Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

SIDANG KEMUNCAK SELANGOR INTERNATIONAL BUSINESS SUMMIT (SIBS) 2025

SIDANG KEMUNCAK SELANGOR INTERNATIONAL BUSINESS SUMMIT (SIBS) 2025

SIDANG KEMUNCAK SELANGOR INTERNATIONAL BUSINESS SUMMIT (SIBS) 2025

8 Oktober 2025 | KLCC

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyertai Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 8 hingga 12 Oktober 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

D.Y.T.M Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor telah berkenan menyempurnakan acara perasmian sidang kemuncak SIBS 2025 yang berlangsung pada hari ini. Turut bersama adalah YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor; Dato' Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri; Dato Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; dan YB Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor.

Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS turut hadir dalam acara perasmian ini dan berkesempatan meninjau reruai pameran MPS diiringi oleh Tuan TPr. Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Perancang Bandar; Puan TPr. Noriza binti Bahari, Pengarah Jabatan Bangunan; Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat; serta pegawai daripada jabatan dalaman MPS.

Bersempena penganjuran SIBS 2025 ini, MPS turut mengambil bahagian melalui reruai pameran di bawah komponen Selangor Smart City & Digital Economy Convention (SDEC) dan Selangor Investment & Industrial Park Expo (SPARK). Penyertaan ini menjadi platform penting bagi memperkenalkan inisiatif pintar serta potensi pelaburan strategik di kawasan pentadbiran MPS.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan SIBS 2025 dan mengunjungi reruai MPS bagi mengetahui lebih lanjut mengenai projek pembangunan, pelaburan serta transformasi digital di Selayang.

SELANGOR BUSINESS SUMMIT

PROGRAM SARINGAN KESIHATAN PERKESO (HSP) DENGAN KERJASAMA PERKESO

PROGRAM SARINGAN KESIHATAN PERKESO (HSP) DENGAN KERJASAMA PERKESO

PROGRAM SARINGAN KESIHATAN PERKESO (HSP) DENGAN KERJASAMA PERKESO

7 Oktober 2025 | Lobi Menara MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Program Saringan Kesihatan PERKESO (HSP) dengan kerjasama pihak PERKESO.

Program ini telah melibatkan seramai 44 orang kakitangan MPS yang berumur di antara 40 hingga 59 tahun serta mempunyai sekurang-kurangnya 12 bulan caruman di bawah Skim Keilatan PERKESO.

Program ini sangat memberi impak kepada semua kakitangan yang terlibat bagi mengenal pasti tahap kesihatan mereka agar dapat mengambil langkah pencegahan awal. Untuk makluman, terdapat lapan ujian kesihatan yang ditawarkan oleh pihak PERKESO kepada peserta, dengan beberapa ujian dijalankan secara khusus mengikut jantina bagi memastikan penilaian kesihatan yang lebih menyeluruh dan tepat.

Pelaksanaan program seumpama ini turut mencerminkan keprihatinan MPS terhadap kesejahteraan warga kerja serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan.

MESYUARAT JK PUSAT SETEMPAT (OSC) MPS BIL.19-2025

MESYUARAT JK PUSAT SETEMPAT (OSC) MPS BIL.19-2025

MESYUARAT JAWATANKUASA PUSAT SETEMPAT (OSC) MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BIL.19/2025

7 Oktober 2025 | Putrajaya

Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MPS yang diadakan di Hotel Dorsett, Putrajaya. 

Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi mempertimbangkan pelbagai permohonan cadangan pemajuan, termasuk kebenaran merancang, pelan jalan dan perparitan, kerja tanah, pelan bangunan, pelan landskap serta permohonan yang telah diluluskan di peringkat Pengurusan Tertinggi dan Ketua Jabatan bagi tujuan pengesahan.

Mesyuarat turut meneliti setiap permohonan secara menyeluruh dengan mempertimbangkan aspek teknikal, sosial dan kesejahteraan komuniti sebelum keputusan dimuktamadkan. Pendekatan ini memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat bersama serta menyokong pembangunan inklusif dan berdaya huni.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, Ahli Majlis MPS, Ahli-Ahli Bersekutu yang terdiri daripada wakil Agensi Teknikal Luaran, serta pengarah dan pegawai MPS. 

MESYUARAT JAWATANKUASA PUSAT SETEMPAT (MJKOSC) BIL.19-2025

LAWATAN KERJA MPS KE MP SEPANG

LAWATAN KERJA MPS KE MP SEPANG

LAWATAN KERJA MPS KE MAJLIS PERBANDARAN SEPANG

6 Oktober 2025 | Sepang

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang diketuai oleh Puan Nurulliza Zulkiflee, Pengarah Jabatan Pusat Setempat (OSC) bersama pihak pengurusan serta wakil jabatan teknikal MPS.

