Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

PROGRAM KUCING ANGKAT MPS 2025

PROGRAM KUCING ANGKAT MPS 2025

PROGRAM KUCING ANGKAT MPS 2025

25 Ogos 2025 | Lobi, Menara MPS

Program Kucing Angkat anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah diadakan bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebanyak 50 ekor kucing dipamerkan untuk dijadikan kucing angkat oleh pemilik baharu.

Hasil program ini, sebanyak 10 ekor kucing daripada MPS dan Hyper Pets telah berjaya mendapat keluarga baharu. Adabi dan Hyper Pets juga telah membuka reruai pameran dan jualan serta penampilan khas oleh si comel viral King Oyen turut menjadi tarikan utama pengunjung.

YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS dan YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS turut berkesempatan meninjau program ini serta beramah mesra dengan pengunjung dan penggiat haiwan yang hadir.

Selain itu, Jabatan Veterinar Gombak turut mengadakan pameran berkaitan rabies dan pemberian vaksin kepada kucing, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan rawatan serta khidmat nasihat kesihatan kucing kepada para pengunjung.

PROGRAM KUCING ANGKAT MPS 2025

MESYUARAT & LAWATAN KERJA EXCO JAWATANKUASA TETAP KEMAJUAN INFRASTRUKTUR DAN PERTANIAN KE MPS

MESYUARAT & LAWATAN KERJA EXCO JAWATANKUASA TETAP KEMAJUAN INFRASTRUKTUR DAN PERTANIAN KE MPS

MESYUARAT & LAWATAN KERJA EXCO JAWATANKUASA TETAP KEMAJUAN INFRASTRUKTUR DAN PERTANIAN KE MPS

25 Ogos 2025 | Selayang

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan Yang Berhormat Dato’ Ir. Izham bin Hashim, Exco Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur dan Pertanian yang menghadiri Mesyuarat dan Lawatan Kerja Exco Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur dan Pertanian bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama, MPS.

Sesi pembentangan telah disampaikan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, dan Majlis Perbandaran Selayang yang memberi tumpuan kepada isu-isu infrastruktur kritikal dengan matlamat mencari penyelesaian holistik dan berkesan demi kesejahteraan rakyat di daerah Gombak.

Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk masalah banjir, jalan raya dan cerun. Memandangkan topografi Gombak yang mencabar serta berisiko tinggi terhadap bencana banjir dan kegagalan cerun, MPS menerusi pembentangannya memberi keutamaan kepada usaha merangka tindakan proaktif berteraskan pendekatan bersepadu dan menyeluruh.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; Puan Nor Azlina binti Abdul Aziz, Pegawai Daerah Gombak; YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Orang Besar Daerah Gombak; YB Anfaal binti Saari, Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan merangkap ADUN Taman Templer; YB Chua Wei Kiat, ADUN Rawang; serta Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.

Mesyuarat dan lawatan kerja ini turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan di Selangor, jabatan dalaman MPS serta Ketua Whip.

Perbincangan ini diharap dapat membuka ruang kepada MPS untuk melaksanakan pembangunan yang lebih komprehensif serta merangka langkah-langkah strategik bagi menyelesaikan isu infrastruktur yang telah lama menjadi perhatian utama.

MESYUARAT & LAWATAN KERJA EXCO JAWATANKUASA TETAP KEMAJUAN INFRASTRUKTUR DAN PERTANIAN KE MPS

KEMPEN PENGUMPULAN BOTOL PLASTIK 100,000 KG SEMPENA JELAJAH ASPIRASI MALAYSIA 2025

KEMPEN PENGUMPULAN BOTOL PLASTIK 100,000 KG SEMPENA JELAJAH ASPIRASI MALAYSIA 2025

KEMPEN PENGUMPULAN BOTOL PLASTIK 100,000 KG SEMPENA JELAJAH ASPIRASI MALAYSIA 2025

25 Ogos 2025 | MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) terus komited dalam usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lestari melalui Kempen Pengumpulan Botol Plastik 100,000 KG, sempena Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 anjuran SelangorFM.

Kempen ini bukan sahaja menyasarkan untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa mampan serta menggalakkan amalan kitar semula, khususnya sisa plastik.

Kempen ini berlangsung selama 14 hari bermula 16 hingga 30 Ogos 2025 di dua lokasi utama iaitu Kabin Kitar Semula, Ibu Pejabat MPS dan Pusat Kitar Semula MPS Sri Gombak.

Sehingga 24 Ogos 2025, sebanyak 560.5 kilogram botol plastik telah berjaya dikumpulkan hasil kerjasama masyarakat awam, institusi pendidikan melalui Program Bank Kitar Semula, juga daripada sokongan kakitangan MPS dan pelbagai agensi kerajaan.

