Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

ISTIADAT PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN ORANG BESAR DAERAH GOMBAK

ISTIADAT PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN ORANG BESAR DAERAH GOMBAK

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor telah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada YDH Dato’ Ir. Hj Cheremi bin Haji Tarman menerusi satu istiadat yang diadakan pada 29 Mei 2025 di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Untuk makluman, Yang Dihormatkan Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman telah dilantik sebagai Orang Besar Daerah Gombak yang baharu berkuatkuasa pada 1 Mei 2025 menggantikan YDH Dato’ Paduka Raja Tan Sri Wan Mahmood bin Pa’Wan Teh yang telah bersara bermula 30 April 2025.

Semoga amanah dan tanggungjawab yang dikurniakan akan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi, integriti dan kebijaksanaan demi kemakmuran dan kesejahteraan daerah Gombak khususnya dan negeri Selangor amnya.

MPS KOMITED DEKATI MASYARAKAT SEKITAR SELAYANG

MPS KOMITED DEKATI MASYARAKAT SEKITAR SELAYANG

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah membuka Kaunter Aduan sempena Program Jualan Ehsan Rahmah Madani anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bertempat di Laman Bourgenvilla, Sungai Kertas, pada 28 Mei 2025.

Kaunter yang dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung menyuarakan aduan, cadangan serta pertanyaan berkaitan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.

Sepanjang program berlangsung, MPS telah menyantuni 12 orang awam yang mengunjungi kaunter serta sebanyak 14 aduan yang telah direkodkan di mana ke semuanya telah disalurkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut.

MPS turut mengambil inisiatif menjalankan kaji selidik MURNInet bagi mendapatkan maklum balas pengunjung berkenaan tahap kepuasan terhadap perkhidmatan di kawasan pentadbiran MPS.

Program komuniti ini turut dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai agensi dan organisasi yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai seperti permohonan Skim Air Darul Ehsan, kemaskini Khairat Darul Ehsan (KDE), pendaftaran Iltizam Selangor Sihat (ISS), semakan MySalam dan PEKa B40, pemeriksaan kesihatan percuma, serta pendaftaran program eKasih dan SARA.

PROGRAM CSR MPS BERSAMA PALM OLEO SDN. BHD SEMPENA HARI ALAM SEKITAR DI SJK(C) KUNDANG

PROGRAM CSR MPS BERSAMA PALM OLEO SDN. BHD SEMPENA HARI ALAM SEKITAR DI SJK(C) KUNDANG

Sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama syarikat Palm Oleo Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sempena Hari Alam Sekitar 2025 pada 28 Mei 2025, bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Kundang.

Bagi tahun ini, sebanyak tiga buah sekolah telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program, dan SJK(C) Kundang merupakan institusi pertama yang menjadi tuan rumah bagi penganjuran tersebut. Fokus utama program ini adalah untuk menyemai nilai-nilai kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran yang berimpak tinggi.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Saharudin bin Abu Bakar, Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Selayang; Dr. Liew Weng Hui, Ketua Perhubungan Korporat KLK Palm Oleo Sdn. Bhd.; Puan Lim Fong Nee, Pengurus Besar Palm Oleo Sdn. Bhd.; dan YBrs. En. Chong Gee Seng, Pengetua SJK(C) Kundang.

Turut hadir ialah pengarah jabatan MPS, wakil pengurusan Palm Oleo Sdn. Bhd, barisan pentadbir sekolah serta warga pendidik dan murid-murid SJK(C) Kundang.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan antara pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar, seiring dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

PROGRAM CSR MPS BERSAMA PALM OLEO SDN. BHD SEMPENA HARI ALAM SEKITAR DI SJK(C) KUNDANG 2025

KUNJUNG HORMAT AHLI JEMAAH PENGARAH DAN ANGGOTA PENGURUSAN PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN (PPK) GOMBAK DAN PETALING

KUNJUNG HORMAT AHLI JEMAAH PENGARAH DAN ANGGOTA PENGURUSAN PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN (PPK) GOMBAK DAN PETALING

Majlis Perbandaran Selayang pada hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak dan Petaling yang diketuai oleh Tn. Haji Azman bin Yusoff bersama ahli Jemaah Pengarah dan anggota pengurusan.

