Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Unit Penerbitan, Jabatan Korporat telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mempelajari amalan terbaik serta memahami dengan lebih dekat proses pengurusan penerbitan yang dilaksanakan oleh pihak MBI.
Sesi lawatan ini memberi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pengurusan kerja-kerja penerbitan termasuk penyediaan laporan tahunan, buletin, serta penghasilan bahan-bahan percetakan rasmi. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pendekatan, aliran kerja dan penambahbaikan yang boleh diaplikasikan dalam usaha memperkukuh mutu penerbitan di MPS.
Lawatan ini diketuai oleh Puan Nurul Huda binti Mohamed Abhar, Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPS, bersama 10 orang pegawai dalaman Jabatan Korporat.
MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Bandaraya Ipoh atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi kepakaran dalam bidang penerbitan. Pertukaran ilmu dan pengalaman ini bukan sahaja membuka ruang kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua PBT, malah menjadi pemangkin kepada penambahbaikan mutu penerbitan MPS pada masa hadapan.