Kempen ini turut mendapat liputan media melalui Sesi Lawatan SelangorFM pada 25 Ogos 2025 di Ibu Pejabat MPS, termasuk sesi temu ramah secara langsung bersama Tuan Haji Khairil Anwar bin Che’ May, Timbalan Pengarah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.

MPS menyeru seluruh komuniti untuk terus menyokong inisiatif ini dengan menghantar botol plastik ke lokasi pengumpulan yang ditetapkan. Setiap sumbangan anda mampu membawa perubahan besar ke arah Selayang hijau dan lestari.

KEMPEN PENGUMPULAN BOTOL PLASTIK 100,000 KG SEMPENA JELAJAH ASPIRASI MALAYSIA 2025

KEJOHANAN 10TH KUNDANG INVITATIONAL JET SPORTS GEOPARK CHALLENGE 2025

KEJOHANAN 10TH KUNDANG INVITATIONAL JET SPORTS GEOPARK CHALLENGE 2025

KEJOHANAN 10TH KUNDANG INVITATIONAL JET SPORTS GEOPARK CHALLENGE 2025

24 Ogos 2025 | Tasik Biru Kundang, Kuang

Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam 10th Kundang Invitational Jet Sports Geopark Challenge 2025 anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Persatuan Jet Ski dan Sukan Air Selangor (PJSAS) yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos 2025 di Tasik Biru Kundang.

Kejohanan edisi ke-10 ini menghimpunkan 94 orang peserta yang melibatkan dari pelbagai negeri dan peserta antarabangsa dari Filipina, Thailand, Jepun serta Singapura. Sebanyak enam kategori berformat Super Course dipertandingkan termasuk kategori junior yang memperlihatkan saingan sengit dan penuh semangat kesukanan.

🏆Senarai pemenang beserta hadiah wang tunai adalah seperti berikut:

R/A 1100 LIMITED

Johan : Tee Chen Jet (Eweme Jetski Team) RM2,000

🥈Naib Johan : Muhammad Irfan bin Nazri (Terengganu Water Sport) RM1,000

Ketiga : Irfan Hakim bin Ahmad Dawi (Terengganu Water Sport) RM600 

R/A 2 STROKE 800 OPEN

Johan : Mohd Nur Azhari bin Baddri (Perak Jet Sport) RM4,000

Naib Johan : Shabi Samsuddin (Perak Jet Sport) RM2,000

Ketiga : Nayan Bakar (Perak Jet Sport) RM1,000

JUNIOR SLALOM TIME ATTACK

Johan : Nasrul Daniel (Meganrata) RM500

Naib Johan : Luth Mikail bin Hanif (Terengganu Water Sport) RM300

🥉Ketiga : Nur Hanisah binti Shahalam (Flyboard Melaka) RM200

R/A NOVICE JUNIOR SPARK

🥇Johan : Thanaphat Mastep (MD Property by Triple S) RM1,000

Naib Johan : Zafran bin Zulfaizal (Terengganu Water Sport) RM600

🥉Ketiga : Muhammad Solihuddin Al Ayubi Mohamad Hisyan (Terengganu Water Sport) RM300

R/A 1100 SPARK LIMITED

Johan : Saifullah Al Aziz bin Nazar (Meganrata) RM6,000

Naib Johan : Muhd Fadli b Hashim (Samudera Rc Team) RM2,300

Ketiga : Irfan Hakim bin Ahmad Dawi (Terengganu Water Sport) RM1,300

SUPER COURSE OPEN

🥇Johan : Irfan Hakim bin Ahmad Dawi (Eme Jetski Team) RM4,000

🥈Naib Johan : Tee Chen Jet (Eme Jetski Team) RM2,000

🥉Ketiga : Izz Amsyar Haidiel (Terengganu Water Sport) RM1,000

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dan diserikan dengan Gimik Penyerahan Bendera Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68.

Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican, Penyelaras DUN Kuang; Puan Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Sdn. Bhd.; Datuk Mohammed Saffian bin Omar, Presiden Persatuan Sukan Jet Ski Malaysia; YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; Ahli Majlis, Pengarah Jabatan MPS, wakil agensi serta jabatan MPS.

