Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

PERASMIAN SESI LIBAT URUS PELAN STRATEGIK PENGURUSAN DAN PEMERKASAAN PENJAJA KECIL MPS 2026 - 2030

PERASMIAN SESI LIBAT URUS PELAN STRATEGIK PENGURUSAN DAN PEMERKASAAN PENJAJA KECIL MPS 2026 - 2030

Majlis perasmian Sesi Libat Urus Pelan Strategik Pengurusan dan Pemerkasaan Penjaja Kecil MPS 2026 - 2030 telah diadakan pada hari kedua bertempat di Lobi Menara MPS dan disempurnakan oleh Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Turut hadir ke majlis ini ialah YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Gombak; Tuan Haji Mohd Syukri bin Abdullah Zawawi, Pengarah Jabatan Pelesenan MPS; Dr. Izhar bin Che Mae, Perunding MPC; wakil-wakil Parlimen dan DUN, Ahli-ahli Majlis dan Pengarah-pengarah Jabatan.

Majlis disusuli dengan sesi penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Malaysia Productivity Corporation (MPC) atas kerjasama strategik yang terjalin.

Tuan TYDP bersama tetamu jemputan turut berkesempatan melawat reruai pameran yang memaparkan pelbagai inisiatif dan maklumat berkaitan pembangunan sektor penjaja kecil.

Penganjuran sesi ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kolaborasi antara MPS dan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan penjaja kecil terus berkembang secara teratur, berdaya saing dan lestari.

MPS TINGKAT KEMAHIRAN DIGITAL KOMUNITI MENERUSI KURSUS ASAS CANVA

MPS TINGKAT KEMAHIRAN DIGITAL KOMUNITI MENERUSI KURSUS ASAS CANVA

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Korporat telah menganjurkan Kursus Asas Kemahiran Teknologi Digital: Canva yang menerima penyertaan menggalakkan daripada kakitangan dalaman MPS. Kursus ini bertujuan memperkenalkan peserta kepada platform penyuntingan grafik yang mudah digunakan bagi tujuan promosi dan tugasan harian.

Kursus tersebut merangkumi pengenalan kepada Visual Worksuite Canva serta latihan praktikal seperti pemilihan elemen dan foto, penggunaan pelbagai jenis fon dan kesan teks, serta kaedah memuat turun fail dalam format JPG atau PNG. Peserta turut didedahkan kepada cara mengakses dan memanfaatkan templat profesional yang disediakan dalam platform tersebut, sekali gus membolehkan mereka menghasilkan reka bentuk poster bagi pelbagai keperluan promosi.

MPS komited untuk terus menganjurkan program pembangunan kemahiran seumpama ini dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kemampuan warga kerja, seterusnya menyokong aspirasi perkhidmatan awam yang lebih cekap, dinamik dan berorientasikan digital.

MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN SEKTOR AWAM KE-43

MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN SEKTOR AWAM KE-43

Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam MSOSH–CUEPACS ke-43 Tahun 2025 (Kategori Award Elite) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Hj. Adnan bin Mat, Presiden CUEPACS kepada YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.

Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan MPS dalam mengamalkan budaya kerja selamat, sihat dan sejahtera di tempat kerja. 

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga MPS atas usaha dan dedikasi dalam menjayakan amalan keselamatan & kesihatan pekerjaan di peringkat tertinggi.

SESI LIBAT URUS PELAN STRATEGIK PENGURUSAN DAN PEMERKASAAN PENJAJA KECIL MPS 2026-2030

SESI LIBAT URUS PELAN STRATEGIK PENGURUSAN DAN PEMERKASAAN PENJAJA KECIL MPS 2026-2030

Hari pertama Sesi Libat Urus Pelan Strategik Pengurusan Dan Pemerkasaan Penjaja Kecil MPS 2026-2030 telah berlangsung di Lobi Menara MPS dan dihadiri kira-kira 185 orang pengunjung melibatkan ketua-ketua kampung, para peniaga dan pengelola tapak penjaja di sekitar kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). 

YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS bersama YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS serta barisan Ahli Majlis MPS dan Pengarah Jabatan turut berkesempatan hadir ke program pada hari ini.

