Seramai 35 kakitangan daripada jabatan dalaman Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyertai Bengkel Pemantapan Pengurusan Aduan MPS Tahun 2025 anjuran Bahagian Pengaduan Awam dan Pengurusan Pelanggan, Jabatan Korporat bertempat di Ideas Hotel, Kuala Lumpur.
Turut hadir, Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat MPS yang menekankan di dalam ucapan aluannya bahawa pengurusan aduan yang berkualiti merupakan indikator penting dalam penyampaian perkhidmatan awam. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap aduan membawa mesej daripada masyarakat, dan tanggungjawab menanganinya adalah komitmen bersama seluruh organisasi.
Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Norsuhana binti Azman, Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Selangor, bersama Puan Zafirah binti Zainuddin, Ketua Penolong Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Selangor. Mereka berkongsi kepakaran serta pendekatan strategik dalam mengurus dan menjawab aduan pelanggan secara lebih efektif.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkukuh kefahaman, meningkatkan kemahiran serta memantapkan keupayaan warga kerja MPS dalam pengurusan aduan secara lebih jelas, cekap dan responsif selaras dengan keperluan penyampaian perkhidmatan berasaskan data dan ekspektasi pelanggan yang semakin tinggi.
Semoga perkongsian dan ilmu yang diperoleh menerusi bengkel ini dapat dimanfaatkan dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pengurusan aduan di MPS.