MPS percaya penganjuran ini akan menjadi pemangkin pembangunan sukan, pelancongan dan ekonomi setempat serta menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

KEJOHANAN 10TH KUNDANG INVITATIONAL JET SPORTS GEOPARK CHALLENGE 2025

LAWATAN PENANDA ARAS MBJ (PEKERJA) MPS KE MBJ (MBSA)

LAWATAN PENANDA ARAS MBJ (PEKERJA) MPS KE MBJ (MBSA)

LAWATAN PENANDA ARAS AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI MAJLIS BERSAMA JABATAN MBJ (PEKERJA) MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG KE MBJ MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM (MBSA)

21 Ogos 2025 | IRIS MBSA

MBJ (Pekerja) MPS telah mengadakan sesi lawatan penanda aras ke MBJ Pihak Pekerja MBSA. Lawatan ini mempelajari kaedah dan berkongsi maklumat serta manfaat untuk kebajikan kakitangan yg diperolehi melalui MBJ masing-masing.

Turut sama Pengerusi MBJ (Pekerja) Tn. Ts Mohd Azmi Wagiran dan seramai 6 orang AJK tertinggi MBJ (Pekerja) MPS ke lawatan penanda aras ini. Turut serta bersama En Zailan bin Sanusi selaku Pengerusi MBJ Pihak Pekerja MBSA, Ajk MBJ MBSA dan wakil pihak Jabatan Sumber Manusia MBSA bersama-sama dalam sesi ini.

Sesi ini diadakan di Pusat Integrasi Sistem Pemantauan Pintar Shah Alam (IRIS) Tingkat 27, MBSA dan lawatan dan taklimat di Pusat Kawalan IRIS yang diselia oleh Jabatan Digital & Teknologi Maklumat, MBSA.

KURSUS PERKHIDMATAN KAUNTER CEMERLANG MPS 2025

KURSUS PERKHIDMATAN KAUNTER CEMERLANG MPS 2025

KURSUS PERKHIDMATAN KAUNTER CEMERLANG MPS 2025

21 Ogos 2025 | Taman Rimba Bukit Lagong

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Kursus Perkhidmatan Kaunter Cemerlang 2025 pada 21 Ogos 2025 bertempat di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong.

Seramai 68 orang kakitangan barisan hadapan MPS telah menyertai kursus ini yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Rohaizan binti Daud dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Beliau berkongsi ilmu serta pengalaman berkaitan kemahiran komunikasi, pengurusan pelanggan yang berkesan, etika kerja, dan prosedur penyampaian perkhidmatan kaunter yang efisien.

Melalui pendekatan interaktif dan praktikal, kursus ini telah memberikan impak positif kepada para peserta. Diharapkan segala ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam tugas harian, sekali gus memperkukuhkan imej MPS sebagai penyedia perkhidmatan yang profesional, mesra pelanggan, dan berintegriti.

Kursus ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan, seterusnya memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap MPS.

MPS, PDRM BENTERAS AKTIVITI TIDAK BERLESEN DAN KOTOR

MPS, PDRM BENTERAS AKTIVITI TIDAK BERLESEN DAN KOTOR

MPS, PDRM BENTERAS AKTIVITI TIDAK BERLESEN DAN KOTOR

20 Ogos 2025 | Selayang 

Seramai tujuh warga asing terdiri daripada warganegara Filipina, Thailand dan Nigeria berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 19 Ogos 2025.

Operasi ini turut melibatkan beberapa jabatan dalaman MPS iaitu Jabatan Pelesenan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan serta Jabatan Korporat. Tindakan yang dijalankan merangkumi tangkapan, serbuan serta sitaan ke atas beberapa premis yang didapati melanggar undang-undang.

Antara kesalahan yang dikesan termasuklah premis yang beroperasi dengan lesen sementara yang telah tamat tempoh, premis yang menjalankan aktiviti selain daripada yang dilesenkan serta penjualan minuman keras tanpa kebenaran, premis yang beroperasi tanpa lesen sah, selain pelbagai pelanggaran kebersihan dan kesihatan makanan. Dalam pemeriksaan, terdapat premis yang hanya memperoleh markah kebersihan 33 peratus dan telah diarahkan tutup serta dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisyemen Makanan (MPS) 2007.

Secara keseluruhan, tiga premis telah dikenakan notis penutupan dan beberapa kompaun dikeluarkan sepanjang operasi tersebut.

Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MPS bagi membanteras perniagaan tanpa lesen, meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan serta mengekang aktiviti haram yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

MPS menegaskan tindakan penguatkuasaan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan Selayang kekal sebagai kawasan yang selamat, bersih dan teratur

KURSUS ASAS SEWAAN PREMIS MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BIL.2-2025

KURSUS ASAS SEWAAN PREMIS MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BIL.2-2025

KURSUS ASAS SEWAAN PREMIS MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG BIL.2/2025

20 Ogos 2025 | Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) telah menganjurkan Kursus Asas Sewaan Penyewaan Premis Bil. 2/2025 yang diadakan pada 20 Ogos 2025 bertempat di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong. 

