Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

OPERASI BERSEPADU PEROBOHAN PONDOK PENGAWAL HARAM

OPERASI BERSEPADU PEROBOHAN PONDOK PENGAWAL HARAM

Operasi bersepadu perobohan sebuah pondok pengawal yang ditinggalkan dan dibina tanpa kelulusan di atas tanah rezab di Jalan Desa 12/5, Bandar Country Homes, Rawang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Bangunan pada 21 Mei 2025.

Tindakan perobohan ini susulan aduan yang diterima MPS mengenai kewujudan struktur tersebut yang berpotensi mengancam keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat.

Pemeriksaan mendapati pondok pengawal tersebut tidak lagi digunakan dan berada dalam keadaan terbiar. Oleh itu, satu notis kesalahan di bawah Seksyen 70, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 telah dikeluarkan melibatkan arahan untuk meroboh, mengosongkan struktur serta notis amaran merah.

Operasi yang bermula pada jam 10:00 pagi dan tamat pada jam 12:00 tengah hari ini telah dijalankan dengan kerjasama MPS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Turut digunakan dalam operasi ini ialah satu unit backhoe dan satu unit tong Roll-On Roll-Off (RORO).

MPS komited dalam memantau dan mengambil tindakan ke atas struktur haram yang boleh menjejaskan kesejahteraan awam.

LAWATAN VERIFIKASI PENILAIAN PROJEK NAIK TARAF SISTEM PERPARITAN BANDAR

LAWATAN VERIFIKASI PENILAIAN PROJEK NAIK TARAF SISTEM PERPARITAN BANDAR

Majlis Perbandaran Selayang melalui Jabatan Kejuruteraan telah mengadakan lawatan verifikasi penilaian projek bagi lokasi hotspot banjir kilat di bawah Projek BP.1 pada 20 Mei 2025 di sekitar kawasan Sri Gombak.

Lawatan ini diketuai oleh Cik Raihani binti Che Mamat, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Perunding Kejuruteraan Kesihatan Umum, Jabatan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan projek tersebut dalam usaha menaiktaraf sistem perparitan bandar, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat di kawasan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.

Inisiatif ini diharap dapat memenuhi keperluan infrastruktur semasa, khususnya melibatkan sistem perparitan yang lebih cekap dan mampan, demi memberikan keselesaan serta keselamatan kepada penduduk setempat. Pendekatan ini juga selaras dengan matlamat pembangunan bandar yang Mampan.

MAJLIS PENYERAHAN SURAT PENYIARAN KENAIKAN PANGKAT BAGI TAHUN 2025 MPS

MAJLIS PENYERAHAN SURAT PENYIARAN KENAIKAN PANGKAT BAGI TAHUN 2025 MPS

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada tiga orang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah menerima surat kenaikan pangkat dan seorang pegawai yang menerima pelantikan sebagai Pemangku Pengarah pada 19 Mei 2025.

Sesi penyerahan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS dengan disaksikan YBrs.Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.

Semoga kenaikan pangkat tersebut menjadi pemangkin untuk terus menabur khidmat bakti yang terbaik demi kemajuan bersama khususnya untuk MPS.

PROGRAM SAMBUTAN HARI IBU [PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HJ. SULAIMAN

PROGRAM SAMBUTAN HARI IBU [PROGRAM AHLI MAJLIS @ JKP ZON] - TUAN HJ. SULAIMAN

Sempena Sambutan Hari Ibu, Tuan Haji Sulaiman bin Abu Samah, Ahli Majlis MPS dengan kerjasama JKP Zon 14 dan Pertubuhan Pembangunan Wanita Berdaya (PWB) Rawang telah menganjurkan Program Sambutan Hari Ibu pada 17 Mei 2025 bertempat Tasik Bersatu Rawang.

