Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2026

MESYUARAT AGUNG TRITAHUNAN ANULAE CAWANGAN MPS KALI KE-5 SESI 2026–2029

MESYUARAT AGUNG TRITAHUNAN ANULAE CAWANGAN MPS KALI KE-5 SESI 2026–2029

ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Ke-5 bagi sesi 2026–2029 di Lobi Menara MPS.

Pada mesyuarat kali ini, YBhg. Dato’ Dr. Haji Adnan bin Mat, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) merangkap Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) Sains dan Teknologi, bersama empat orang pegawai tertinggi ANULAE turut hadir memeriahkan majlis.

Mesyuarat agung ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua, MPS. Seramai 630 orang kakitangan MPS telah hadir bagi menjayakan mesyuarat agung ini.

Puan Ruzani binti Sohot, Pengerusi ANULAE MPS bersama Ahli Jawatankuasa ANULAE Cawangan MPS juga hadir sebagai penganjur utama program.

Sebanyak 45 cabutan bertuah turut disediakan bagi memeriahkan lagi mesyuarat agung kali ini.

Mesyuarat Agung Tritahunan ini turut menyaksikan pengumuman pemilihan calon-calon yang berjaya menganggotai Ahli Jawatankuasa baharu bagi sesi 2026–2029. Notis pencalonan telah dikeluarkan pada 15 April 2026 dan seramai 26 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) telah dilantik pada kali ini.

#malaysiamadani

#selayangkusayang

#kitaselangormajubersama

SESI TAKLIMAT PROGRAM PEMENTORAN PERKHIDMATAN AWAM MPS 2026

SESI TAKLIMAT PROGRAM PEMENTORAN PERKHIDMATAN AWAM MPS 2026

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Sesi Taklimat Program Pementoran Perkhidmatan Awam MPS Tahun 2026 melibatkan seramai 24 orang pegawai, terdiri daripada 11 mentor dan 13 menti.

Program ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan konsep pementoran, peranan mentor dan menti serta kepentingannya dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam yang lebih profesional, efisien dan berintegriti.

Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Megat Syaiful Izzuddin bin Megat Mokhtar, Pegawai Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai yang terlibat. Semoga program ini terus menjadi platform memperkasa kompetensi warga kerja MPS dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

SESI LIBAT URUS MPS BERSAMA PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

SESI LIBAT URUS MPS BERSAMA PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai platform komunikasi dua hala bagi memperkukuh hubungan strategik serta merapatkan jalinan kerjasama antara pihak MPS dan NGO dalam kawasan pentadbiran MPS.

Program ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung pelbagai isu, aduan dan cadangan serta keperluan NGO melalui sesi dialog terbuka dan perbincangan bersama, sekali gus membantu MPS menambah baik penyampaian perkhidmatan serta melaksanakan tindakan susulan yang lebih efektif demi kesejahteraan komuniti setempat.

Dalam majlis berkenaan, YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, telah menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum secara rasmi memulakan sesi libat urus tersebut. Turut sama pada Sesi Libat Urus ini YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daus, Penolong Setiausaha MPS, Ahli Majlis MPS dan pengarah jabatan MPS.

Kehadiran pelbagai wakil NGO dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat, strategik dan berimpak tinggi.

#malaysiamadani

#selayangkusayang

#kitaselangormajubersama

OPERASI PEMBERSIHAN SISA HARAM DI KUANG

OPERASI PEMBERSIHAN SISA HARAM DI KUANG

Kegiatan pembuangan sampah longgok, sisa industri serta sisa binaan secara haram telah dikesan berlaku di kawasan tapak parkir sekitar Kawasan Perusahaan Batu 20. Aktiviti tidak bertanggungjawab tersebut telah menyebabkan berlakunya longgokan sampah di kawasan awam serta rizab jalan, sekali gus mencemarkan persekitaran dan menjejaskan imej kawasan perindustrian.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah melaksanakan operasi pembersihan terhadap sisa buangan haram berkenaan bagi memastikan kawasan terbabit kembali bersih, selamat dan teratur. Susulan selesai kerja-kerja pembersihan, tindakan pemasangan tali keselamatan berwarna kuning turut dilaksanakan sebagai langkah kawalan dan pemantauan di lokasi terlibat.

