Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan bertempat di Lobi Menara MPS. Program ini dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dengan penglibatan 14 jabatan dalaman MPS.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan MPS dalam memperkukuh komunikasi bersama penduduk. Ia memberi peluang kepada orang awam untuk mengemukakan pertanyaan dan aduan secara langsung kepada pegawai jabatan berkaitan, di samping mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai isu perbandaran.
Sepanjang program berlangsung, sebanyak 48 aduan dan pertanyaan telah diterima melibatkan pelbagai perkara, antaranya rayuan kompaun, semakan Pelan Kebenaran Merancang, permohonan laluan jalan, rayuan kompaun cukai taksiran, sitaan kenderaan, pengurusan JMB, permohonan premis MPS, permohonan lesen, proses permit bangunan serta sesi pra-konsultasi bersama Jabatan Bangunan.
Program ini telah berlangsung dengan lancar dan mencapai matlamatnya sebagai platform perkhidmatan bersemuka yang lebih telus, responsif dan mesra rakyat.
Turut sama pada program ini, YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Orang awam yang tidak berkesempatan hadir boleh mengemukakan aduan atau cadangan secara dalam talian melalui portal SPAB di https://mps.spab.gov.my atau menerusi platform media sosial rasmi MPS.