Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

DARUL EHSAN BERSELAWAT

DARUL EHSAN BERSELAWAT

Suasana di Taman Seri Gombak Fasa 3 diserikan dengan alunan bacaan selawat sempena Program Darul Ehsan Berselawat di Festival Kesenian Islam Selangor Daerah Gombak. Penganjuran program ini berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 umat Islam dari dalam dan luar negara.

Para hadirin turut berpeluang mengikuti sesi tausiah yang disampaikan oleh Ustaz Azian Man. Pengisian rohani yang dibawa beliau sarat dengan mesej ketakwaan, penghayatan akhlak mulia, serta pengukuhan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.

Majlis kemudiannya diserikan dengan lantunan selawat dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf, diiringi kumpulan Majelis Az-Zahir. Alunan selawat yang merdu dan penuh penghayatan itu menyentuh perasaan serta meningkatkan keinsafan dalam kalangan para hadirin.

Program Darul Ehsan Berselawat ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, yang bersama-sama rakyat mengimarahkan majlis selawat ini. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, serta YDH. Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak.

MPS akan terus komited mendukung penganjuran program berunsurkan kerohanian dan kemasyarakatan sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan serta memperkasakan pembangunan komuniti di kawasan Selayang.

DARUL EHSAN BERSELAWAT

MPS KOMITED PERKUKUH INFRASTRUKTUR RIADAH MELALUI PROJEK MESRA RAKYAT

MPS KOMITED PERKUKUH INFRASTRUKTUR RIADAH MELALUI PROJEK MESRA RAKYAT

Projek Mesra Rakyat Parlimen Gombak telah dirasmikan di Padang Taman Selaseh Fasa 2, Batu Caves, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kemudahan komuniti di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Projek itu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dan melibatkan kerja-kerja menaik taraf gelanggang serbaguna serta pembinaan bumbung baharu bagi memastikan kawasan riadah tersebut dapat digunakan dengan lebih selesa pada setiap masa.

Pelaksanaan projek ini bukan sahaja meningkatkan mutu infrastruktur setempat, malah memberi nilai tambah kepada kesejahteraan penduduk, khususnya bagi aktiviti sukan dan rekreasi. Menerusi penaiktarafan ini, kemudahan tersebut dijangka mampu menampung penggunaan komuniti setempat secara lebih efektif serta menjadi ruang yang lebih selamat, tersusun dan kondusif.

MPS turut menzahirkan komitmen untuk terus melaksanakan projek pembangunan berimpak positif demi memastikan kemudahan awam di kawasan Parlimen Gombak sentiasa berada pada tahap terbaik dan dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.

LAWATAN MENTERI BESAR SELANGOR KE PROJEK ‘TEDUH’ MPS

LAWATAN MENTERI BESAR SELANGOR KE PROJEK ‘TEDUH’ MPS

YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor telah mengadakan lawatan ke Projek ‘TEDUH’ Majlis Perbandaran Selayang diiringi YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertempat di Prima Sri Gombak.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam menyokong inisiatif pihak berkuasa tempatan bagi menyediakan kemudahan yang berfungsi dan mesra komuniti, khususnya kepada penghantar makanan.

Projek ‘TEDUH’ merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor bersama Pihak Berkuasa tempatan (PBT) dalam menyediakan tempat persinggahan dan ruang rehat sementara yang selamat, selesa dan teratur bagi penghantar makanan. Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk lampu, kipas serta soket pengecas telefon yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBrs. Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi; Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras DUN Gombak Setia, Tuan Mohammad Faizal bin Ismail; Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak serta Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang.

Inisiatif ini mencerminkan peranan aktif Kerajaan Negeri Selangor dan MPS dalam menyediakan kemudahan bandar yang lebih inklusif serta menitikberatkan kebajikan komuniti setempat.

SESI PENYERAHAN DAN SESI TAKLIMAT SURAT TAWARAN PERLANJUTAN SEWAAN PREMIS MPS

SESI PENYERAHAN DAN SESI TAKLIMAT SURAT TAWARAN PERLANJUTAN SEWAAN PREMIS MPS

Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 2025 telah mengadakan sesi penyerahan dan taklimat surat tawaran perlanjutan sewaan premis MPS. Sesi ini telah berlangsung pada 23 Disember 2025 (Selasa), 2.30 petang bertempat di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak.

