Mesyuarat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bil. 4/2025 telah diadakan pada 24 Disember 2025 bertempat di Bilik Siantan, Majlis Perbandaran Selayang, bermula jam 9.00 pagi.
Mesyuarat ini menjadi platform komunikasi dua hala antara pihak MPS dengan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN bagi membincangkan isu-isu semasa, keperluan setempat dan cadangan penambahbaikan berkaitan perkhidmatan serta pembangunan di kawasan pentadbiran MPS.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang. Turut hadir ialah YB Puan Afnaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer; Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras DUN Gombak Setia; YB Chua Wei Kiat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang; YB Puan Pei Ling, Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan; serta YBhg. Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican, Penyelaras DUN Kuang, bersama wakil-wakil ADN dan Ahli Parlimen.
Sepanjang sesi mesyuarat berlangsung, pelbagai isu berkaitan infrastruktur, kebersihan dan perkhidmatan perbandaran telah dibincangkan secara konstruktif. Mesyuarat turut menekankan kepentingan penyelarasan yang lebih berkesan antara MPS dan wakil rakyat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Pihak MPS akan meneliti setiap isu serta cadangan yang dikemukakan dan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian. Kerjasama strategik antara MPS dan wakil rakyat akan terus diperkukuh demi memastikan kesejahteraan penduduk serta pembangunan mampan di kawasan perbandaran Selayang.