asing di sekitar Pasar Borong Selayang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan kakitangan Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPS, Jabatan Pelesenan MPS, dan Jabatan Korporat MPS.

Seramai 50 orang kakitangan terlibat dalam operasi ini yang diketuai oleh Tuan Muhammad Noor Salehuddin bin Kamis, Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPS.

Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti penjaja warga asing serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang, syarat lesen dan peraturan yang berkuat kuasa, di samping menjamin ketenteraman, kebersihan dan keselamatan kawasan perniagaan.

Sepanjang operasi dijalankan, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan telah mengeluarkan sebanyak 10 tindakan sitaan melibatkan pelbagai jenis sayur-sayuran dan barangan perniagaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007 serta Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007.

Selain itu, Jabatan Pelesenan turut mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan, satu notis penutupan premis serta dua Notis Arahan Pematuhan Syarat Lesen/Permit Perniagaan. Tali keselamatan turut dipasang di premis yang terlibat sebagai tanda larangan menjalankan sebarang aktiviti perniagaan sehingga tindakan lanjut diambil.

MPS akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur, selamat dan kondusif demi kesejahteraan masyarakat.

#SelayangKuSayang

#MalaysiaMadani

#KitaSelangorMajuBersama

KUNJUNGAN HORMAT PRESIDEN MARTABAT JALINAN MUHIBBAH MALAYSIA KE PEJABAT YANG DIPERTUA

KUNJUNGAN HORMAT PRESIDEN MARTABAT JALINAN MUHIBBAH MALAYSIA KE PEJABAT YANG DIPERTUA

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia yang diketuai oleh Presidennya, Encik Abdul Rani bin Kulup Abdullah (Ayahanda Rani Kulup), ke Pejabat Yang Dipertua MPS.

Delegasi seramai tujuh orang itu telah disambut oleh Yang Dipertua MPS, YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Tuan TPr. Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPS serta pegawai-pegawai MPS.

Kunjungan hormat ini diadakan sebagai platform bagi membincangkan beberapa perkara semasa, khususnya berkaitan pelaksanaan program-program dan kebajikan yang melibatkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan dan berkongsi cadangan ke arah memperkukuh hubungan kerjasama strategik yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan bekas anggota ATM dan PDRM di kawasan pentadbiran MPS.

Semoga jalinan hubungan baik yang terjalin ini dapat diteruskan melalui pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan demi kesejahteraan komuniti dan pembangunan kawasan pentadbiran MPS.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

MESYUARAT KICK-OFF PENUBUHAN AJK PENYELARASAN PENGURUSAN KAWASAN SEMPADAN DBKL & PBT SELANGOR

MESYUARAT KICK-OFF PENUBUHAN AJK PENYELARASAN PENGURUSAN KAWASAN SEMPADAN DBKL & PBT SELANGOR

YBrs.Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menghadiri Mesyuarat Kick-Off Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Kawasan Sempadan Antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Bersempadan di Selangor yang dianjurkan oleh DBKL.

Mesyuarat ini diadakan sebagai mekanisme kerjasama strategik antara PBT yang bersempadan bagi menyelaras pengurusan kawasan sempadan secara bersepadu. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh koordinasi dan kerjasama antara PBT dalam menangani isu-isu berkaitan kawasan sempadan secara lebih tersusun dan efektif.

Selain itu, penubuhan jawatankuasa ini turut berperanan sebagai platform penyelarasan yang dapat memantapkan tadbir urus serta meningkatkan kecekapan pengurusan kawasan sempadan melalui pendekatan yang lebih sistematik dan selaras, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Turut hadir mewakili MPS Tuan TPr. Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPS serta Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat MPS.

Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan yang bersempadan ke arah pengurusan kawasan sempadan yang lebih cekap, sistematik dan bersepadu.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

SESI PENYERAHAN FAEDAH PERKESO KEPADA WARIS ALLAHYARHAM YUSUF BIN BAHARUDDIN, BEKAS KAKITANGAN MPS

SESI PENYERAHAN FAEDAH PERKESO KEPADA WARIS ALLAHYARHAM YUSUF BIN BAHARUDDIN, BEKAS KAKITANGAN MPS

Sesi Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

kepada waris Allahyarham Yusuf bin Baharuddin, bekas kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), telah diadakan bertempat di kediaman waris di Flat Sentul Utama, Taman Dato’ Senu, Kuala Lumpur. Sesi yang dianjurkan oleh PERKESO ini bertujuan menyampaikan faedah dan sumbangan kepada waris Allahyarham.

Sesi penyerahan baucar bayaran dan sumbangan kepada waris telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Haron bin Othman, Pengarah Negeri PERKESO Negeri Kuala Lumpur. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS selaku bekas majikan Allahyarham, Cik Norhayati binti Muhammad Sidik, Pegawai Eksekutif Cawangan Sinergi PERKESO Kuala Lumpur, Encik Mohamad Fakhrul bin Abdul Aziz, Pegawai Eksekutif Cawangan Sinergi PERKESO Kuala Lumpur serta Puan Su@Noor Hafizah binti Mohamad Lasim, Timbalan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MPS.

Allahyarham Yusuf bin Baharuddin merupakan bekas Pembantu Khidmat Am Gred H1 di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS telah meninggal dunia pada 1 Jun 2026 akibat komplikasi jangkitan kuman. Semoga penyerahan faedah ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh waris Allahyarham.

MPS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama