Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

MAJLIS APRESIASI BADAN PENGURUSAN BERSAMA PERBADANAN PENGURUSAN (JMB MC) MPS 2025

MAJLIS APRESIASI BADAN PENGURUSAN BERSAMA PERBADANAN PENGURUSAN (JMB MC) MPS 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Badan Pengurusan / Perbadanan (JMB/MC) MPS Tahun 2025 bertempat di Setia Eco Templer, Rawang. Penganjuran ini bertujuan meraikan serta menyampaikan pengiktirafan kepada badan-badan pengurusan bersama dan perbadanan pengurusan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek pengurusan serta penyenggaraan harta bersama di bawah pentadbiran MPS.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.

Pengiktirafan JMB/MC Tahun 2025 disampaikan menerusi empat kategori seperti berikut:

Kategori Skim Kos Rendah

1. Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Mutiara (penarafan 4 bintang)

2. Perbadanan Pengurusan Dahlia 2 (penarafan 3 bintang)

3. JMB Apartment Taman Setia Rawang (penarafan 3 bintang)

Kategori Skim Kos Sederhana

1. Perbadanan Pengurusan PM1047 (penarafan 4 bintang)

2. JMB Residensi Laguna Biru 2 (penarafan 4 bintang)

3. Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Danau Ria (penarafan 4 bintang)

✨Kategori Skim Kos Tinggi

1. Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Ria (penarafan 5 bintang)

2. Badan Pengurusan Bersama Banjaria Court (penarafan 5 bintang)

3. Village Homes Management Corporation (penarafan 5 bintang)

✨Kategori Skim Komersial

1. Badan Pengurusan Bersama Avia Plus (penarafan 5 bintang)

2. Perbadanan Pengurusan Dataran Emerald (penarafan 5 bintang)

3. One Selayang Joint Management Body (penarafan 4 bintang)

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Puan Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPS; YBrs. Dr. Nor Hanizan bin Sahib, Penolong Pengarah Kanan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor; Encik Mohd Zamri bin Ishak, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Strata, Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli-Ahli Majlis serta Pengarah-Pengarah jabatan MPS.

KARNIVAL ALAM SEKITAR DAN HARI SUNGAI SEDUNIA PERINGKAT MPS 2025

KARNIVAL ALAM SEKITAR DAN HARI SUNGAI SEDUNIA PERINGKAT MPS 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah menganjurkan Karnival Alam Sekitar dan Hari Sungai Sedunia Peringkat MPS Tahun 2025 bertempat di GIBS Ecotourism Resort, Ulu Yam.

Penganjuran karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar, khususnya pemeliharaan sumber air dan sungai sebagai aset ekosistem yang perlu dipelihara bersama.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha merangkap Pengarah JPSPK MPS. Program dimulakan dengan penyampaian hadiah Program Pilot Project Kitar Semula melibatkan kategori:

1. Kutipan barang kitar semula terbanyak

2. Kutipan minyak masak terpakai (UCO) terbanyak

3. Kategori khas pengasingan terbaik

Turut diadakan, penyampaian hadiah Program Bank Kitar Semula MPS Peringkat Sekolah Tahun 2025, penyampaian reward kepada Pejabat Pendidikan Gombak serta penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta.

Karnival ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Sulaiman bin Abu Samah, Ketua WHIP Ahli Majlis MPS, Ahli-Ahli Majlis, pengarah-pengarah jabatan, wakil-wakil agensi, serta kakitangan MPS.

MPS terus menggalakkan penglibatan masyarakat melalui penganjuran program seperti ini dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar. Semoga inisiatif ini dapat memperkukuhkan kerjasama antara agensi, sekolah dan komuniti ke arah persekitaran yang lebih bersih dan lestari.

BENGKEL PEMANTAPAN PENGURUSAN ADUAN MPS TAHUN 2025

BENGKEL PEMANTAPAN PENGURUSAN ADUAN MPS TAHUN 2025

Seramai 35 kakitangan daripada jabatan dalaman Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyertai Bengkel Pemantapan Pengurusan Aduan MPS Tahun 2025 anjuran Bahagian Pengaduan Awam dan Pengurusan Pelanggan, Jabatan Korporat bertempat di Ideas Hotel, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat MPS yang menekankan di dalam ucapan aluannya bahawa pengurusan aduan yang berkualiti merupakan indikator penting dalam penyampaian perkhidmatan awam. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap aduan membawa mesej daripada masyarakat, dan tanggungjawab menanganinya adalah komitmen bersama seluruh organisasi.

Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Norsuhana binti Azman, Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Selangor, bersama Puan Zafirah binti Zainuddin, Ketua Penolong Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Selangor. Mereka berkongsi kepakaran serta pendekatan strategik dalam mengurus dan menjawab aduan pelanggan secara lebih efektif.

Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkukuh kefahaman, meningkatkan kemahiran serta memantapkan keupayaan warga kerja MPS dalam pengurusan aduan secara lebih jelas, cekap dan responsif selaras dengan keperluan penyampaian perkhidmatan berasaskan data dan ekspektasi pelanggan yang semakin tinggi.

Semoga perkongsian dan ilmu yang diperoleh menerusi bengkel ini dapat dimanfaatkan dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pengurusan aduan di MPS.

PROGRAM “HOORA HOOREY BIRTHDAY” TASKA MPS

PROGRAM “HOORA HOOREY BIRTHDAY” TASKA MPS

Program “Hoora Hoorey Birthday” anjuran Taska Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah berlangsung di Kidsnation, The Campus, Ampang. Seramai 33 orang peserta terlibat dalam program ini terdiri daripada 19 orang kanak-kanak serta pengasuh yang mengiringi mereka.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan di pusat permainan tersebut. Selain itu, program ini turut berperanan mewujudkan semangat kekeluargaan serta mengeratkan hubungan antara kanak-kanak dan pengasuh.