Seramai 33 orang penyewa premis MPS telah mengambil bahagian di dalam kursus ini. Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberikan penerangan terperinci berkaitan tatacara penyewaan premis milik MPS serta meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek pengurusan sewaan secara menyeluruh. Turut sama, pegawai-pegawai dari Jabatan Pelesenan, Perbendaharaan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) MPS.

Kursus ini telah dirasmikan oleh En. Ahmad Faisal Bin Badiuzaman, Pengarah JPPH dan diteruskan dengan sesi taklimat daripada pegawai-pegawai kanan jabatan yang berkaitan. Antara pengisian yang dibentangkan termasuk pengurusan kewangan perniagaan, pelesenan, pengurusan sisa pepejal dan kebersihan premis. Turut diadakan sesi perkongsian pengalaman daripada penyewa yang berjaya memberi inspirasi dan panduan kepada peserta dalam aspek promosi dan pengurusan perniagaan.

Sesi penyampaian sijil kepada para peserta yang berjaya melengkapkan kursus telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Faisal. Semoga dengan penganjuran kursus ini dapat memperkukuh hubungan strategik antara MPS dan para penyewa serta menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan yang lebih tersusun.

MAJLIS LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI ENCIK SHAMSUL AZLAN BIN MOHAMAD ANUAR

MAJLIS LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI ENCIK SHAMSUL AZLAN BIN MOHAMAD ANUAR

MAJLIS LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI ENCIK SHAMSUL AZLAN BIN MOHAMAD ANUAR 

19 Ogos 2025 | Dewan Keraian, Menara MPS

Majlis Lambaian Kasih, Sanjungan Budi meraikan Encik Shamsul Azlan bin Mohamad Anuar, Pengarah Jabatan Pusat Setempat (OSC) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan pada 19 Ogos 2025 bertempat di Dewan Keraian, Menara MPS.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa beliau selama hampir enam tahun berkhidmat di MPS. Untuk makluman, Encik Shamsul Azlan akan bertukar ke Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) ,Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut sama meraikan ialah Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; Tuan Haji Sulaiman bin Abu Samah, Ketua Whip MPS dan Tuan Saharudin bin Abu Bakar, Ahli Majlis MPS serta barisan pengarah.

Seluruh warga MPS dengan penuh ikhlas mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Semoga perjalanan beliau di tempat baharu dipenuhi dengan kejayaan yang lebih cemerlang.

KURSUS AWALAN STRATA MPS TINGKAT KEFAHAMAN KOMUNITI

KURSUS AWALAN STRATA MPS TINGKAT KEFAHAMAN KOMUNITI

KURSUS AWALAN STRATA MPS TINGKAT KEFAHAMAN KOMUNITI

19 Ogos 2025 | Selayang

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Kursus Awalan Strata Skim Terpilih yang berlangsung dalam dua sesi bertempat di Dewan Simfoni, Bukit Lagong, MPS.

Program ini dirasmikan oleh Pn. Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah Jabatan COB manakala sesi taklimat disampaikan oleh Pn. Sr. Rosmaliza, Timbalan Pengarah Jabatan COB. Buat julung kalinya, program ini diadakan secara dua sesi dengan penglibatan seramai 60 peserta terdiri daripada pemilik petak serta komuniti strata di bawah pentadbiran MPS. Penganjuran turut mendapat kerjasama daripada Ahli-Ahli Majlis MPS.

Turut hadir, Tn. Wan Anwar bin Wan Ibrahim, Ahli Majlis Zon 5; Tn. Deveandran A/L Selvaraju, Ahli Majlis Zon 7; serta Tn. U Chin Ong, Ahli Majlis Zon 12.

Objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti strata mengenai Akta Pengurusan Strata (Akta 757) dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015. Peserta turut didedahkan dengan peranan serta tanggungjawab pemilik petak, amalan terbaik dalam pengurusan, serta kesalahan lazim yang perlu dielakkan.

Selain itu, sesi perkongsian pengalaman oleh pemilik petak turut diadakan bagi memberi gambaran jelas mengenai cabaran dan tanggungjawab dalam memastikan skim strata berfungsi dengan baik.

Matlamat utama kursus ini adalah untuk meningkatkan kesedaran bahawa pemilikan rumah strata bukan sekadar memiliki kediaman, tetapi juga memikul tanggungjawab menjaga harta bersama dan keharmonian komuniti.

MPS merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dalaman yang terlibat dalam menjayakan penganjuran ini.