Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu bagi tindakan perobohan sebuah premis yang melibatkan struktur binaan tanpa kebenaran di Jalan FRIM, Ulu Kepong.
Tindakan penguatkuasaan diambil selaras dengan peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Operasi ini diketuai oleh Jabatan Bangunan MPS dengan kerjasama beberapa jabatan dalaman iaitu Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Korporat, Bahagian Pengurusan Projek dan Fasiliti serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan. Turut terlibat dalam operasi ini ialah Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad.
Seramai 73 orang anggota terlibat dalam operasi ini dengan sokongan logistik sebuah jentera backhoe dan sebuah lori RORO bagi melaksanakan kerja-kerja perobohan struktur berkenaan. Operasi telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama dan penyelarasan yang baik antara jabatan dalaman MPS serta agensi luar yang terlibat.
MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil bagi mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.