2026
FOCUS GROUP DISCUSSION 2 (FGD 2)
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Perancang Bandar dengan kerjasama perunding yang dilantik, IZM Consult telah menganjurkan Focus Group Discussion 2 (FGD 2) Pelan Tindakan Khas (PTK) Kampung Sungai Chinchin pada 27 Februari 2026 bertempat di Hotel Crystal Crown, Kuala Lumpur.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Turut hadir YBrs. Tuan Haji Azhar bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; YBrs. Tuan Rahim Kasdi selaku Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Selangor serta Tuan Megat selaku AM Zon 2. Taklimat kepada para peserta telah disampaikan oleh wakil perunding, En. Khairul Asyraf Ariffin.
Seramai 70 orang peserta telah menyertai sesi FGD ini yang terdiri daripada pengurusan tertinggi MPS, jabatan-jabatan teknikal dalaman, agensi teknikal luaran serta wakil penduduk setempat. Antara jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Landskap, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perundangan serta Jabatan Pelesenan.
Sesi FGD ini bertujuan untuk membentuk dan menentukan konsep pembangunan bagi kawasan kajian di Kampung Sungai Chinchin, di samping membincangkan cadangan strategi, projek dan program di bawah Pelan Tindakan Khas.
Dapatan daripada sesi perbincangan ini akan diterjemahkan ke dalam Laporan Draf Akhir sebelum dimuktamadkan sebagai Pelan Tindakan Khas pembangunan infrastruktur Kampung Sungai Chinchin yang komprehensif dan mampan demi kesejahteraan komuniti setempat.
PROGRAM REZEKI RAMADAN SIRI 1 2026 ANJURAN ANULAE MPS
ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengagihkan sebanyak 400 pek juadah berbuka puasa kepada warga kerja MPS bertempat di Lobi Menara MPS.
Majlis penyerahan juadah tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.
Turut hadir ialah Puan Ruzani binti Sohot, Pengerusi ANULAE Cawangan MPS dan Ahli Jawatankuasa ANULAE Cawangan MPS serta Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat MPS.
Semoga perkongsian rezeki ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT serta terus menyemarakkan ukhuwah dalam kalangan warga MPS sepanjang bulan Ramadan.
MESYUARAT MAJLIS BIL. 2 2026
Mesyuarat Majlis Bil.2/26 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.
Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Dalam ucapan beliau, Tuan YDP telah berkongsi pencapaian sepanjang bulan Februari 2026 dan menzahirkan rasa bangga beliau atas kejayaan MPS.
Hadir sama dalam mesyuarat ini ialah YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud; Penolong Setiausaha MPS; Ahli Majlis serta pengarah jabatan .
PROGRAM KAWAH KASIH BUBUR LAMBUK MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan MPS (KSDK MPS) telah menganjurkan Program Kawah Kasih Bubur Lambuk sempena program Ihya Ramadan Peringkat MPS Tahun 2026 bertempat di pekarangan tempat letak kereta Menara MPS.
Program yang dilaksanakan secara gotong-royong ini melibatkan penyertaan seramai 160 kakitangan MPS sebagai usaha mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat, di samping memupuk semangat kerjasama, mempereratkan muhibah serta berkongsi rezeki bersama warga Selayang.
YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, turut berkesempatan meluangkan masa meninjau persiapan bubur lambuk. Hadir sama, YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Ts. Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Ahli Majlis serta pengarah-pengarah jabatan.
Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada kakitangan MPS, agensi kerajaan dan swasta serta orang awam yang berurusan di MPS. YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, turut meluangkan masa mengedarkan bubur lambuk kepada orang awam di sekitar Teduh, Prima Sri Gombak dan _Rider Pit Stop_ Bandar Baru Selayang.
Semoga inisiatif seperti ini terus menjadi wadah menyemai kasih sayang, memperkukuh silaturahim dan menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga MPS dan masyarakat Selayang.
MAJLIS IFTAR SEMPENA IHYA RAMADAN PERINGKAT MPS TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Majlis Iftar Sempena Ihya Ramadan Peringkat MPS Tahun 2026 sebagai wadah pengimarahan bulan Ramadan di samping memperkukuh nilai kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan warga Perbandaran Selayang.
Majlis ini dimulakan dengan pelancaran Program Ziarah Selayang Prihatin Peringkat MPS Tahun 2026, iaitu program konvoi ziarah serta agihan sumbangan bakul makanan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di sekitar Perbandaran Selayang. Penyerahan sumbangan telah disempurnakan kepada Ahli-ahli Majlis MPS yang mewakili penerima di 24 zon MPS.
Selain itu, sumbangan turut disampaikan kepada empat buah pertubuhan kebajikan terpilih, termasuk sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), iaitu badan kebajikan Islam di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) atas sumbangan barangan keperluan makanan kepada empat buah rumah pertubuhan kebajikan, di samping sesi pemberian duit raya kepada anak-anak yatim yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.
Majlis diserikan dengan sesi tazkirah Ramadan bersama pendakwah Da’i Nor Adibah Rozain sebelum para hadirin bersama-sama menanti azan Maghrib untuk berbuka puasa. Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib, solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Pua Pei Ling, Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan; YBhg. Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican, Penyelaras DUN Kuang; YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Ahli-Ahli Majlis serta barisan pengarah MPS.
SESI MENYANTUNI ANAK-ANAK YATIM SEMPENA PROGRAM IHYA’ RAMADAN PERINGKAT MPS 2026
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menyantuni 28 orang anak yatim dan lapan orang penjaga daripada Pengurusan Raudhatul Al Faeez, Gombak dengan mengadakan sesi membeli-belah pakaian raya bertempat di Mydin Mall, Subang Jaya.
Setiap anak yatim termasuk penjaga diperuntukkan sebanyak RM250 seorang bagi pembelian kelengkapan Hari Raya Aidilfitri seperti jubah, baju Melayu beserta sampin, kurta dan seluar panjang, songkok serta sepasang kasut. Turut hadir menyantuni dan membantu anak-anak memilih pakaian ialah Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS.
Anak-anak ini juga akan dijemput menghadiri Majlis Iftar MPS pada 25 Februari 2026 untuk berbuka puasa bersama, di samping menerima sumbangan duit raya berjumlah RM100 setiap seorang. Selain itu, pertubuhan berkenaan bersama tiga lagi pertubuhan di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000.00 setiap satu, manakala YIDE turut menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM2,000.00.
Sumbangan yang disalurkan sempena Program Ihya’ Ramadan ini diharapkan dapat menceriakan anak-anak yang kurang bernasib baik dalam membuat persiapan menyambut Syawal, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan pusat-pusat jagaan yang terlibat.





