Program yang diadakan pada 12 November 2025 hingga 14 November 2025 ini bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan daripada Komuniti Penjaja Kecil, Agensi Kerajaan, Wakil Rakyat, Ahli Majlis, Bank/Institusi Kewangan serta pihak berkepentingan bagi penambahbaikan deraf Pelan Strategik Pengurusan Dan Pemerkasaan Penjaja Kecil MPS 2026-2030 yang sedang dibangunkan melalui kolaborasi MPS dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

SESI LIBAT URUS PELAN STRATEGIK PENGURUSAN DAN PEMERKASAAN PENJAJA KECIL MPS 2026-2030

SESI LATIHAN PENGGUNAAN SISTEM DIGITAL DDMS 2.0 MPS

SESI LATIHAN PENGGUNAAN SISTEM DIGITAL DDMS 2.0 MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Bahagian Registri dan Rekod, Jabatan Khidmat Pengurusan telah mengadakan Sesi Latihan Penggunaan Sistem Digital Document Management System (DDMS) 2.0 bertempat di Dewan Seri Siantan, MPS.

Latihan ini disertai oleh seramai 60 orang peserta terdiri daripada pegawai dan staf MPS yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dokumen dan rekod.

Sesi ini dikendalikan oleh penceramah khas dari Arkib Negara Malaysia, Encik Muhammad Idzwan bin Ramli, yang berkongsi ilmu dan panduan berkenaan penggunaan serta kelebihan sistem DDMS 2.0.

Program ini memberi fokus kepada pengurusan dokumen digital secara lebih sistematik, pantas dan selamat, seiring dengan usaha MPS melaksanakan transformasi digital dalam tadbir urus perbandaran.

Antara manfaat utama pelaksanaan sistem DDMS 2.0 termasuklah:

  • Peningkatan kecekapan dalam carian dan penyimpanan maklumat.

  • Pengurangan penggunaan kertas sejajar dengan inisiatif hijau.

  • Aksesibiliti yang lebih baik bagi perkongsian dokumen secara selamat.

  • Keselamatan data yang lebih tinggi untuk dokumen dan rekod penting.

Pelaksanaan latihan ini diharap dapat memperkukuh kemahiran warga kerja MPS dalam penggunaan sistem digital, seterusnya menyokong agenda pendigitalan MPS bagi mempertingkat keberkesanan pengurusan maklumat dan rekod organisasi.

PROGRAM HARI INTEGRITI PERINGKAT MPS

PROGRAM HARI INTEGRITI PERINGKAT MPS

Sempena Bulan Integriti Nasional 2025, Unit Integriti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Integriti Peringkat MPS melalui penganjuran Forum Integriti Bersama Komuniti yang bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan nilai integriti dalam kalangan kepimpinan komuniti.

Forum yang bertemakan “Integriti Teras Kepimpinan Komuniti: Membangun Kepercayaan, Memperkukuh Tadbir Urus Tempatan” ini menekankan kepentingan integriti sebagai asas kepada kesejahteraan masyarakat dan tadbir urus yang berkesan, selaras dengan tema sambutan Integriti Nasional 2025: “Integriti Teras Kesejahteraan Negara”.

Sesi forum dikendalikan oleh Puan Asmieda Nadia binti Azmin, Penolong Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), dan menampilkan barisan panel berpengalaman iaitu YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor merangkap ADUN Taman Templer; Tuan Azuan bin Adzhar, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Selangor; serta Tuan Amin Idris, pakar motivasi, penulis dan penceramah bebas.

Turut sama, YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Encik Rozaihan bin Ramli, Ketua Unit Integriti MPS, Ahli Majlis MPS, pengarah jabatan dan warga kerja MPS.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Majlis Perbandaran Selayang dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti serta memperkasakan komuniti berasaskan prinsip ketelusan, kepercayaan dan tanggungjawab bersama.

HARI INTEGRITI PERINGKAT MPS 2025

PROGRAM KOMUNITI PENDIDIKAN : TRAILS OF DREAM 2025

PROGRAM KOMUNITI PENDIDIKAN TRAILS OF DREAM 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan SMK Taman Selayang telah menganjurkan Program Komuniti Pendidikan: Trails of Dream 2025 bertempat di Dewan Wadi Budi dan Kuliyyah Pendidikan, UIAM.

Program ini bertujuan memberi suntikan semangat serta meningkatkan motivasi pelajar tingkatan enam SMK Taman Selayang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Seramai 100 pelajar telah menyertai program ini yang turut melibatkan pelbagai sesi ilmiah dan aktiviti interaktif.