Secara keseluruhan, program ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua peserta.

DUA REGU MPS RANGKUL JOHAN DAN NAIB JOHAN KEJOHANAN KAROM MBPP 2025

DUA REGU MPS RANGKUL JOHAN DAN NAIB JOHAN KEJOHANAN KAROM MBPP 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan pencapaian cemerlang apabila dua regu dari Pasukan Karom MPS muncul Johan dan Naib Johan dalam Kategori Beregu Campuran (Agensi Kerajaan) pada Kejohanan Karom Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2025 yang berlangsung di Rumah Kelab Rekreasi MBPP.

Kejohanan anjuran Kelab Sukan MBPP itu menyaksikan penyertaan sebanyak 51 regu dari 15 agensi kerajaan seluruh Malaysia bagi kategori Beregu Campuran, selain pertandingan kategori perseorangan terbuka.

MPS yang menghantar empat regu bagi kejohanan tersebut berjaya menonjolkan prestasi membanggakan apabila dua regu berjaya menamatkan saingan di kedudukan teratas.

Bagi gelaran Johan, pasangan En. Faris Adil bin Omar Sudi dari Jabatan Kejuruteraan dan Pn. Nor Aziah binti Mohamad Badaruddin dari Jabatan Penguatkuasa & Keselamatan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM1,000.

Sementara itu, tempat Naib Johan pula diraih oleh pasangan En. Mohd Sofi bin Abdul Rahman Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan dan Cik Nor Aini binti Sulaiman dari Jabatan Landskap, yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM700.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan penglibatan aktif MPS dalam aktiviti sukan antara agensi serta komitmen warga kerja MPS dalam mengharumkan nama organisasi melalui pencapaian di peringkat luar. 

MAJLIS PENYERAHAN SURAT PENYIARAN KENAIKAN PANGKAT TAHUN 2025 MPS

MAJLIS PENYERAHAN SURAT PENYIARAN KENAIKAN PANGKAT TAHUN 2025 MPS

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada dua orang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah menerima surat penyiaran kenaikan pangkat secara Time-Based bagi tahun 2025. Ucapan tahniah ini turut dizahirkan sebagai penghargaan atas komitmen, disiplin serta dedikasi berterusan dalam melaksanakan amanah perkhidmatan.

Puan Sr Asina binti Sabaan, Penolong Pegawai Penilaian W7 (KUP) telah menerima kenaikan pangkat secara Time-Based TBK2. Manakala Puan Zaimida binti Padalan, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N22 (KUP) turut menerima kenaikan pangkat secara Time-Based TBK1.

Sesi penyerahan surat telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS dan disaksikan oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.

Semoga penganugerahan ini terus menyuntik semangat dan menjadi motivasi kepada semua warga kerja MPS untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan organisasi.

LAWATAN PENANDA ARAS MPS KE MAJLIS BANDARAYA IPOH (MBI)

LAWATAN PENANDA ARAS MPS KE MAJLIS BANDARAYA IPOH (MBI)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Unit Penerbitan, Jabatan Korporat telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mempelajari amalan terbaik serta memahami dengan lebih dekat proses pengurusan penerbitan yang dilaksanakan oleh pihak MBI.

Sesi lawatan ini memberi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pengurusan kerja-kerja penerbitan termasuk penyediaan laporan tahunan, buletin, serta penghasilan bahan-bahan percetakan rasmi. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pendekatan, aliran kerja dan penambahbaikan yang boleh diaplikasikan dalam usaha memperkukuh mutu penerbitan di MPS.

Lawatan ini diketuai oleh Puan Nurul Huda binti Mohamed Abhar, Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPS, bersama 10 orang pegawai dalaman Jabatan Korporat.

MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Bandaraya Ipoh atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi kepakaran dalam bidang penerbitan. Pertukaran ilmu dan pengalaman ini bukan sahaja membuka ruang kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua PBT, malah menjadi pemangkin kepada penambahbaikan mutu penerbitan MPS pada masa hadapan.

PROGRAM TAKLIMAT PENYUSUNAN PENIAGA & UNDIAN PETAK PUTERI CENTRAL PARK (PCP) & GREEN VALLEY (GVP)

PROGRAM TAKLIMAT PENYUSUNAN PENIAGA & UNDIAN PETAK PUTERI CENTRAL PARK (PCP) & GREEN VALLEY (GVP)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan telah mengadakan Taklimat Penyusunan Penjaja dan Undian Petak bagi kawasan Puteri Central Park dan Green Valley bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Program ini selaras dengan Pelan Strategik Pengurusan dan Pemerkasaan Penjaja Kecil 2026–2030 yang memberi fokus kepada penyediaan kawasan perniagaan yang lebih tersusun, selesa dan selamat.

MPS telah menyiapkan 21 petak baharu di Puteri Central Park dan 15 petak di Green Valley sebagai pengganti kawasan lama yang tidak teratur. Daripada 41 penjaja yang dikenal pasti, seramai 20 penjaja hadir dan bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu.

Sesi taklimat disampaikan oleh Encik Zariman bin Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Pelesenan MPS dan Encik Muhammad Noor Salehuddin bin Kamis, Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS; serta Naziratul Iznaini,Timbalan Naib Presiden, Deposit & Kad, Bank Islam Malaysia Berhad. Objektif program taklimat ini adalah bertujuan untuk memberi penerangan mengenai proses undian petak, tatacara operasi, jadual perpindahan, pematuhan perniagaan serta sokongan pembiayaan.

Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh ekosistem penjaja kecil serta menyediakan platform perniagaan yang lebih kondusif dan berdaya saing.