Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

PROGRAM BAGAIMANA MENANGANI STRESS KAKITANGAN MPS

PROGRAM BAGAIMANA MENANGANI STRESS KAKITANGAN MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui kerjasama ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Selayang telah menganjurkan Program Bagaimana Menangani Stress Kakitangan Majlis Perbandaran Selayang yang berlangsung di Dewan Keraian, Tingkat 8, Menara MPS.

Program ini telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Haji Mohamed Zain bin Haji Mahmood, Pakar Motivasi, yang berkongsi input berkaitan pengurusan stres serta kaedah menanganinya secara berkesan dalam persekitaran kerja.

Seramai 100 orang kakitangan MPS telah menyertai program ini. Program ini turut dihadiri oleh Encik Mohd Saiful Saffie bin Haji Yahaya, Naib Pengerusi ANULAE Cawangan MPS.

Penganjuran program ini menjadi platform perkongsian ilmu yang memberi pendedahan serta meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan stres dalam persekitaran kerja.

PROGRAM ANULAE MENANGANI STRESS

PROGRAM KEMBARA CERIA ANAK ISTIMEWA 2025

PROGRAM KEMBARA CERIA ANAK ISTIMEWA 2025

Majlis Perbandaran Selayang dengan kerjasama Gamuda Gardens, Pejabat Pendidikan Daerah Gombak dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) SJKC Selayang Baru telah mengadakan Program Kembara Ceria Anak Istimewa 2025 bertempat di Fun Park Gamuda Luge Gardens, Rawang.

Penganjuran program ini melibatkan 32 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) daripada SJKC Selayang Baru. Program ini merupakan satu inisiatif yang dirangka khusus bagi memberikan pendedahan, pengalaman sosial serta peluang meneroka persekitaran luar bilik darjah kepada murid-murid PPKI. Program ini dibentuk berasaskan keperluan murid untuk belajar melalui pengalaman sebenar, di luar rutin harian sekolah, bagi membantu perkembangan holistik mereka.

Pendekatan ini bukan sahaja menyokong usaha membina komuniti yang lebih inklusif dan mesra OKU, malah seiring dengan agenda negeri di bawah Program dan Iltizam Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi memastikan golongan anak istimewa menerima sokongan yang komprehensif dan berterusan.

SESI DIALOG PROGRAM PEMATUHAN SYARAT & PENGUATKUASAAN KILANG TANPA KEBENARAN (KTK)

SESI DIALOG PROGRAM PEMATUHAN SYARAT & PENGUATKUASAAN KILANG TANPA KEBENARAN (KTK)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Bangunan telah menganjurkan Sesi Dialog Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) #kitaselangorktksifar (KIKS) bersama pemilik tanah dan pengusaha premis Kategori B (luar zon industri) di kawasan pentadbiran MPS.

Program ini menerima sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 155 orang peserta yang terdiri daripada pemilik tanah, penyewa dan pengusaha premis. Sesi dialog ini turut melibatkan penglibatan agensi dalaman dan luaran, termasuk jabatan-jabatan dalaman MPS serta Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PTDG).

Penganjuran sesi dialog ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkaitan keperluan pematuhan serta hasrat dan dasar Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu kilang tanpa kebenaran di kawasan luar zon industri.

Majlis Perbandaran Selayang berharap agar pemilik tanah dan pengusaha kilang dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan mengemukakan permohonan permit dan lesen yang diperlukan sebelum tamat tempoh program pada akhir Disember 2027.

PROGRAM SEMARAK RAKYAT KOMUNITI MADANI & KAMPUNG ANGKAT MADANI 2025

PROGRAM SEMARAK RAKYAT KOMUNITI MADANI & KAMPUNG ANGKAT MADANI 2025

Program Semarak Rakyat Komuniti MADANI dan Kampung Angkat MADANI STRIDE 2025 telah melabuhkan tirainya menerusi Majlis Perasmian Penutupan yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Batu Arang.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali dan turut dihadiri YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri Timbalan Yang Dipertua MPS.

Kampung Batu Arang telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI STRIDE dan menerima penambahbaikan melibatkan 10 prasarana utama dengan keseluruhan projek siap sepenuhnya pada 30 November 2025, hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan Malaysia, STRIDE, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, MPS serta komuniti setempat.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan inklusif dan seimbang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam majlis ini juga MPS telah menerima sijil penghargaan atas penglibatan dan kerjasama dalam menjayakan beberapa projek Kampung Angkat MADANI, khususnya melibatkan projek infrastruktur, landskap dan pengurusan sisa pepejal.

OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA PIHAK BERKUASA DI PASAR BORONG SELAYANG

OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA PIHAK BERKUASA DI PASAR BORONG SELAYANG

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pasar Borong bertujuan memastikan pematuhan undang-undang kecil serta kelancaran aktiviti perniagaan di kawasan pasar borong Selayang.

Operasi ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Tuan Muhammad Noor Salehuddin bin Kamis.

Operasi ini melibatkan kerjasama agensi luar iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Selayang, selain penglibatan jabatan dalaman MPS bagi melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu.

Sepanjang operasi, tindakan sitaan telah diambil ke atas empat gerai perniagaan atas kesalahan meletakkan barang perniagaan di tempat awam, selain tindakan memecahkan halangan siar kaki ke atas lima premis yang menghalang laluan awam. Jabatan Pelesenan serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) MPS turut menjalankan pemeriksaan ke atas premis dan gerai, mengeluarkan Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan, Notis Penamatan Tempoh Sewaan serta tindakan sitaan permit. Pemeriksaan semula ke atas tiga unit gerai yang telah ditampal notis dan tali kuning menunjukkan premis berada dalam keadaan yang tidak diceroboh.

Antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah penggunaan kawasan awam tanpa kebenaran MPS serta pengambilan pembantu bukan warganegara.

MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.

LAWATAN KETUA JABATAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN BERINTEGRITI MPS BIL. 2 2025

LAWATAN KETUA JABATAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN BERINTEGRITI MPS BIL. 2 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Unit Integriti telah melaksanakan Lawatan Ketua Jabatan yang diketuai oleh YBrs. Tuan Shahman bin Shahman, Yang Dipertua MPS bersama YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS dan Encik Rozaihan bin Ramli Ketua Unit Integriti.

Pelaksanaan ini adalah selaras dengan Surat Edaran JPA bertarikh 18 April 2024 yang menetapkan agar lawatan mengejut dilaksanakan sekurang-kurangnya enam bulan sekali bagi meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Lawatan ini memberi tumpuan kepada aspek keberadaan pegawai, tahap kesiapsiagaan melaksanakan tugas, pematuhan terhadap etika kerja dan etika pakaian, identifikasi pegawai serta disiplin kerja. Turut diteliti ialah etika perkhidmatan kaunter, khususnya kesediaan pegawai memberikan layanan profesional, berhemah dan konsisten kepada pelanggan.

Hasil pemantauan mendapati operasi jabatan berada dalam keadaan teratur, responsif dan berfungsi dengan baik. Pegawai mempamerkan sikap mesra pelanggan, komunikasi yang profesional serta kecekapan dalam menguruskan urusan harian. Kawasan kaunter juga didapati kemas dan kondusif, sekali gus menyokong kelancaran proses penyampaian perkhidmatan.

Seiring usaha penambahbaikan berterusan, MPS terus menekankan aspek kepantasan pengurusan pelanggan serta keselesaan mereka sebagai keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan.

MPS akan terus memperkukuh budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti demi memastikan mutu perkhidmatan awam yang cemerlang serta memberi impak positif kepada komuniti Selayang.

LAWATAN MENGEJUT DARI UNIT INTEGRITI DAN TIMBALAN YANG DI PERTUA KE JABATAN 2025

OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah bekerjasama dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan di Pasar Borong Harian Selayang (Jalan Besar Selayang Baru) sebagai tindakan susulan terhadap aduan awam berkaitan lambakan warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Operasi ini diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dibantu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PRDM), Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan diketuai oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor. 

MPS turut memberikan kerjasama penuh melalui kehadiran 20 anggota penguatkuasa yang diketuai oleh Encik Mohd Noor Salehuddin bin Kamis, Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS.

Menerusi operasi ini, MPS turut melaksanakan sebanyak tujuh sitaan halangan melibatkan warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen serta kesalahan menghalang laluan awam.

MPS akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan ketertiban kawasan pentadbiran MPS sentiasa terpelihara.

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL BANDAR SELAMAT PERINGKAT MPS TAHUN 2025

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL BANDAR SELAMAT PERINGKAT MPS TAHUN 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Perancang Bandar telah menganjurkan Karnival Bandar Selamat Peringkat MPS Tahun 2025 sebagai sebuah platform yang menghimpunkan elemen keselamatan bandar, amalan gaya hidup sihat serta penglibatan komuniti secara langsung dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Program turut dimeriahkan dengan sesi ceramah yang dikendalikan oleh tiga penceramah jemputan iaitu Insp. Siti Khatijah binti Ibrahim dari Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia IPD Gombak; Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Pegawai AADK dari Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Gombak; serta Encik Harbans Singh Mikar Singh, Jurulatih Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Gombak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan MPS kepada rakan strategik, jabatan dan agensi yang berkolaboratif menjayakan penganjuran program, diiringi oleh YDH Dato' Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato' Orang Kaya Maha Bijaya Gombak dan Tuan TPr. Affendi bin Samingan, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPS. Yang Dipertua MPS juga menyempurnakan penyampaian barangan keperluan rondaan keselamatan kepada persatuan-persatuan penduduk.

Selain itu, turut dilaksanakan penyampaian hadiah pertandingan mewarna kanak-kanak serta hadiah Kejohanan Bola Jaring Tertutup MPS, di samping aktiviti senamrobik Pound Fit yang menarik penyertaan aktif daripada komuniti setempat.

Majlis ini turut dihadiri oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS bersama Ahli-Ahli Majlis MPS, para pengarah jabatan, wakil agensi, komuniti dan NGO.

KARNIVAL BANDAR SELAMAT 2025

CABARAN EKSPLORASI SELAYANG 2025

CABARAN EKSPLORASI SELAYANG 2025

Cabaran Eksplorasi Selayang 2025 telah diadakan dengan penyertaan sebanyak 38 kumpulan yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti eksplorasi dan tugasan cabaran di sekitar kawasan Selayang. Program anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ini turut mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Gamuda Gardens, 168 Park Mall, Institut Kraft Negara (IKN) dan Jungle School Gombak.

Majlis perasmian serta sesi flag off telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.

Bagi edisi tahun ini, pasukan Power Dowh telah dinobatkan sebagai juara Cabaran Eksplorasi Selayang 2025 dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,200 beserta plak iringan. Pasukan Miracle meraih tempat kedua dengan hadiah RM1,800, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Cuba Nasib Nak Menang yang menerima hadiah RM1,500, masing-masing beserta plak iringan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS, diiringi Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS. Turut hadir, Tuan U Chin Ong, Ketua Whip Ahli Majlis MPS, serta pengarah-pengarah jabatan MPS yang turut sama memberikan sokongan.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan lokasi pelancongan dalam kawasan pentadbiran MPS, selaras dengan usaha memperkukuh penglibatan komuniti dan pembangunan setempat.

CABARAN EKSPLORASI SELAYANG 2025