Orang ramai diingatkan agar tidak membuang sampah di kawasan awam atau di lokasi yang tidak dibenarkan oleh pihak MPS. Sebarang pelanggaran terhadap arahan ini boleh dikenakan tindakan kompaun tidak melebihi RM1,000.00 di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007.

Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam memastikan kebersihan, kesejahteraan dan kelestarian persekitaran sentiasa terpelihara.

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

#selayangkusayang

OPERASI BERSEPADU KILANG TANPA KEBENARAN (KTK) DI ZON GOMBAK

OPERASI BERSEPADU KILANG TANPA KEBENARAN (KTK) DI ZON GOMBAK

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan telah melaksanakan Operasi Bersepadu Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) di Zon Gombak dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan serta Jabatan Korporat.

Operasi ini dilaksanakan bagi menjalankan lawat periksa terhadap kilang-kilang yang telah diberikan notis pengosongan di lokasi tersebut.

Hasil pemeriksaan terhadap 10 premis kilang, sebanyak 3 premis kilang telah dikenakan tindakan penutupan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen. Selain itu, satu gerai makanan turut dikenakan tindakan sitaan lesen perniagaan serta serahan notis pematuhan syarat lesen perniagaan.

MPS akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan serta keselesaan masyarakat setempat.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

LAWATAN PENANDA ARAS SMART TOILET KE SYARIKAT RIGEL TECHNOLOGY SDN. BHD

LAWATAN PENANDA ARAS SMART TOILET KE SYARIKAT RIGEL TECHNOLOGY SDN. BHD

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah mengadakan lawatan ke Syarikat Rigel Technology Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Encik Mohd Kasri bin Muharddin selaku Ketua Bahagian Kesihatan Awam, JPSPK, MPS bersama jabatan-jabatan dalaman MPS.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi melihat dan meneliti teknologi “Smart Toilet” yang diperkenalkan oleh pihak syarikat sebagai salah satu usaha penambahbaikan kemudahan tandas awam di kawasan pentadbiran MPS.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi MPS ke arah penyediaan tandas awam bertaraf 4 bintang yang menitikberatkan elemen Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) di samping menyokong agenda Smart City dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih moden dan efisien kepada masyarakat.

MPS turut menyahut seruan Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan pelaksanaan dasar pemerkasaan tandas awam ke arah penarafan 4 bintang dan ke atas demi memastikan kemudahan awam yang lebih selesa, bersih dan berkualiti untuk pengguna.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama

KUNJUNGAN HORMAT KOMANDER JURUTERA MEDAN BARAT BERSAMA YANG DIPERTUA MPS

KUNJUNGAN HORMAT KOMANDER JURUTERA MEDAN BARAT BERSAMA YANG DIPERTUA MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja Medan Barat diketuai oleh Brigedier Jeneral Ts. Mohd Radzi bin Ariffin, Komander Jurutera Medan Barat ke Pejabat Yang Dipertua MPS.

Delegasi tersebut telah disambut oleh Yang Dipertua MPS, Tuan Shahman bin Jalaludin bersama barisan pengurusan MPS iaitu Encik Ahmad Faisal Bin Badiuzaman, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta; LAr. Mokhtar Affandi Bin Abdul Ghani, Pengarah Landskap serta Puan Zulaina Binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat. 

Kunjungan hormat ini diadakan bagi tujuan sesi interaksi serta membincangkan bantuan kemudahan dari aspek pentadbiran dan logistik bagi pelaksanaan Program Jelajah Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Jun 2026 di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Selangor.

Pertemuan ini diharap dapat mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara MPS dan pihak Angkatan Tentera Malaysia dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

#selayangkusayang

#malaysiamadani

#kitaselangormajubersama