Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

SESI PEMBENTANGAN ANUGERAH PROGRAM PEMENTORAN PERKHIDMATAN AWAM MPS 2025

SESI PEMBENTANGAN ANUGERAH PROGRAM PEMENTORAN PERKHIDMATAN AWAM MPS 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Sesi Pembentangan Anugerah Program Pementoran Perkhidmatan Awam MPS Tahun 2025 yang melibatkan seramai 27 orang kakitangan, terdiri daripada 13 mentor dan 14 menti.

Sepanjang sesi ini, para peserta membentangkan pencapaian masing-masing merangkumi beberapa komponen utama seperti impak program, perkembangan menti, komitmen mentor serta hasil projek yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pementoran.

Penilaian sesi pembentangan ini telah dijalankan oleh Encik Megat Syaiful Izzuddin bin Megat Mokhtar, Pegawai Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Sr. Fazlin Mariam binti Mustafa, Timbalan Pengerusi AKRAB MPS.

MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan yang terlibat. Semoga program ini terus menjadi platform memperkasa kompetensi warga kerja MPS dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti.

OPERASI BANCIAN DAN SEMAKAN STATUS LESEN PERNIAGAAN

OPERASI BANCIAN DAN SEMAKAN STATUS LESEN PERNIAGAAN

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan telah melaksanakan operasi bancian dan semakan status lesen perniagaan serta permit berkaitan isu pencerobohan tanah di kawasan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh.

Operasi ini melibatkan seramai 10 orang kakitangan Jabatan Pelesenan MPS bersama 10 wakil Hospital Sungai Buloh, diketuai oleh En. Saiful Bahari Bin Ruslan, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pengurusan. Turut serta ialah wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor.

Sebanyak 21 premis telah diperiksa dan mendapati 14 premis telah menjalankan perniagaan tanpa lesen serta tujuh premis yang berlesen telah digantung lesen perniagaan bagi pematuhan syarat yang kesemuanya menjalankan aktiviti nurseri di tapak. Tindakan diambil susulan aduan pihak Hospital Sungai Buloh berhubung pencerobohan tanah dan kewujudan premis nurseri tanpa kebenaran di atas tanah rizab kerajaan.

MPS akan terus bekerjasama dengan pihak Hospital Sungai Buloh dan agensi berkaitan bagi memastikan isu pencerobohan dapat ditangani serta pematuhan peraturan dapat diperkukuhkan.

LAWATAN KERJA & BENGKEL PENYELARASAN TEKNIKAL

LAWATAN KERJA & BENGKEL PENYELARASAN TEKNIKAL

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pusat Setempat (OSC) telah mengadakan Lawatan Kerja dan Bengkel Penyelarasan Teknikal bersama jabatan teknikal dalaman MPS di Capri by Fraser, Johor Bahru dari 19 hingga 21 November 2025. 

Program ini memberi fokus kepada pemantapan pematuhan Indikator Star Rating SPB-PBT, penyelarasan pelaksanaan SPEED Selangor serta pengukuhan tadbir urus bagi meningkatkan kecekapan pengurusan permohonan pembangunan.

Delegasi MPS turut mengadakan lawatan rasmi ke Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) di Iskandar Region Development Authority (IRDA), Iskandar Puteri. Lawatan ini diketuai oleh Puan Nurulliza Zulkiflee, Pengarah Jabatan Pusat Setempat (OSC), bersama pegawai dari Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan, Jabatan Landskap, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Teknologi Maklumat.

Delegasi MPS disambut oleh Cik Suhaily Abd Hamid, Ketua Pembangunan Sosial IRDA, manakala sesi taklimat rasmi telah disampaikan oleh Encik Adny Jaffedon bin Ahmad, Naib Presiden Kanan IRDA. Turut hadir, Tuan Haji Feizal Mahathir bin Kamaruddin, Pengurus Pasca Pelaburan & Pemantauan Projek, Invest Johor.

Lawatan ini membuka ruang strategik untuk memperkukuh perkongsian pengetahuan khususnya berkaitan inisiatif Johor Super Lane (JSL) serta memahami hala tuju pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri Johor. MPS menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan hospitaliti yang diberikan oleh pihak IRDA sepanjang sesi lawatan berlangsung.

OSC MPS kekal komited dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuhkan kerjasama strategik bersama semua jabatan teknikal dalaman demi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap, sistematik dan berimpak tinggi kepada komuniti.

SESI KICK-OFF PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK MPS TAHUN 2026–2030

SESI KICK-OFF PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK MPS TAHUN 2026–2030

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Sesi Kick-Off Pembangunan Pelan Strategik MPS Tahun 2026–2030 yang menandakan bermulanya fasa baharu dalam perancangan strategik organisasi. Fasa ini bakal menjadi asas kepada hala tuju MPS untuk tempoh lima tahun akan datang, dengan fokus memastikan pembangunan yang lebih mampan, efektif dan responsif terhadap keperluan masyarakat serta cabaran semasa.

Sesi ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Syahrizad bin Mohd Sapandi, Perunding dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang turut mencadangkan elemen foresight diterapkan di dalam Pelan Strategik MPS 2026-2030.

Acara perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS. Turut hadir di dalam sesi ini adalah Yang Dihormatkan Dato' Ir Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato' Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak, Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat MPS , Ahli Majlis, pengarah dan timbalan pengarah jabatan dalaman MPS.

