603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA PIHAK BERKUASA DI PASAR BORONG SELAYANG

OPERASI BERSEPADU MPS BERSAMA PIHAK BERKUASA DI PASAR BORONG SELAYANG

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pasar Borong bertujuan memastikan pematuhan undang-undang kecil serta kelancaran aktiviti perniagaan di kawasan pasar borong Selayang.

Operasi ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Tuan Muhammad Noor Salehuddin bin Kamis.

Operasi ini melibatkan kerjasama agensi luar iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Selayang, selain penglibatan jabatan dalaman MPS bagi melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu.

Sepanjang operasi, tindakan sitaan telah diambil ke atas empat gerai perniagaan atas kesalahan meletakkan barang perniagaan di tempat awam, selain tindakan memecahkan halangan siar kaki ke atas lima premis yang menghalang laluan awam. Jabatan Pelesenan serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) MPS turut menjalankan pemeriksaan ke atas premis dan gerai, mengeluarkan Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan, Notis Penamatan Tempoh Sewaan serta tindakan sitaan permit. Pemeriksaan semula ke atas tiga unit gerai yang telah ditampal notis dan tali kuning menunjukkan premis berada dalam keadaan yang tidak diceroboh.

Antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah penggunaan kawasan awam tanpa kebenaran MPS serta pengambilan pembantu bukan warganegara.

MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.