Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Perancang Bandar dengan kerjasama perunding yang dilantik, IZM Consult telah menganjurkan Focus Group Discussion 2 (FGD 2) Pelan Tindakan Khas (PTK) Kampung Sungai Chinchin pada 27 Februari 2026 bertempat di Hotel Crystal Crown, Kuala Lumpur.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Turut hadir YBrs. Tuan Haji Azhar bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; YBrs. Tuan Rahim Kasdi selaku Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Selangor serta Tuan Megat selaku AM Zon 2. Taklimat kepada para peserta telah disampaikan oleh wakil perunding, En. Khairul Asyraf Ariffin.
Seramai 70 orang peserta telah menyertai sesi FGD ini yang terdiri daripada pengurusan tertinggi MPS, jabatan-jabatan teknikal dalaman, agensi teknikal luaran serta wakil penduduk setempat. Antara jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Landskap, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perundangan serta Jabatan Pelesenan.
Sesi FGD ini bertujuan untuk membentuk dan menentukan konsep pembangunan bagi kawasan kajian di Kampung Sungai Chinchin, di samping membincangkan cadangan strategi, projek dan program di bawah Pelan Tindakan Khas.
Dapatan daripada sesi perbincangan ini akan diterjemahkan ke dalam Laporan Draf Akhir sebelum dimuktamadkan sebagai Pelan Tindakan Khas pembangunan infrastruktur Kampung Sungai Chinchin yang komprehensif dan mampan demi kesejahteraan komuniti setempat.