Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

LAWATAN KERJA KSDK MPS KE KELAB REKREASI DAN KEBAJIKAN MAJLIS DAERAH RANAU

 LAWATAN KERJA KSDK MPS KE KELAB REKREASI DAN KEBAJIKAN MAJLIS DAERAH RANAU

LAWATAN KERJA KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG KE KELAB REKREASI DAN KEBAJIKAN MAJLIS DAERAH RANAU

15 Oktober 2025 | Sabah

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Perbandaran Selayang (KSDK MPS) telah mengadakan lawatan kerja ke Kelab Rekreasi dan Kebajikan Majlis Daerah Ranau (MD Ranau), Sabah pada 15 Oktober 2025.

Seramai 17 orang Ahli Jawatankuasa KSDK MPS telah menyertai lawatan ini yang bertujuan mengadakan sesi perkongsian ilmu berkaitan tatacara pengurusan kelab, meningkatkan kefahaman dalam kalangan Ahli Jawatankuasa serta memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.

Lawatan ini diketuai oleh Encik Mohd Zikry bin Zulkifle, Presiden KSDK MPS dan Encik Kamaruzaman bin Mohd Sabri, Naib Presiden II KSDK MPS.

Semoga lawatan ini menjadi pemangkin kepada pengurusan kelab yang lebih efisien serta mempererat jaringan kerjasama antara MPS dan Majlis Daerah Ranau.

JALAN WELLMAN BERCAHAYA, MPS SOKONG PROGRAM LAMPU HIASAN DEEPAVALI 2025

JALAN WELLMAN BERCAHAYA, MPS SOKONG PROGRAM LAMPU HIASAN DEEPAVALI 2025

JALAN WELLMAN BERCAHAYA, MPS SOKONG PROGRAM LAMPU HIASAN DEEPAVALI 2025

15 Oktober 2025 | Rawang

Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah dijemput menghadiri Program Lampu Hiasan Sepanjang Jalan Wellman Rawang dan Karnival Bersempena Perayaan Deepavali 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN Rawang.

Program ini diadakan bagi menyemarakkan sambutan perayaan Deepavali melalui pemasangan lampu hiasan di sepanjang laluan utama serta penganjuran aktiviti karnival yang berwarna-warni di Jalan Maxwell, Rawang.

Kehadiran MPS dalam program ini mencerminkan sokongan dan komitmen berterusan pihak majlis dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat serta menyokong usaha memperindah kawasan bandar menjelang musim perayaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Chua Wei Kiat, Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang; Tuan Haji Sulaiman bin Abu Samah, Ahli Majlis MPS Zon 14; Tuan Anmuniandy a/l Vellymalai, Ahli Majlis MPS Zon 16 dan Tuan K. Thanabal a/l Krishnan, Ahli Majlis MPS Zon 20, bersama wakil agensi kerajaan serta komuniti setempat yang hadir bagi memeriahkan suasana sambutan Deepavali di kawasan Rawang.

SUMBANGAN PERAYAAN DEEPAVALI MPS 2025

SUMBANGAN PERAYAAN DEEPAVALI MPS 2025

SUMBANGAN PERAYAAN DEEPAVALI MPS 2025 MERIAHKAN SAMBUTAN WARGA KERJA BERAGAMA HINDU

13 Oktober 2025 | Lobi Menara MPS 

Sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui ANULAE Cawangan MPS dan Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS telah mengadakan Program Sumbangan Perayaan Deepavali 2025 bertempat di Lobi Menara MPS pada hari Isnin.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tua Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua MPS yang menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada seramai 15 orang kakitangan beragama Hindu sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan pihak MPS terhadap kebajikan warga kerja.

Turut hadir ialah Puan Ruzani binti Sohot, Pengerusi ANULAE Cawangan MPS bersama ahli jawatankuasa; Mohd Zikry bin Zulkifle, Presiden KSDK MPS bersama ahli jawatankuasa; serta Puan Ng Hong @ Kaliamah, Pengerusi Biro Kebajikan India.

Bagi tahun ini, sumbangan diberikan dalam dua bentuk iaitu barangan keperluan asas/dapur bernilai RM150 oleh ANULAE Cawangan MPS dan sumbangan wang tunai RM150 oleh KSDK MPS kepada setiap penerima.

Program ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meraikan kakitangan beragama Hindu sempena perayaan Deepavali serta memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga kerja MPS.