Pada sesi ini telah diadakan sesi taklimat penyewaan oleh En Faisal Bin Badiuzaman, Pengarah, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta kepada 533 orang penyewa premis MPS. 

MPS berharap para penyewa dapat memanfaatkan premis yang disediakan sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan serta melahirkan lebih ramai usahawan berjaya pada masa hadapan. MPS turut komited untuk terus menyokong pembangunan ekonomi setempat melalui penyediaan kemudahan perniagaan yang kondusif dan berdaya saing.

MESYUARAT YDP MPS BERSAMA AHLI PARLIMEN DAN AHLI DEWAN NEGERI (ADN) BIL. 4 2025

MESYUARAT YDP MPS BERSAMA AHLI PARLIMEN DAN AHLI DEWAN NEGERI (ADN) BIL. 4 2025

Mesyuarat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bil. 4/2025 telah diadakan pada 24 Disember 2025 bertempat di Bilik Siantan, Majlis Perbandaran Selayang, bermula jam 9.00 pagi.

Mesyuarat ini menjadi platform komunikasi dua hala antara pihak MPS dengan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN bagi membincangkan isu-isu semasa, keperluan setempat dan cadangan penambahbaikan berkaitan perkhidmatan serta pembangunan di kawasan pentadbiran MPS.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang. Turut hadir ialah YB Puan Afnaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer; Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras DUN Gombak Setia; YB Chua Wei Kiat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang; YB Puan Pei Ling, Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan; serta YBhg. Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican, Penyelaras DUN Kuang, bersama wakil-wakil ADN dan Ahli Parlimen.

Sepanjang sesi mesyuarat berlangsung, pelbagai isu berkaitan infrastruktur, kebersihan dan perkhidmatan perbandaran telah dibincangkan secara konstruktif. Mesyuarat turut menekankan kepentingan penyelarasan yang lebih berkesan antara MPS dan wakil rakyat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Pihak MPS akan meneliti setiap isu serta cadangan yang dikemukakan dan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian. Kerjasama strategik antara MPS dan wakil rakyat akan terus diperkukuh demi memastikan kesejahteraan penduduk serta pembangunan mampan di kawasan perbandaran Selayang.

SESI PENYERAHAN & SESI TAKLIMAT SURAT TAWARAN PERLANJUTAN SEWAAN PREMIS MPS

SESI PENYERAHAN & SESI TAKLIMAT SURAT TAWARAN PERLANJUTAN SEWAAN PREMIS MPS

Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 2025 telah mengadakan sesi penyerahan dan taklimat surat tawaran perlanjutan sewaan premis MPS. Sesi ini telah berlangsung bertempat di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak.

Dalam sesi ini diadakan taklimat penyewaan yang telah disampaikan oleh Encik Faisal bin Badiuzaman, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) kepada 330 orang penyewa premis MPS. 

Diharapkan agar penyewa MPS dapat menjadikan premis MPS sebagai platform untuk membina dan melahirkan usahawan yang berpotensi pada masa akan datang

MESYUARAT MAJLIS BIL. 12 2025

MESYUARAT MAJLIS BIL. 12 2025

Mesyuarat Majlis Bil. 12/25 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah berlangsung di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Dalam ucapan beliau, Tuan YDP telah berkongsi pencapaian sepanjang bulan Disember 2025 serta menzahirkan rasa bangga atas pencapaian dan usaha yang telah dicapai oleh MPS pada bulan ini.

Bagi menghargai komitmen dan khidmat bakti barisan Ahli-ahli Majlis MPS bagi sesi 2024–2025, MPS telah menyampaikan sumbangan dan sijil penghargaan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang disampaikan oleh Tuan YDP.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; pengarah-pengarah jabatan serta wakil pihak media.

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MPS BULAN DISEMBER

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MPS BULAN DISEMBER

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan pada 19 Disember 2025 (Jumaat) bertempat di Lobi Menara MPS. Program ini dipengerusikan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dengan penglibatan 14 jabatan dalaman serta satu agensi kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan MPS dalam memperkukuh komunikasi bersama penduduk. Ia memberi peluang kepada orang awam untuk menyuarakan pertanyaan dan aduan secara langsung kepada pegawai jabatan berkaitan, termasuk mendapatkan penjelasan terus mengenai isu-isu perbandaran.