Seramai 100 orang penduduk dari Zon 14 yang berbilang kaum telah turut menyertai . Program ini diadakan bagi meraikan kaum ibu serta memupuk hubungan silaturahim dan semangat perpaduan diantara satu sama lain. Antara pengisian program, aktiviti zumba, sesi memotong kek, sarapan dan pemberian bunga kepada kaum ibu.

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh YB Tuan Chua Wei Kiat, ADUN Rawang. Turut hadir, Ketua-Ketua kampung dan Penyelia PWB .

Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Sulaiman di atas penganjuran ini.

PERASMIAN PENUTUP KURSUS INDUKSI KAKITANGAN LANTIKAN BAHARU MPS 2025

PERASMIAN PENUTUP KURSUS INDUKSI KAKITANGAN LANTIKAN BAHARU MPS 2025

Kursus Induksi Kakitangan Lantikan Baharu Majlis Perbandaran Selayang Tahun 2025 (Siri 2) telah diadakan pada 14-16 Mei 2025 di Taman Rimba Bukit Lagong dan Majlis Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang.

Seramai 15 orang kakitangan lantikan baharu daripada jabatan dalaman MPS telah menghadiri Kursus Induksi ini.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada kakitangan baharu tentang peranan, tanggungjawab serta etika kerja seorang penjawat awam selaras dengan aspirasi Majlis Perbandaran Selayang dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti.

Syabas diucapkan kepada semua peserta. Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat dan negara.

OPS BERSEPADU BANTERAS PERNIAGAAN TANPA PERMIT & PREMIS REFLEKSOLOGI

OPS. BERSEPADU BANTERAS PERNIAGAAN TANPA PERMIT & PREMIS REFLEKSOLOGI

Satu operasi bersepadu yang diadakan di Uptown Sri Gombak telah mendapati terdapat sembilan tapak penjaja di kawasan tersebut menjalankan aktiviti refleksologi dengan menggunakan khidmat pekerja warga asing serta menyediakan rawatan urutan badan tanpa kebenaran.

Susulan itu, operasi yang melibatkan 10 kakitangan daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melakukan sitaan barangan perniagaan melibatkan 27 kerusi malas, lapan unit khemah perniagaan, enam unit katil urut dan 49 kerusi kecil.

Operasi bersepadu yang diadakan pada 16 Mei 2025 ini turut disertai oleh Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Pelesenan dan diteruskan di lokasi Kolam Air Panas Selayang di mana sebanyak tujuh gerai di kawasan tersebut didapati beroperasi tanpa permit. Semua gerai di kawasan tersebut telah dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, UUK3(1) Pelesenan Establisymen Makanan dan UUK Penjaja.

Dalam operasi yang sama, pemeriksaan turut dilakukan di premis Ruk Thai Massage & Foot Reflexology dan didapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen. Susulan itu, premis tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah UUK Pusat Kecantikan dan Pusat Kesihatan MPS serta tindakan penutupan premis serta-merta.

Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan diteruskan untuk memastikan setiap aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MPS mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Majlis Perbandaran Selayang telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan pada 16 Mei 2025 (Jumaat) bertempat di Lobi Menara MPS, bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini bertujuan untuk mendekatkan pihak MPS dengan masyarakat setempat, mendengar aduan serta cadangan secara langsung, dan memberikan penyelesaian segera terhadap isu yang dibangkitkan oleh orang awam.

Turut sama dalam program ini ialah Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS bersama Pengarah jabatan dalaman.

Bagi orang awam yang tidak berkesempatan untuk datang ke Program Hari Bertemu Pelanggan hari ini boleh melayari https://mps.spab.gov.my/eApps/system/index.do untuk sebarang aduan, cadangan dan maklum balas atau boleh ke media sosial rasmi MPS untuk maklumat lanjut.

