YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor telah mengadakan lawatan ke Projek ‘TEDUH’ Majlis Perbandaran Selayang diiringi YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertempat di Prima Sri Gombak.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam menyokong inisiatif pihak berkuasa tempatan bagi menyediakan kemudahan yang berfungsi dan mesra komuniti, khususnya kepada penghantar makanan.
Projek ‘TEDUH’ merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor bersama Pihak Berkuasa tempatan (PBT) dalam menyediakan tempat persinggahan dan ruang rehat sementara yang selamat, selesa dan teratur bagi penghantar makanan. Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk lampu, kipas serta soket pengecas telefon yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBrs. Tuan A. Rahim bin Ahmad Kasdi; Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras DUN Gombak Setia, Tuan Mohammad Faizal bin Ismail; Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak serta Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang.
Inisiatif ini mencerminkan peranan aktif Kerajaan Negeri Selangor dan MPS dalam menyediakan kemudahan bandar yang lebih inklusif serta menitikberatkan kebajikan komuniti setempat.