Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan pencapaian cemerlang apabila dua regu dari Pasukan Karom MPS muncul Johan dan Naib Johan dalam Kategori Beregu Campuran (Agensi Kerajaan) pada Kejohanan Karom Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2025 yang berlangsung di Rumah Kelab Rekreasi MBPP.
Kejohanan anjuran Kelab Sukan MBPP itu menyaksikan penyertaan sebanyak 51 regu dari 15 agensi kerajaan seluruh Malaysia bagi kategori Beregu Campuran, selain pertandingan kategori perseorangan terbuka.
MPS yang menghantar empat regu bagi kejohanan tersebut berjaya menonjolkan prestasi membanggakan apabila dua regu berjaya menamatkan saingan di kedudukan teratas.
Bagi gelaran Johan, pasangan En. Faris Adil bin Omar Sudi dari Jabatan Kejuruteraan dan Pn. Nor Aziah binti Mohamad Badaruddin dari Jabatan Penguatkuasa & Keselamatan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM1,000.
Sementara itu, tempat Naib Johan pula diraih oleh pasangan En. Mohd Sofi bin Abdul Rahman Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan dan Cik Nor Aini binti Sulaiman dari Jabatan Landskap, yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM700.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan penglibatan aktif MPS dalam aktiviti sukan antara agensi serta komitmen warga kerja MPS dalam mengharumkan nama organisasi melalui pencapaian di peringkat luar.