Kunjungan ini telah disambut oleh Timbalan Yang Dipertua MPS, YBrs. Tn. Haji Azhar bin Samsuri, yang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Korporat serta pegawai-pegawai jabatan.

Dalam ucapannya, Tuan Timbalan Yang Dipertua mengalu-alukan kehadiran delegasi PPK dan menzahirkan komitmen MPS dalam memperluas jaringan kerjasama strategik bersama agensi luar, khususnya dalam memperkasakan komuniti tempatan.

Antara intipati perbincangan adalah berkaitan potensi kerjasama dalam melaksanakan aktiviti Petani Bandar dan aktiviti kitar semula, peluang promosi produk keluaran usahawan peladang, serta peluang penglibatan PPK Gombak dalam pelbagai program anjuran MPS seperti kebun komuniti, tanam pokok dan program-program anjuran Ahli Majlis.

MPS menyambut baik usaha ini sebagai langkah memperkukuh sinergi antara pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan peladang demi pembangunan komuniti yang lestari dan inklusif.

KUNJUNG HORMAT AHLI JEMAAH PENGARAH DAN ANGGOTA PENGURUSAN PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN (PPK) GOMBAK DAN PETALING 2025

MESYUARAT MAJLIS BIL.5-2025

MESYUARAT MAJLIS BIL.5-2025

Mesyuarat Majlis Bil.5/25 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah berlangsung pada 27 Mei 2025 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Timbalan Yang Dipertua MPS. Dalam ucapan beliau, Tuan TYDP telah berkongsi pencapaian sepanjang bulan April 2025 dan menzahirkan rasa bangga atas kejayaan MPS.

Tuan TYDP turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Dihormatkan Dato’ Paduka Raja Dato’ IR. Haji Cheremi bin Haji Tarman atas pelantikan sebagai Orang Besar Daerah Gombak dan Ahli Majlis MPS Zon 2.

Hadir sama dalam mesyuarat ini ialah Ahli Majlis MPS, barisan Pengarah Jabatan MPS dan pihak media.

MESYUARAT MAJLIS BIL. 5-2025

PASUKAN BOLA JARING MPS RAIH TEMPAT KETIGA DALAM PERTANDINGAN ANJURAN MPAJ

PASUKAN BOLA JARING MPS RAIH TEMPAT KETIGA DALAM PERTANDINGAN ANJURAN MPAJ

Pasukan bola jaring Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah berjaya memperoleh tempat ketiga dalam Pertandingan Bola Jaring sempena sambutan Hari Tanpa Kenderaan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 25 Mei 2025, bertempat di Padang Perbandaran Ampang Jaya.

Sebagai ganjaran atas pencapaian tersebut, pasukan MPS menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250.00 bersama medal, sebagai penghargaan atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.

Kejayaan ini mencerminkan dedikasi dan semangat berpasukan dalam kalangan warga MPS, di samping memperkukuh jalinan kerjasama yang positif antara MPS dan MPAJ selaku pihak berkuasa tempatan.

MPS RAIH TEMPAT KETIGA KEJOHANAN PAINTBALL BEP R600 SPECIAL LIMITED EDITION 2025

MPS RAIH TEMPAT KETIGA KEJOHANAN PAINTBALL BEP R600 SPECIAL LIMITED EDITION 2025

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakar satu lagi kejayaan apabila pasukan paintball MPS berjaya merangkul tempat ketiga dalam Kejohanan Paintball BEP R600 Special Limited Edition 2025 yang berlangsung pada 24 dan 25 Mei 2025 di Bilut Extreme Park, Bentong, Pahang.

Pertandingan ini menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai pasukan hebat dan melibatkan tiga kategori utama – Divisyen Elite, Divisyen Mekanikal dan Divisyen Rookie. Dalam kejohanan ini, pasukan MPS telah menunjukkan semangat juang yang tinggi serta berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00 berserta medal.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan Paintball MPS atas pencapaian ini.

ANUGERAH KEBUN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG TAHUN 2024

ANUGERAH KEBUN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG TAHUN 2024

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengucapkan tahniah kepada Kebun Komuniti Taman Sri Putra Mas dari Zon 20 dan Kebun Komuniti Nilam Delima dari Zon 2 yang masing-masing telah dinobatkan sebagai Kebun Komuniti Terbaik 2024 bagi Kategori Kawasan Lapang dan Kategori Lorong Belakang, serta Kebun Komuniti Kampung Melayu, Pekan Rawang yang meraih tempat pertama bagi Kategori Penyelenggaraan.

