Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan MPS (KSDK MPS) telah menganjurkan Program Kawah Kasih Bubur Lambuk sempena program Ihya Ramadan Peringkat MPS Tahun 2026 bertempat di pekarangan tempat letak kereta Menara MPS.
Program yang dilaksanakan secara gotong-royong ini melibatkan penyertaan seramai 160 kakitangan MPS sebagai usaha mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat, di samping memupuk semangat kerjasama, mempereratkan muhibah serta berkongsi rezeki bersama warga Selayang.
YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, turut berkesempatan meluangkan masa meninjau persiapan bubur lambuk. Hadir sama, YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Ts. Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Ahli Majlis serta pengarah-pengarah jabatan.
Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada kakitangan MPS, agensi kerajaan dan swasta serta orang awam yang berurusan di MPS. YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, turut meluangkan masa mengedarkan bubur lambuk kepada orang awam di sekitar Teduh, Prima Sri Gombak dan _Rider Pit Stop_ Bandar Baru Selayang.
Semoga inisiatif seperti ini terus menjadi wadah menyemai kasih sayang, memperkukuh silaturahim dan menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga MPS dan masyarakat Selayang.