Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG JULAI 2025

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG JULAI 2025

PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan pada 11 Julai 2025 (Jumaat) bertempat di Lobi Menara MPS. Program ini dipengerusikan oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS, dengan penglibatan 14 jabatan dalaman serta satu agensi luar, Suasa Efektif Sdn. Bhd.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan MPS dalam memperkukuh komunikasi bersama penduduk. Ia memberi peluang kepada orang awam untuk menyuarakan pertanyaan dan aduan secara langsung kepada pegawai jabatan berkaitan, termasuk mendapatkan penjelasan terus mengenai isu-isu perbandaran.

Sebanyak 40 aduan dan pertanyaan telah diterima sepanjang program berlangsung. Antara Isu yang dikemukakan termasuk isu berkaitan kompaun, aduan kejiranan, isu berkaitan infrastruktur serta pertanyaan mengenai proses kebenaran merancang.

Program ini telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya sebagai saluran perkhidmatan bersemuka yang lebih telus dan mesra rakyat.

Orang awam yang tidak berkesempatan hadir boleh menyalurkan aduan atau cadangan secara dalam talian melalui portal SPAB di 

https://mps.spab.gov.my atau menerusi platform media sosial rasmi MPS.

HARI BERTEMU PELANGGAN BULAN JULAI 2025

PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA JARING MPS & PDT GOMBAK

PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA JARING  MPS & PDT GOMBAK

PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA JARING PASUKAN MPS DAN PEJABAT DAERAH DAN TANAH GOMBAK

9 JULAI 2025 | KUARTERS PDT GOMBAK

Semangat kesukanan dan jalinan ukhuwah antara Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak diperkukuh dengan Perlawanan Persahabatan Bola Jaring antara Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan yang berlangsung pada 9 Julai 2025.

Perlawanan ini bukan sahaja memberi ruang untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja, malah turut memperkukuh hubungan baik antara dua agensi kerajaan di daerah Gombak.

Perlawanan berakhir dengan pasukan MPS menewaskan pasukan PDT Gombak dengan skor jaringan 25-15.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan atas semangat kesukanan yang tinggi dan semoga perlawanan persahabatan ini dapat mengeratkan kerjasama antara warga kerja MPS dan PDT Gombak.

BENGKEL FOCUS GROUP DISCUSSION (FGD) PELAN TINDAKAN KHAS (PTK) KAMPUNG SUNGAI CHINCHIN

BENGKEL FOCUS GROUP DISCUSSION (FGD) PELAN TINDAKAN KHAS (PTK) KAMPUNG SUNGAI CHINCHIN

BENGKEL FOCUS GROUP DISCUSSION (FGD) PELAN TINDAKAN KHAS (PTK) KAMPUNG SUNGAI CHINCHIN

8 Julai 2025 | Kuala Lumpur 

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan satu sesi Perbincangan Kumpulan Bersasar (FGD) bagi penyediaan Laporan Penemuan Draf Awal Pelan Tindakan Khas (PTK) Pembangunan Infrastruktur Kampung Sungai Chinchin, bertempat di Crystal Crown Kuala Lumpur pada 8 Julai 2025.

Program ini dirasmikan oleh Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS dan turut disertai oleh Tuan Haji A. Rahim bin Ahmad Kasdi, Penyelaras DUN Gombak Setia; Tuan Megat Mohd Fadhli bin Zakaria, Ahli Majlis MPS Zon 1; pengarah-pengarah jabatan MPS; wakil agensi kerajaan serta pemimpin tempatan.

Bengkel ini bertujuan merangka pelan pembangunan infrastruktur dan utiliti secara menyeluruh, merangkumi penilaian potensi kawasan, hala tuju pembangunan, reka bentuk terperinci serta jadual pelaksanaan mengikut fasa, kos dan agensi pelaksana yang terlibat.

Kajian ini juga mengambil kira perubahan dasar kerajaan, penyelarasan guna tanah dan aktiviti pembangunan, selain menekankan keperluan peningkatan infrastruktur demi kesejahteraan penduduk. PTK ini bakal menjadi dokumen rujukan utama dalam proses kawalan pembangunan dan permohonan peruntukan pada masa akan datang.

MPS komited untuk memastikan segala perancangan pembangunan dilaksanakan secara berfokus, inklusif dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.