Lawatan ini bertujuan untuk mendalami amalan terbaik serta penambahbaikan sistem yang dilaksanakan oleh MPSepang di bawah prosedur Express Development Approval (EDA), sebagai usaha memperkukuh kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan memudah cara proses permohonan pembangunan oleh Perunding Sektor Profesional (PSP).

Pihak MPSepang diketuai oleh Encik Ahmad Saifunazif bin Mat Yatim, Pengarah Kejuruteraan dan wakil-wakil Jabatan Teknikal Dalaman MPSepang, manakala taklimat berkaitan Pelaksanaan Inisiatif Baharu Penambahbaikan Proses dan Prosedur Kelulusan Pembangunan di Daerah Sepang telah disampaikan oleh Ts. Sulaiman bin Abi Hashim, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan, MPSepang.

Semoga dengan lawatan ini dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak berkuasa tempatan serta menjadi platform perkongsian ilmu bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

LAWATAN KERJA KE MPSEPANG

PROGRAM `MASIH ADA YANG SAYANG' PERINGKAT MPS 2025

PROGRAM `MASIH ADA YANG SAYANG' PERINGKAT MPS 2025

PROGRAM ‘MASIH ADA YANG SAYANG’ PERINGKAT MPS 2025

4 Oktober 2025 | PAWE Sungai Tua

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menganjurkan Program “Masih Ada Yang Sayang” bersempena Sambutan Hari Warga Emas 2025, bagi meraikan jasa dan sumbangan golongan warga emas dalam komuniti.

Program dimulakan dengan forum bertajuk “Jaringan Prihatin: Membina Sistem Sokongan Penjagaan Warga Emas dalam Kalangan Komuniti” yang menampilkan barisan panel berpengalaman terdiri daripada Dr. Nurul Nabilah binti Rosman, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selayang Baru; Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Rosnon, Pensyarah Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM); dan Dr. Lalitha Ambigai a/p Vengidasan, Pakar Perunding Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Selayang Baru.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian daripada Setia Kesuma Dance Group sebelum berlangsungnya acara kemuncak iaitu Majlis Perasmian Program yang telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, diiringi oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS.

Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik PAWE Sungai Tua, serta acara pemotongan pulut kuning sebagai simbolik sambutan Hari Warga Emas Sedunia.

Di samping itu, YB Puan Anfaal turut menyempurnakan Perasmian Kebun Komuniti PAWE Sungai Tua, yang diusahakan oleh 72 orang ahli PAWE dengan sokongan Ahli Majlis MPS Zon 6. Kebun ini menjadi salah satu inisiatif komuniti dalam memperkukuh semangat kerjasama dan kesejahteraan warga emas di kawasan tersebut.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Muhammad Husaini bin Mohd Yunos, Ahli Majlis MPS JKP Zon 6; Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS; para pengarah jabatan, wakil jabatan dan agensi kerajaan, serta rakan-rakan strategik MPS.

Program ini menjadi wadah memperkukuh jaringan sokongan antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, dan komuniti dalam memastikan kebajikan warga emas terus diberi perhatian, seiring dengan aspirasi menjadikan Selayang sebagai bandar prihatin dan sejahtera untuk semua lapisan masyarakat. 

PAWE MASIH ADA YANG SAYANG (MALAM)

SESI PELANCARAN & LATIHAN PENGGUNA SISTEM PENGUATKUASAAN 360

SESI PELANCARAN & LATIHAN PENGGUNA SISTEM PENGUATKUASAAN 360

SESI PELANCARAN DAN LATIHAN PENGGUNA SISTEM PENGUATKUASAAN 360 (ENFORCESEL)

1 - 3 Oktober 2025 | Putrajaya

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Sesi Pelancaran dan Latihan Penggunaan Sistem Penguatkuasaan 360 (EnforceSel) pada 1 - 3 Oktober 2025 bertempat di Hotel Zenith, Putrajaya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPS, Tuan Shahman bin Jalaludin, sebagai simbolik pelaksanaan inisiatif digital baharu MPS dalam memperkukuh sistem penguatkuasaan.

Latihan ini dikendalikan oleh Puan Hazna binti Ahmad daripada Sejati Solutions Sdn. Bhd. dengan penglibatan seramai 30 kakitangan teknikal MPS daripada pelbagai jabatan termasuk Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Kesihatan (JPSPK) serta Jabatan Landskap.