Diharapkan usaha ini dapat memperkukuh perancangan pembangunan MPS bagi tempoh lima tahun akan datang, serta memastikan hala tuju MPS terus selaras dengan keperluan masyarakat dan keperluan semasa. 

PROGRAM KEPENTINGAN BAYARAN CAJ BAGI KEDIAMAN STRATA SERTA PERANAN JMBMC DI KOMUNITI STRATA 2025

PROGRAM KEPENTINGAN BAYARAN CAJ BAGI KEDIAMAN STRATA SERTA PERANAN JMBMC DI KOMUNITI STRATA 2025

Dalam usaha memperkukuh kefahaman komuniti terhadap pengurusan strata yang berkesan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah menganjurkan Program Kepentingan Bayaran Caj bagi Kediaman Strata serta Peranan JMB/MC bertempat di TDBC LC Management Corporation, Taman Desa, Batu Caves.

Taklimat telah disampaikan oleh Puan Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah COB; Sr Yusaini bin Amaudin@Amirudin, Ketua Bahagian; serta wakil penduduk, Puan Zamanila binti Tukimin. Program ini memberi penjelasan tentang peranan bayaran caj dalam memastikan penyelenggaraan fasiliti berjalan lancar, termasuk kemudahan lif, pam air, pencahayaan kawasan awam, keselamatan, kawalan akses, kebersihan dan landskap, serta keperluan pembaikan jangka panjang.

MPS turut menekankan tanggungjawab penduduk dalam membayar caj tepat pada masanya, menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), mematuhi peraturan komuniti serta menjaga kebersihan dan aset bersama demi kelestarian pengurusan strata.

Diharapkan program ini dapat meningkatkan pemahaman dan kerjasama antara semua pihak dalam memastikan komuniti strata di bawah pentadbiran MPS terus terurus dengan baik.

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PENGHIJAUAN PERDANA MPS 2025

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PENGHIJAUAN PERDANA MPS 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Landskap telah menganjurkan Program Penghijauan Perdana MPS 2025 bertempat di Tasik Kota Emerald, Rawang, dengan kerjasama Tetuan GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd.

Penganjuran ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan usaha menghijaukan kawasan perbandaran melalui aktiviti penanaman pokok, selaras dengan inisiatif menyokong Kempen Penanaman 26 Juta Pokok peringkat Negeri Selangor menjelang 2026.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, diikuti penyampaian sijil penghargaan kepada organisasi yang terlibat dalam menjayakan program ini, iaitu:

1. GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd.

2. KL-Kepong Industrial Holding Sdn. Bhd. (Palm Oleo)

3. Daikin Malaysia

4. Kian Joo Can Factory Berhad (KJCF)

5. Universiti Utara Malaysia

6. Kolej Komuniti Selayang

7. ANULAE Cawangan Selayang

Sebagai simbolik perasmian, Tuan Yang Dipertua bersama jemputan kehormat turut menyempurnakan gimik penanaman pokok sebagai manifestasi komitmen MPS dalam memperluas kawasan hijau serta meningkatkan kualiti alam sekitar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; Encik Wee Kwang Yong, Pengarah Pembangunan GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd.; Tuan LAr. Mokhtar Affandi bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Landskap MPS; Encik Chew Han Min, Ketua Projek GLM Emerald West (Rawang) Sdn. Bhd., serta Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan MPS.

Dengan pelaksanaan program ini, MPS mengukuhkan peranan sebagai pihak berkuasa tempatan yang proaktif dalam memperluas kawasan hijau, meningkatkan kualiti persekitaran dan menyokong pembangunan bandar yang seimbang. Usaha berterusan ini diharap dapat memupuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan komuniti Selayang.

PENGHIJAUAN PERDANA MPS 2025

SUKAN PICKLEBALL SANTAI PENGURUSAN MPS 2025

SUKAN PICKLEBALL SANTAI PENGURUSAN MPS 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Sukan Pickleball Santai Pengurusan MPS 2025 di Ultra Sports Center, 168 Park Mall Selayang dengan penyertaan seramai 20 pengarah jabatan dan pegawai pengurusan tertinggi. Program ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan kerjasama dalam kalangan pengurusan MPS.

Perlawanan dijalankan secara santai mengikut regu yang telah ditetapkan. Regu Pengarah Jabatan Kejuruteraan dan Penasihat Undang-Undang dinobatkan sebagai johan, diikuti regu Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) dan Pengarah Jabatan Kontrak dan Ukur Bahan (JKUB) sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi regu Tuan Timbalan Yang Dipertua (TYDP) dan Timbalan Pengarah Jabatan Perbendaharaan. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai dan trofi.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua MPS, diiringi Tuan Haji Az’har bin Samsuri; TYDP MPS dan En.Fauzi bin Ishak; Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM). Tuan YDP turut menyerahkan cenderahati kepada En. Edward Lam; Ketua Pengarah Eksekutif 168 Park Mall, manakala cenderahati kepada Tuan YDP dan Tuan TYDP disampaikan oleh Pengarah JPM.

Program ini menerima sambutan yang baik, sekali gus mencapai objektif dalam menggalakkan budaya hidup sihat dan memperkukuh kerjasama pengurusan MPS.