MESYUARAT YDP MPS BERSAMA AHLI PARLIMEN DAN (ADN) BIL.3-2025

MESYUARAT YDP MPS BERSAMA AHLI PARLIMEN DAN (ADN) BIL.3-2025

MESYUARAT YANG DIPERTUA MPS BERSAMA AHLI PARLIMEN DAN AHLI DEWAN NEGERI (ADN) BIL.3/2025 

Mesyuarat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bil. 3/2025 telah diadakan pada 13 Oktober 2025 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Mesyuarat ini menjadi platform komunikasi dua hala antara MPS dengan Ahli Parlimen serta ADN bagi membincangkan pelbagai isu, pandangan dan cadangan penambahbaikan berkaitan pembangunan di kawasan pentadbiran MPS.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Turut hadir, YBrs. Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; wakil-wakil Parlimen dan DUN serta pengarah-pengarah jabatan MPS.

Melalui sesi ini, pelbagai isu setempat telah dibincangkan secara konstruktif ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara MPS dan wakil rakyat dalam memastikan kesejahteraan serta pembangunan mampan di kawasan perbandaran Selayang.

BENGKEL KAJIAN SEMULA & PEMANTAUAN PELAN TINDAKAN OACP

BENGKEL KAJIAN SEMULA & PEMANTAUAN PELAN TINDAKAN OACP

BENGKEL KAJIAN SEMULA & PEMANTAUAN PELAN TINDAKAN OACP & CRM SERTA KURSUS PEMANTAPAN EJEN PEMBERI/PENERIMA MAKLUMAT PELANGGARAN INTEGRITI MPS BAGI TAHUN 2025

13 – 14 Oktober 2025 | Pulau Pinang

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Bengkel Kajian Semula dan Pemantauan Pelan Tindakan OACP dan CRM serta Kursus Pemantapan Ejen Pemberi/Penerima Maklumat Pelanggaran Integriti MPS 2025 pada 13 hingga 14 Oktober 2025 bertempat di Hotel Cititel, Pulau Pinang.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk menilai semula pelaksanaan strategi antirasuah serta memperkukuhkan mekanisme tadbir urus dan integriti di peringkat organisasi. Inisiatif ini turut menyokong usaha MPS dalam memastikan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dapat diterapkan dengan lebih berkesan di semua peringkat jabatan.

Kursus Pemantapan Ejen Pemberi/Penerima Maklumat telah dikendalikan oleh Ps Mohamad Izzat Bin Mhd Noor dan PKPs Mohd Redzuan Bin Mohamad daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan ejen dalam pengurusan maklumat serta kepentingan menjaga kerahsiaan dan ketelusan dalam menyampaikan aduan berkaitan integriti.

Sementara itu, Taklimat OACP telah disampaikan oleh PPj Azuan Bin Adzhar, Timbalan Pengarah Pencegahan, SPRM Negeri Selangor. Beliau telah menerangkan garis panduan dan tatacara pemantauan OACP secara sistematik, termasuk kepentingan pemantauan melalui CRM bagi memastikan pelan tindakan antirasuah dapat dilaksanakan dan dinilai secara berterusan serta berkesan.

Turut sama dalam program ini, Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS.

MPS akan terus mempergiat pelaksanaan inisiatif yang menyokong nilai integriti dan tadbir urus terbaik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa telus serta berkesan.

BENGKEL OACP & ABMS INTERGRITI DI PENANG

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN OKTOBER 2025

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN OKTOBER 2025

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN

10 Oktober 2025 | Lobi Menara MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan bertempat di Lobi Menara MPS.

Program ini memberi peluang kepada penduduk untuk menyuarakan aduan, cadangan dan pandangan, mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu berbangkit serta menyelesaikan urusan berkaitan MPS secara terus dengan pihak pengurusan tertinggi.

Sebanyak 30 aduan telah diterima daripada orang awam yang hadir, melibatkan pelbagai isu antaranya berkaitan kompaun dan sitaan.

Turut sama dalam program ini ialah Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, barisan pengarah dan wakil jabatan MPS.

Bagi orang awam yang tidak berkesempatan menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan hari ini boleh melayari https://mps.spab.gov.my/eApps/system/index.do untuk sebarang aduan, cadangan dan maklum balas atau boleh ke media sosial MPS untuk maklumat lanjut

KUNJUNGAN HORMAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR KE RERUAI MPS DI SIBS 2025

KUNJUNGAN HORMAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR KE RERUAI MPS DI SIBS 2025

RERUAI MPS DI SIBS SELANGOR 2025 TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

10 Oktober 2025 | KLCC

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor berkesempatan membuat kunjung hormat di reruai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada hari ketiga Selangor International Business Summit (SIBS) Selangor 2025 yang diadakan bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Dato’ Menteri Besar telah melawat reruai MPS di bawah segmen Selangor Digital & Economy (SDEC) yang menampilkan pelbagai inisiatif teknologi pintar serta perkhidmatan digital bagi menyokong pembangunan komuniti yang mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Penganjuran SIBS 2025 ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak bagi memastikan akses kepada perkhidmatan penjagaan yang berkualiti, inklusif dan mampan, seiring dengan aspirasi Selangor Negeri Pintar dan Sejahtera.