Antara pengisian utama ialah amanat daripada Prof. Madya Dr. Suhailah binti Hussein, sesi motivasi bersama Dr. Mohd Hatta Othman, serta aktiviti laluan kerjaya dan Tour De Campus yang memberi peluang pelajar mengenali suasana pembelajaran di UIAM dengan lebih dekat.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS. Turut hadir Prof. Madya Dr. Ariffin bin Mamat, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar & Pembangunan Masyarakat) Kuliyyah Pendidikan UIAM; Puan Norlia binti Samin, Timbalan Pegawai Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Gombak; Pn. Farizan binti Mohd Mydin, Penolong Kanan Pentadbiran Pusat Tingkatan 6 SMK Taman Selayang; serta Tuan Megat Mohd Fadhli bin Zakaria, Ahli Majlis Zon 1 MPS.

Penganjuran ini mencerminkan komitmen MPS dalam menyokong pembangunan potensi generasi muda melalui pendidikan dan kolaborasi strategik bersama institusi pengajian. Diharapkan program seperti ini terus menjadi platform membina keyakinan serta mencetus inspirasi buat pelajar untuk mencapai impian mereka.

MAKSAK GAMES 2025 – Ragbi 10’s (PUSINGAN AKHIR)

MAKSAK GAMES 2025 – Ragbi 10’s (PUSINGAN AKHIR)

Pasukan Ragbi MAKSAK Selangor sekali lagi membuktikan kecemerlangan apabila berjaya muncul juara dalam perlawanan akhir menentang MAKSAK Johor dengan keputusan 29–0, sekaligus mengekalkan rekod cemerlang sebagai juara tiga kali berturut-turut dalam acara MAKSAK Ragbi.

Lebih membanggakan, atlet Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Firdaus bin Abdul Manan dari Jabatan Kejuruteraan turut menyerlah apabila berjaya menyumbang satu mata dalam perlawanan akhir tersebut.

Sebagai Pengerusi Acara Ragbi MAKSAK Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen MAKSAK Ragbi Selangor atas kejayaan gemilang ini.

MPS amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus menyokong penglibatan warga kerja dalam aktiviti sukan di peringkat negeri dan kebangsaan. Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan mampu membawa kecemerlangan kepada organisasi dan negeri Selangor.

PROGRAM SINARAN DEEPAVALI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 2025

PROGRAM SINARAN DEEPAVALI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Biro Kakitangan India, Kelab Kebajikan dan Sukan (KSDK) MPS telah menganjurkan Program Sinaran Deepavali MPS 2025, yang kini memasuki edisi ke-22 penganjurannya. Program tahunan ini diadakan bagi meraikan sambutan perayaan Deepavali bersama warga kerja pelbagai kaum di MPS, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan kakitangan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS. Antara pengisian utama program ialah penyampaian penghargaan kepada anak-anak kakitangan India yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, penyampaian cenderamata kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2024 serta penyampaian plak penghargaan kepada pesara MPS bagi tahun 2024.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli-ahli Majlis MPS, Puan Kaliamah A/P Vamuni, Pengerusi Biro Kakitangan India; Tuan Ts. Azmi bin Wagiran, Pengerusi Majlis Bersama Jabatan; pengarah-pengarah jabatan (MBJ), wakil Kelab Sukan dan Kebajikan MPS, wakil ANULAE serta para pegawai dan kakitangan.

Sambutan ini bukan sekadar meraikan cahaya kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, tetapi turut menjadi simbol penyatuan warga MPS dalam semangat muhibah dan kekeluargaan yang berterusan.

SINARAN DEEPAVALI MPS 2025

SANTUNAN KASIH PENGANTIN DIRAJA BERSAMA RAKYAT

SANTUNAN KASIH PENGANTIN DIRAJA BERSAMA RAKYAT

Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat anjuran Kerajaan Negeri Selangor telah diadakan bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato' Abdul Aziz telah memperkenan hadir ke majlis ini yang diadakan sebagai tanda kasih dan penghargaan kepada rakyat Selangor sempena perkahwinan pasangan diraja.

Majlis turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, kepimpinan tertinggi serta pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diwakili oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, YBrs.

Ts. Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS bersama pegawai-pegawai MPS turut hadir memeriahkan program ini.

Pelbagai pengisian menarik diadakan antaranya persembahan kebudayaan, tayangan rakaman video Majlis Pernikahan dan Persandingan Diraja, tayangan video ucapan sembah tahniah rakyat, pertunjukan laser aurora dan bunga api, serta persembahan nyanyian artis tanah air.

Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kasih antara institusi diraja dan rakyat, malah mencerminkan keharmonian serta perpaduan warga Selangor di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

MPS merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini atas perkahwinan diraja ini. Semoga ikatan perkahwinan diraja ini dilimpahi kebahagiaan, keberkatan dan kasih yang berkekalan hingga ke akhir hayat.

SANTUNAN KASIH PASANGAN DIRAJA