2026
MESYUARAT MAJLIS BIL. 5 2026
Mesyuarat Majlis Bil. 5/2026 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua (YDP) MPS. Dalam ucapan beliau, Tuan YDP telah berkongsi pencapaian MPS sepanjang bulan Mei 2026 serta menzahirkan rasa bangga atas kejayaan dan perkembangan positif yang berjaya dicapai oleh MPS hasil usaha seluruh warga kerja.
Turut hadir YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak, YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, Ahli Majlis MPS, barisan pengarah jabatan serta pihak media.
Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam membincangkan pelbagai agenda serta usaha penambahbaikan perkhidmatan demi kesejahteraan dan kemudahan masyarakat di kawasan pentadbiran MPS.
MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN MEI 2026 MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG
Majlis Perhimpunan Bulan Mei 2026 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan bertempat di Lobi Menara MPS. Majlis ini diserikan dengan beberapa sesi penyampaian anugerah, penghargaan dan hadiah sebagai tanda apresiasi terhadap pencapaian serta sumbangan warga MPS dan pihak yang terlibat.
Antara penyampaian yang telah diadakan ialah:
* Penyampaian Sijil Penganugerahan Tokoh Pekerja Negeri Selangor 2026 kepada YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026,
* Penyampaian Watikah Pelantikan Program Pementoran Perkhidmatan Awam MPS Tahun 2026,
* Penyampaian sijil penghargaan serta sumbangan wang tunai kepada “Wira-Wira Tasik Biru”,
* Penyampaian hadiah kepada Pasukan Paintball MPS yang berjaya menjuarai Divisyen Jemputan PBT serta meraih naib johan Divisyen Mekanikal dalam International Paintball Tournament Pasir Gudang Mayor’s Cup 2026 anjuran Majlis Bandaraya Pasir Gudang,
* Penyampaian hadiah kepada Pasukan Bola Sepak Pantai MPS yang berjaya meraih tempat ketiga dalam Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN), dan
* Penyampaian sumbangan kupon daging korban kepada golongan anak yatim dan asnaf di sekitar Batu Caves dan Gombak oleh pihak GCH Retail Sdn. Bhd. (Pasaraya Giant).
Majlis turut dihadiri jemputan khas wira-wira yang membantu dalam insiden kemalangan di Tasik Biru Kundang, Rawang, YBrs. Encik Mohamed Azahari bin Mohamed Noh, Pengurus Kanan Hal Ehwal Kerajaan dan Korporat, GCH Retail Sdn. Bhd. (Pasaraya Giant), Ahli-Ahli Majlis MPS, barisan pengarah MPS serta warga kerja MPS.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah serta pihak yang telah mengharumkan nama MPS di pelbagai peringkat.
LAWATAN DAN KHIDMAT NASIHAT BERKAITAN ISU HAKISAN CERUN
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah mengadakan lawatan tapak berkaitan isu hakisan cerun di Pangsapuri Desa Satu, Taman Desa Aman Puri. Lawatan ini dilaksanakan susulan daripada permohonan Jabatan COB MPS kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang disokong oleh laporan teknikal Jabatan Kejuruteraan MPS.
Lawatan ini melibatkan Jabatan COB MPS, Jabatan Kejuruteraan MPS, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN) KPKT. Turut hadir, YBrs. Puan Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah Jabatan COB MPS, wakil Ahli Parlimen Damansara, wakil DUN, wakil Ahli Majlis/JKP Zon 24 MPS dan wakil PDRM Desa Jaya.
Hasil pemerhatian awal mendapati kawasan terjejas berada di bawah seliaan badan pengurusan dan pemendapan berkemungkinan berpunca daripada sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik sehingga menjejaskan aliran air.
MPS akan terus memantau perkembangan isu ini dari semasa ke semasa serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan yang bersesuaian dapat dilaksanakan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

































