Sistem EnforceSel 360 ini dibangunkan sebagai salah satu inisiatif pendigitalan MPS untuk memperkukuhkan keberkesanan pemantauan isu di dalam kawasan pentadbiran. Antara fungsi utama sistem ini adalah pengurusan aduan, semakan laporan, rekod tindakan susulan dan paparan dashboard yang lebih responsif, mesra pengguna serta selamat. Ia turut dilengkapi dengan integrasi Google Maps, Waze, jejak audit, notifikasi masa nyata dan dokumentasi sokongan, sekali gus mempertingkat kecekapan dalam urusan penguatkuasaan.

Dengan pelaksanaan sistem ini, MPS yakin usaha penambahbaikan berasaskan teknologi akan terus memperkukuh mutu perkhidmatan kepada masyarakat serta meningkatkan tahap keberkesanan penyampaian pihak berkuasa tempatan.

SESI PELANCARAN DAN LATIHAN PENGGUNA SISTEM PENGUATKUASAAN 360

PERBINCANGAN STRATEGI PENGAUDITAN PBT SELANGOR 2026

PERBINCANGAN STRATEGI PENGAUDITAN PBT SELANGOR 2026

PERBINCANGAN STRATEGI PENGAUDITAN PBT SELANGOR 2026

1 Oktober 2025 | Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Audit Dalam telah menganjurkan Perbincangan Strategi Pengauditan PBT Selangor 2026 yang menghimpunkan juruaudit dari 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Tuan Wan Anwar bin Wan Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat MPS. Beliau dalam ucapannya menegaskan kepentingan Unit Audit Dalam sebagai pemacu integriti, ketelusan dan tadbir urus berkesan di peringkat PBT menjelang tahun 2026. Turut hadir adalah Puan Norhayati binti Ahmad, Pengarah Jabatan Audit Dalam MPS.

Antara fokus utama perbincangan adalah penyelarasan strategi audit dalaman antara PBT di Selangor, perkongsian amalan terbaik serta usaha penambahbaikan berterusan, pengukuhan kapasiti juruaudit dalam menghadapi cabaran semasa, serta penerapan teknologi dan pendekatan inovatif dalam pelaksanaan audit.

Perbincangan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pemantapan fungsi pengauditan dalaman seluruh PBT Selangor, seiring usaha meningkatkan akauntabiliti dan kecekapan demi kesejahteraan rakyat.

KURSUS ARBORIKULTUR PENJAGAAN KESIHATAN POKOK

KURSUS ARBORIKULTUR PENJAGAAN KESIHATAN POKOK

KURSUS ARBORIKULTUR: PENJAGAAN KESIHATAN POKOK, KAEDAH RAWATAN DAN AMALAN PENYELENGGARAAN TERBAIK

1 Oktober 2025 | Putrajaya

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terus komited meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para kontraktor dalam pengurusan landskap dengan menganjurkan Kursus Arborikultur: Penjagaan Kesihatan Pokok, Kaedah Rawatan dan Amalan Penyelenggaraan Terbaik pada 1 - 2 Oktober 2025 bertempat di Hotel Mecure Putrajaya.

Kursus yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan seramai 65 orang peserta terdiri daripada kontraktor penyelenggaraan landskap, panel pokok, panel taman permainan serta panel pembersihan. Melalui penyertaan ini, para kontraktor didedahkan dengan ilmu arborikultur yang merangkumi aspek penjagaan kesihatan pokok, amalan penyelenggaraan terbaik serta teknik rawatan yang lebih sistematik untuk diaplikasikan di kawasan pentadbiran MPS.

Antara fokus utama kursus adalah memperkenalkan konsep arborikultur sebagai asas dalam penjagaan aset hidup pihak berkuasa tempatan, termasuklah perkongsian mengenai teknik pemangkasan, kaedah pemotongan pokok, penjagaan kesihatan tumbuhan (Plant Health Care), rawatan penyakit pokok serta tatacara pembajaan pokok dan renek yang betul.

Barisan penceramah berpengalaman iaitu CA Puteri Noorlela Binti Bahrun, CA Fariza Firdaus Binti Mohd Salleh, CA Prof Madya Dr. Norida Binti Mazlan dan CA Muhammad Ammar Bin Hamzah telah berkongsi kepakaran masing-masing sepanjang kursus ini. Kehadiran jemputan khas, Tuan LAr Haris Bin Kasim, Pengarah Bahagian Pengurusan Hortikultur Perbadanan Putrajaya, turut berkongsi pandangan dalam usaha memperkukuh landskap bandar yang lebih lestari.

Menerusi penganjuran kursus ini, MPS berharap peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan landskap secara lebih berkesan, seterusnya memastikan keindahan, keselamatan dan kelestarian kawasan Selayang terus terpelihara demi kesejahteraan komuniti.

KURSUS ARBORIKULTUR PENJAGAAN KESIHATAN POKOK