Sesi Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
kepada waris Allahyarham Yusuf bin Baharuddin, bekas kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), telah diadakan bertempat di kediaman waris di Flat Sentul Utama, Taman Dato’ Senu, Kuala Lumpur. Sesi yang dianjurkan oleh PERKESO ini bertujuan menyampaikan faedah dan sumbangan kepada waris Allahyarham.
Sesi penyerahan baucar bayaran dan sumbangan kepada waris telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Haron bin Othman, Pengarah Negeri PERKESO Negeri Kuala Lumpur. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS selaku bekas majikan Allahyarham, Cik Norhayati binti Muhammad Sidik, Pegawai Eksekutif Cawangan Sinergi PERKESO Kuala Lumpur, Encik Mohamad Fakhrul bin Abdul Aziz, Pegawai Eksekutif Cawangan Sinergi PERKESO Kuala Lumpur serta Puan Su@Noor Hafizah binti Mohamad Lasim, Timbalan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MPS.
Allahyarham Yusuf bin Baharuddin merupakan bekas Pembantu Khidmat Am Gred H1 di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS telah meninggal dunia pada 1 Jun 2026 akibat komplikasi jangkitan kuman. Semoga penyerahan faedah ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh waris Allahyarham.
MPS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.