Majlis penyampaian hadiah program yang telah memasuki edisi ke-8 ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diiringi Encik LAr. Mokhtar Affandi bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Landskap pada 24 Mei 2025 bertempat di Kampung Melayu, Pekan Rawang. Turut sama, Yang Dihormatkan Dato’ Ir. Haji Cheremi Bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Gombak; Encik Zaidi Bin Tajuddin, Ketua Seksyen, Pusat Hubungan Dan Jaringan Industri Universiti Putra Malaysia (UPM); Puan Alice Choo Foong Thye, Ahli Majlis Zon 15, Tuan Haji Muhammad Najmi bin Samsudin, Ahli Majlis Zon 9; Tuan Saharudin bin Abu Bakar, Ahli Majlis Zon 19; wakil Pertanian Daerah Gombak / Petaling; dan pengarah Jabatan MPS.

Pada tahun ini, sebanyak 20 kebun komuniti yang telah meyertai pertandingan ini menerusi kategori Kawasan Lapang, Lorong Belakang dan Penyelenggaraan. MPS berharap inisiatif seperti ini dapat terus berkembang menepati objektif untuk memperkukuh pembangunan komuniti dan menjadi contoh kepada kawasan-kawasan lain di bawah pentadbiran Selayang.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai beserta trofi iringan dan sijil penghargaan.

ANUGERAH KEBUN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG TAHUN 2025

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN PROGRAM HAL EHWAL KESATUAN SEKERJA (PHEKS)

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN PROGRAM HAL EHWAL KESATUAN SEKERJA (PHEKS)

Encik Mohd Saiful Saffie bin Haji Yahaya, Naib Pengerusi ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bagi Zon Tengah Tahun 2025 yang berlangsung pada 23 Mei 2025 bertempat di Wyndham Acmar, Klang, Selangor.

Program ini merupakan anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Selangor dan Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Sumber Manusia. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB. Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia. Turut menghadiri program ini adalah Encik Syed Mohamad Nor Putera bin Said Abdul Talib, Setiausaha ANULAE Cawangan MPS.

Majlis ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Sumber Manusia bersama Jabatan HAL Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dalam memperkasakan kesatuan sekerja, malah menjadi bukti sokongan padu kerajaan terhadap hak dan kebajikan pekerja di negara ini. Dengan penyampaian bantuan ini , diharapkan ia dapat memberi suntikan semangat dan memperkukuhkan lagi gerak kerja kesatuan dalam memperjuangkan hak ahlinya.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada JHEKS atas usaha murni ini yang pastinya memberi impak positif kepada landskap pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia. MPS akan sentiasa menyokong inisiatif yang menjurus ke arah pembangunan sumber manusia, keharmonian industri dan pengukuhan jaringan kerjasama antara jabatan serta kesatuan kerja demi kemajuan organisasi dan kesejahteraan bersama.

PROGRAM _WALKABOUT INTEGRITY_ SEMPENA PROGRAM PENGUKUHAN INTEGRITI TAHUN 2025 SIRI KE-3

PROGRAM _WALKABOUT INTEGRITY_ SEMPENA PROGRAM PENGUKUHAN INTEGRITI TAHUN 2025 SIRI KE-3

Program “Walkabout Integrity” bagi Program Pengukuhan Integriti Tahun 2025 kini diteruskan untuk siri ketiga. Lokasi kali ini bertempat di Bengkel Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Rawang.

Program ini bertujuan untuk menyampaikan mesej berkaitan pemantapan integriti, pencegahan rasuah dan pematuhan tatakelakuan secara santai dan turun padang bersama warga kerja teknikal MPS. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Encik Rozaihan bin Ramli, Ketua Unit Integriti MPS. Taklimat ini yang menekankan kepentingan “Do the Right Thing” dalam setiap tugasan harian, terutama dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan operasi bengkel.

Semoga program seperti ini dapat menjadikan MPS terus komited melahirkan warga kerja yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti tinggi.

PROGRAM 'WALKABOUT INTEGRITY' BULAN MEI 2025