Karnival Made in Kuang 3.0 yang mempromosikan produk dan perkhidmatan yang diusahakan oleh warga tempatan telah berlangsung dengan meriah bertempat di Perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Kuang.
Karnival ini merupakan anjuran YBrs. Tuan Saharudin bin Abu Bakar, Ahli Majlis MPS Zon 19 bersama Pertubuhan Usahawan Berdaya Kuang dan telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan hasil keluaran usahawan tempatan kepada masyarakat sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti melalui penglibatan pelbagai pengusaha dari sekitar Kuang.
Majlis dimulakan dengan persembahan tarian oleh masyarakat Orang Asli dari Kampung Orang Asli Hulu Kuang yang menyerlahkan keunikan warisan budaya tempatan. Seterusnya, Tuan TYDP MPS bersama para jemputan telah mengadakan lawatan ke sekitar tapak Karnival Made in Kuang bagi meninjau gerai-gerai pameran yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.
Antara produk yang dipamerkan termasuk makanan sejuk beku, makanan tradisional tempatan serta pelbagai perkhidmatan yang diusahakan oleh komuniti setempat. Karnival turut dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Kompang Formasi Berirama yang berjaya menarik perhatian pengunjung serta menyemarakkan lagi suasana program.
Penganjuran Karnival Made in Kuang 3.0 diharapkan dapat terus menjadi medium yang berkesan dalam memperkasa usahawan tempatan, memperluas jaringan pemasaran serta menggalakkan sokongan masyarakat terhadap produk keluaran komuniti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan di kawasan Kuang.