BENGKEL FDG KG SG CHINCHIN 2025

LAWATAN (EKSA) OLEH BAHAGIAN AUDIT DALAM PERTAHANAN (BADP) KE MPS

LAWATAN  (EKSA) OLEH BAHAGIAN AUDIT DALAM PERTAHANAN (BADP) KE MPS

LAWATAN PENANDA ARAS EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM (EKSA) OLEH BAHAGIAN AUDIT DALAM PERTAHANAN (BADP) KE MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

7 Julai 2025 | Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima Lawatan Penanda Aras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada Bahagian Audit Dalam Pertahanan (BADP), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) pada 7 Julai 2025 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Delegasi seramai 24 orang yang diketuai oleh Komander Khairulniza binti Kamarulzaman, Ketua Juruaudit Laut, Seksyen Audit Prestasi, Bahagian Audit Dalam Pertahanan, telah disambut oleh Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Korporat merangkap Fasilitator EKSA MPS. Turut hadir, Tuan Ts. Hairudin bin Daud; Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) yang juga merupakan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Persekitaran EKSA MPS, wakil-wakil Jawatankuasa Induk EKSA serta pegawai-pegawai dari jabatan dalaman MPS.

Lawatan ini menjadi platform untuk kedua-dua pihak berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan EKSA, khususnya dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sistematik, kondusif dan profesional. Delegasi turut diberi taklimat mengenai pelaksanaan EKSA di MPS serta dibawa melawat ke beberapa zon EKSA terpilih di sekitar MPS.

MPS amat menghargai kunjungan ini dan berharap jalinan kerjasama serta perkongsian ilmu seperti ini akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

LAWATAN EKSA OLEH MINDEF 2025

LAWATAN DELEGASI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG KE MAJLIS BANDARAYA IPOH

LAWATAN DELEGASI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG KE MAJLIS BANDARAYA IPOH

LAWATAN DELEGASI MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG KE MAJLIS BANDARAYA IPOH

2 - 4 Julai 2025 | Ipoh, Perak

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pelesenan telah mengadakan lawatan Penanda Aras ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menjalin kerjasama strategik dan memperkasa pengurusan penjaja kecil. Delegasi MPS yang terdiri daripada 33 orang ini diketuai oleh Encik Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, dan disambut mesra oleh Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya Ipoh.

Lawatan ini bertujuan untuk perkongsian ilmu dan pengalaman antara MPS dan MBI berkaitan Penyediaan Pelan Strategik Pengurusan dan Pemerkasaan Penjaja Kecil MPS 2026-2030 serta Meneliti perancangan jangka panjang dan pendekatan sistematik yang digunapakai MBI dalam mengurus penjaja kecil secara lebih teratur dan inklusif.

Delegasi MPS diberi taklimat berfokuskan perancangan penjaja oleh Encik Faizalhawafiz bin Abd Wafar, Penolong Pengarah Kesihatan Bandaraya dan Encik Abd Razak bin Hussin, Ketua Penguasa Kesihatan. Sesi ini menekankan gambaran konsepsual yang menjadi panduan dalam pemerkasaan ekosistem penjaja kecil serta rancangan pembangunan tapak penjaja di bandaraya Ipoh.

MBI juga telah menyambut baik lawatan ini yang dianggap sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara PBT. Pertukaran idea dan pengalaman amalan terbaik dalam pengurusan penjaja ini memberi manfaat besar dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Selain itu juga, delegasi turut mengadakan lawatan ke beberapa lokasi strategik di Ipoh, antaranya MyKiosk Jumbo Jet, Jalan Jumbo Jet, MyKiosk Station 18, Gerbang Malam Ipoh, MyKiosk Meru, Dataran Bandaraya Ipoh (MBI Terrace), Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru dan Pasar Basah SPPK, Taman Pengkalan Jaya.

Diharapkan agar input yang diperoleh sepanjang lawatan kali ini dapat memperkasa Pelan Induk Penjaja MPS 2026–2030.

SESI AUDIT PENILAIAN ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS & ANTIRASUAH (AIGA)

SESI AUDIT PENILAIAN ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS & ANTIRASUAH (AIGA)

SESI AUDIT PENILAIAN ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS DAN ANTIRASUAH (AIGA)

3 Julai 2025 | Menara MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Unit Integriti telah menjalani Sesi Audit Penilaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 bersama panel penilai.

Sesi ini yang diadakan secara atas talian menjadi ruang memperkukuh usaha berterusan MPS dalam membudayakan integriti, governans dan pencegahan rasuah di peringkat organisasi.

