Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menyantuni 28 orang anak yatim dan lapan orang penjaga daripada Pengurusan Raudhatul Al Faeez, Gombak dengan mengadakan sesi membeli-belah pakaian raya bertempat di Mydin Mall, Subang Jaya.
Setiap anak yatim termasuk penjaga diperuntukkan sebanyak RM250 seorang bagi pembelian kelengkapan Hari Raya Aidilfitri seperti jubah, baju Melayu beserta sampin, kurta dan seluar panjang, songkok serta sepasang kasut. Turut hadir menyantuni dan membantu anak-anak memilih pakaian ialah Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS.
Anak-anak ini juga akan dijemput menghadiri Majlis Iftar MPS pada 25 Februari 2026 untuk berbuka puasa bersama, di samping menerima sumbangan duit raya berjumlah RM100 setiap seorang. Selain itu, pertubuhan berkenaan bersama tiga lagi pertubuhan di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000.00 setiap satu, manakala YIDE turut menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM2,000.00.
Sumbangan yang disalurkan sempena Program Ihya’ Ramadan ini diharapkan dapat menceriakan anak-anak yang kurang bernasib baik dalam membuat persiapan menyambut Syawal, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan pusat-pusat jagaan yang terlibat.