OPERASI BERSEPADU HALANGAN & KENDERAAN BERAT DI GOMBAK

OPERASI BERSEPADU HALANGAN & KENDERAAN BERAT DI GOMBAK

OPERASI BERSEPADU HALANGAN DAN KENDERAAN BERAT BERJAYA DILAKSANAKAN DI GOMBAK

9 Oktober 2025 | Gombak 

Operasi Bersepadu Halangan dan Kenderaan Berat telah dijalankan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD Gombak) bagi menangani isu halangan awam serta kesalahan melibatkan kenderaan berat di sekitar daerah Gombak.

Operasi yang berlangsung dari jam 8:30 malam hingga 12:00 tengah malam itu melibatkan seramai 58 anggota keseluruhan, terdiri daripada JPJ seramai tujuh (7) anggota, IPD Gombak lapan (😎 anggota, dan MPS seramai 43 kakitangan. Operasi bersepadu tersebut diketuai oleh Tuan Muhammad Noor Salehuddin bin Kamis, Timbalan Pengarah, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPS.

Kawasan tumpuan operasi ialah Persiaran Tun Teja Utama (Taman Tun Teja), Taman Velox, dan Jalan Besar Sungai Tua. Menerusi operasi tersebut sebanyak 31 kompaun telah dikeluarkan oleh JPJ, manakala MPS mengeluarkan lima (5) kompaun tambahan melibatkan pelbagai kesalahan trafik dan perniagaan. 

Selain itu, empat (4) tindakan sitaan turut dilaksanakan oleh MPS dalam operasi berasingan yang menumpukan kepada aktiviti halangan awam seperti kerusi dan meja di kaki lima premis perniagaan serta perniagaan urut tradisional tanpa lesen.

Dua khemah yang didapati menjalankan perniagaan urut tanpa permit turut dikenakan tindakan di bawah UKK 3, melibatkan pemilik warga asing. Operasi ini dijalankan bagi memastikan peraturan perbandaran sentiasa dipatuhi dan kawasan sekitar kekal selamat serta teratur untuk kegunaan awam.

MPS akan terus mempergiat operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh.

OPERASI BERSEPADU PASAR SELAYANG BARU 2025

MAJLIS ANUGERAH KEMPEN PREMIS MAKANAN BERSIH

MAJLIS ANUGERAH KEMPEN PREMIS MAKANAN BERSIH

MAJLIS ANUGERAH KEMPEN PREMIS MAKANAN BERSIH SEMPENA SAMBUTAN HARI KESIHATAN PERSEKITARAN SEDUNIA KPKT 2025

9 Oktober 2025 | Bangi Avenue Convention Centre

Kejayaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sekali lagi terserlah apabila berjaya meraih Tempat Kedua dalam Kempen Premis Makanan Bersih anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2025 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre.

Dalam pertandingan ini, Seri Selera MPS Sungai Pusu, Gombak telah dipilih sebagai wakil rasmi MPS dan bersaing bersama 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dari seluruh negara.

Anugerah tersebut telah diterima bagi pihak Yang Dipertua MPS, Tuan Shahman bin Jalaludin, oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS merangkap Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.

Pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan MPS dalam memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan persekitaran sihat sentiasa menjadi keutamaan demi kesejahteraan komuniti serta para peniaga di kawasan pentadbiran MPS.

MPS akan terus memperkukuh usaha pemantauan dan pendidikan kesihatan awam bagi memastikan budaya kebersihan premis makanan terus dipertingkatkan di seluruh kawasan pentadbiran.

SAMBUTAN HARI KESIHATAN PERSEKITARAN SEDUNIA KPKT 2025

KUNJUNGAN HORMAT KE RERUAI MPS DI SIBS 2025

KUNJUNGAN HORMAT KE RERUAI MPS DI SIBS 2025

Kunjungan Hormat ke Reruai Majlis Perbandaran Selayang di SIBS Selangor 2025

9 Oktober 2025 | KLCC

Reruai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 telah menerima kunjungan hormat pada hari kedua daripada YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid bin Hussain; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang; Dr.Aini binti Ahmad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Tuan Awaludin bin Zakaria; Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam serta Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam Safriah binti Md Adzhar.

Kunjungan tersebut mencerminkan semangat kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi, inovasi serta kemampanan bandar. 

MPS amat menghargai sokongan yang diberikan dan akan terus komited mempromosikan potensi pelaburan serta pembangunan mampan di peringkat tempatan dan negeri.