Suasana di Taman Seri Gombak Fasa 3 diserikan dengan alunan bacaan selawat sempena Program Darul Ehsan Berselawat di Festival Kesenian Islam Selangor Daerah Gombak. Penganjuran program ini berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 umat Islam dari dalam dan luar negara.
Para hadirin turut berpeluang mengikuti sesi tausiah yang disampaikan oleh Ustaz Azian Man. Pengisian rohani yang dibawa beliau sarat dengan mesej ketakwaan, penghayatan akhlak mulia, serta pengukuhan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Majlis kemudiannya diserikan dengan lantunan selawat dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf, diiringi kumpulan Majelis Az-Zahir. Alunan selawat yang merdu dan penuh penghayatan itu menyentuh perasaan serta meningkatkan keinsafan dalam kalangan para hadirin.
Program Darul Ehsan Berselawat ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, yang bersama-sama rakyat mengimarahkan majlis selawat ini. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, serta YDH. Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak.
MPS akan terus komited mendukung penganjuran program berunsurkan kerohanian dan kemasyarakatan sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan serta memperkasakan pembangunan komuniti di kawasan Selayang.
DARUL EHSAN BERSELAWAT