Sebanyak 49 aduan dan pertanyaan telah diterima sepanjang program berlangsung. Antara Isu yang dikemukakan termasuk isu berkaitan penguatkuasaan, kacau ganggu dan masalah infra.

Program ini telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya sebagai saluran perkhidmatan bersemuka yang lebih telus dan mesra rakyat. Turut sama, YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.

Orang awam yang tidak berkesempatan hadir boleh menyalurkan aduan atau cadangan secara dalam talian melalui portal SPAB di https://mps.spab.gov.my atau menerusi platform media sosial rasmi MPS.

MALAM APRESIASI MPS 2025 “KOMITMEN DIHARGAI DEMI MENCIPTA LEGASI UNGGUL”

MALAM APRESIASI MPS 2025 “KOMITMEN DIHARGAI DEMI MENCIPTA LEGASI UNGGUL”

Malam Apresiasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 2025 telah berlangsung dengan penuh gemilang bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC), Selayang. Program anjuran bersama Majlis Perbandaran Selayang dan Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja MPS atas komitmen dan sumbangan berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis ini dianjurkan bertujuan memperkukuh silaturahim, memupuk semangat perpaduan serta menghargai dedikasi kakitangan MPS selaras dengan tema “Komitmen Dihargai Demi Mencipta Legasi Unggul”. 

Kehadiran kira-kira 600 orang kakitangan dan tetamu turut menyerlahkan lagi kemeriahan majlis, dengan penampilan tema pakaian “Denim & White” yang mewujudkan suasana santai namun elegan sepanjang program berlangsung.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Ketua Whip Tuan Haji Sulaiman bin Abu Samah serta Tuan K. Thanabal a/l Krishnan; Ahli-ahli Majlis MPS, dan barisan pengarah jabatan dalaman MPS.

Pelbagai acara menarik telah diadakan sepanjang malam termasuk cabutan bertuah, pertandingan pakaian terbaik serta persembahan artis jemputan iaitu Siti Nordiana dan Sentuhan Buskers yang berjaya menghiburkan para hadirin. Penganjuran Malam Apresiasi ini diharapkan dapat terus menjadi platform menghargai warga kerja MPS serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam mendukung aspirasi organisasi.

MAJLIS APRESIASI MPS 2025

LAWATAN KERJA DELOITTE TOHMATSU FINANCIAL ADVISORY LLC @ JICA CONSULTANT JEPUN & KYUKEN SOGOKAIHATSU CO. LTD. KE MPS

LAWATAN KERJA DELOITTE TOHMATSU FINANCIAL ADVISORY LLC @ JICA CONSULTANT JEPUN & KYUKEN SOGOKAIHATSU CO. LTD. KE MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Kejuruteraan telah menerima kunjung hormat daripada delegasi Deloitte Tohmatsu Financial Advisory LLC @ JICA Consultant Jepun bersama Kyuken Sogokaihatsu Co. Ltd.

Lawatan kerja ini telah disambut oleh Tuan Ir. Ts. Hazrin Hazizi bin Hussain Sabri, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPS. Delegasi seramai lima orang tersebut diketuai oleh Ms. Mayumi Ishizaki, Overseas Business Division, Kyuken Sogokaihatsu Co. Ltd. 

Lawatan ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada delegasi berkaitan kaedah pembaikan dan penyelenggaraan jalan yang dilaksanakan oleh MPS selaras dengan keperluan serta persekitaran setempat.

Sepanjang sesi lawatan, pelbagai perbincangan dan pertukaran pandangan telah diadakan melibatkan perkongsian pengalaman serta pendedahan mengenai teknologi jalan terkini yang diguna pakai, termasuk pendekatan inovatif dalam meningkatkan kualiti dan ketahanan infrastruktur jalan. Sesi ini turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memahami amalan terbaik serta cabaran dalam pengurusan penyelenggaraan jalan di peringkat pihak berkuasa tempatan.

Lawatan kerja ini telah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan serta jaringan kerjasama antara MPS dan pihak antarabangsa. Di samping itu, sesi lawatan ini turut membuka ruang perbincangan ke arah potensi kerjasama pada masa hadapan, khususnya berkaitan pelaksanaan projek perintis penyelenggaraan jalan secara mampan di peringkat pihak berkuasa tempatan.