Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai platform komunikasi dua hala bagi memperkukuh hubungan strategik serta merapatkan jalinan kerjasama antara pihak MPS dan NGO dalam kawasan pentadbiran MPS.
Program ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung pelbagai isu, aduan dan cadangan serta keperluan NGO melalui sesi dialog terbuka dan perbincangan bersama, sekali gus membantu MPS menambah baik penyampaian perkhidmatan serta melaksanakan tindakan susulan yang lebih efektif demi kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam majlis berkenaan, YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, telah menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum secara rasmi memulakan sesi libat urus tersebut. Turut sama pada Sesi Libat Urus ini YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daus, Penolong Setiausaha MPS, Ahli Majlis MPS dan pengarah jabatan MPS.
Kehadiran pelbagai wakil NGO dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat, strategik dan berimpak tinggi.