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BULAN MEI 2025

MAJLIS LAFAZ AKUAN TERIMA JAWATAN AHLI MAJLIS MPS

MAJLIS LAFAZ AKUAN TERIMA JAWATAN AHLI MAJLIS MPS

Yang Dihormatkan Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman telah dilantik sebagai Ahli Majlis Zon 2 bagi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 16 Mei 2025 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Lantikan ini berlangsung dalam Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan Ahli Majlis MPS, yang disaksikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, dan Puan Suhaila binti Abdul Hamid, Pengarah Perundangan.

Turut hadir di majlis ini adalah Ahli Majlis MPS, Pengarah-pengarah jabatan serta pegawai jabatan dalaman MPS.

Dato’ Ir. Haji Cheremi telah dilantik sebagai Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Gombak yang baharu pada 1 Mei 2025, menggantikan Yang Dihormatkan Dato’ Paduka Raja Tan Sri Dato’ (Dr) Haji Wan Mahmood bin Pa’Wan Teh yang telah bersara pada 30 April 2025.

MAJLIS ANGKAT SUMPAH AM YANG DIHORMATKAN DATO’ IR. HAJI CHEREMI BIN HAJI TARMAN, DATO’ ORANG KAYA MAHA BIJAYA, ORANG BESAR DAERAH GOMBAK 2025

PENGEDARAN TONG SAMPAH LEACH BIN (LB) KEPADA KOMUNITI KEDIAMAN STRATA

PENGEDARAN TONG SAMPAH LEACH BIN (LB) KEPADA KOMUNITI KEDIAMAN STRATA

Bermula 24 April yang lalu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah memulakan pengagihan tong sampah jenis Leach Bin (LB) kepada komuniti kediaman strata di bawah pentadbirannya.

Sehingga kini, sebanyak 20 unit tong sampah telah berjaya diedarkan kepada komuniti kediaman strata di kawasan DUN Sungai Tua dan DUN Gombak Setia oleh Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPS kepada wakil pengurusan JMB/MC yang terlibat.

Kawasan kediaman strata yang telah menerima sumbangan ini adalah:

DUN Sungai Tua

* JMB Pangsapuri Cempaka – Taman Gombak Permai

* JMB Pangsapuri Mesra

* Badan Pengurusan Bersama Putri Laksamana

* Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Kos Rendah Taman Amaniah 1

DUN Gombak Setia

* JMB Ayuman Suites

* Perbadanan Pengurusan Halamanda

* Perbadanan Pengurusan Idaman Puri

* Urban 360 Management Corporation

* JMB PM324 (Blok N, P, Q, R, S, V & W)

* JMB PM325 (Blok AA, BB, CC, DD, EE, FF & GG)

* JMB Pangsapuri Selaseh Indah

* Perbadanan Pengurusan Cemerlang Court

* Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Mutiara

* Perbadanan Pengurusan RPKR Taman Sri Batu Caves

* TDBC LC Management Corporation

PENGEDARAN TONG SAMPAH MGB SECARA PERCUMA OLEH MPS

PENGEDARAN TONG SAMPAH MGB SECARA PERCUMA OLEH MPS

ehingga 14 Mei 2025, sebanyak 1280 unit tong sampah jenis MGB bersaiz 80 liter telah diedarkan secara percuma kepada pembayar cukai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah melunaskan bayaran cukai taksiran setahun penuh dan melebihi nilai RM200.

Inisiatif ini merupakan komitmen MPS kepada para pembayar cukai susulan pelaksanaan penilaian semula kadar cukai taksiran tahun 2025. Diharapkan usaha ini dapat memupuk semangat tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan kawasan persekitaran serta membudayakan gaya hidup bersih dan lestari dalam komuniti kita.

Kepada yang masih belum membuat tuntutan, anda boleh berbuat demikian selagi stok masih ada atau sehingga 31 Mei 2025 di lokasi berikut:

  • Pejabat MPS Cawangan Rawang

  • Bilik Fail Berpusat MPS, Taman Selayang Baru

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Unit Hasil, Jabatan Perbendaharaan MPS di talian:

03-6126 5961 / 5963 / 5964 / 5966