Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah mengadakan lawatan ke Syarikat Rigel Technology Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Encik Mohd Kasri bin Muharddin selaku Ketua Bahagian Kesihatan Awam, JPSPK, MPS bersama jabatan-jabatan dalaman MPS.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi melihat dan meneliti teknologi “Smart Toilet” yang diperkenalkan oleh pihak syarikat sebagai salah satu usaha penambahbaikan kemudahan tandas awam di kawasan pentadbiran MPS.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi MPS ke arah penyediaan tandas awam bertaraf 4 bintang yang menitikberatkan elemen Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) di samping menyokong agenda Smart City dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih moden dan efisien kepada masyarakat.
MPS turut menyahut seruan Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan pelaksanaan dasar pemerkasaan tandas awam ke arah penarafan 4 bintang dan ke atas demi memastikan kemudahan awam yang lebih selesa, bersih dan berkualiti untuk pengguna.