Turut sama, Puan Suhaila binti Abdul Hamid, Penasihat Undang-undang MPS, Pengarah Jabatan Dalaman MPS dan Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) MPS.

Semoga MPS berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

AUDIT PENILAIAN ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS DAN ANTIRASUAH (AIGA) TAHUN 2025 OLEH INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA SECARA DALAM TALIAN 2025

PAWE SUNGAI TUA JADI CONTOH INISIATIF MESRA WARGA EMAS

PAWE SUNGAI TUA JADI CONTOH INISIATIF MESRA WARGA EMAS

PAWE SUNGAI TUA JADI CONTOH INISIATIF MESRA WARGA EMAS

3 Julai 2025 | Sungai Tua, Batu Caves

Operasi di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 3 Julai 2025 dimulakan dengan sesi saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah dan paras gula oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Gombak serta senaman pagi yang dipimpin oleh fasilitator kesihatan.

Aktiviti ini bukan sahaja membantu memantau tahap kesihatan warga PAWE Sungai Tua, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat dan interaksi sosial dalam kalangan warga emas.

Turut berlangsung adalah sesi temuramah dan lawatan daripada wakil media The Star yang disambut oleh TPr. Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) MPS.

Lawatan media ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan dan fungsi PAWE Sungai Tua kepada masyarakat umum serta mengetengahkan pelbagai kemudahan dan inisiatif yang ditawarkan kepada warga emas.

Pihak media turut menemubual empat orang warga PAWE yang berkongsi pengalaman positif mereka menyertai program dan aktiviti di pusat tersebut.

KUNJUNGAN BALAS MP TEMERLOH KE MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

KUNJUNGAN BALAS MP TEMERLOH KE MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

KUNJUNGAN BALAS MAJLIS PERBANDARAN TEMERLOH, PAHANG KE MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

3 Julai 2025 | Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan balas daripada Majlis Perbandaran Temerloh (MP Temerloh), Pahang pada 3 Julai 2025 bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Seramai 15 ahli delegasi hadir dalam kunjungan ini, diketuai oleh Encik Mohd Sukri bin Baharom, Pengarah Jabatan Pusat Setempat (OSC) MP Temerloh. Delegasi disambut oleh Encik Shamsul Azlan bin Mohamad Anuar, Pengarah Jabatan OSC MPS.

Sesi lawatan ini menjadi platform perbincangan mengenai pelaksanaan OSC 3.0 Plus – sistem One-Stop Centre yang digunakan dalam pengurusan permohonan serta mesyuarat harian di MPS. 

Selain itu, lima jabatan teknikal MPS iaitu Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Landskap, Jabatan Pusat Setempat (OSC) dan Jabatan Bangunan turut berkongsi pengalaman, idea dan amalan terbaik dalam usaha memperkukuh proses kerja di MPS serta memastikan pelaksanaannya menepati garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Diharapkan kunjungan ini dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak serta membawa manfaat bersama dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

LAWATAN DARI MAJLIS PERBANDARAN TEMERLOH 2025

PERASMIAN PERTANDINGAN PREMIS MAKANAN BERSIH & TANDAS (BMW) 2025

PERASMIAN PERTANDINGAN PREMIS MAKANAN BERSIH & TANDAS (BMW) 2025

MAJLIS PERASMIAN PERTANDINGAN PREMIS MAKANAN BERSIH & TANDAS BERSIH, MENAWAN, WANGI (BMW) TAHUN 2025

30 September 2025 | Taman Selayang Jaya

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah menganjurkan Majlis Perasmian Pertandingan Premis Makanan Bersih & Tandas Bersih, Menawan, Wangi (BMW) Zon 12 Tahun 2025.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS merangkap Pengarah JPSPK. Program ini mendapat kerjasama Ahli Majlis Zon 12, Tuan U Chin Ong, Hotel Richbaliz dan Pasaraya Mydin

Turut memeriahkan majlis ini ialah pelbagai pameran menarik daripada agensi kerajaan dan swasta, antaranya Unit Kesedaran Kesihatan Persekitaran, dengan demonstrasi pembuatan lilin, Unit Kawalan Vektor dan Haiwan, dengan pameran berkaitan denggi dan tikus. Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak turut membuat pameran berkaitan keselamatan makanan dan penyakit Leptospirosis.

Pertandingan ini akan berlangsung dari 1 Oktober hingga 30 November 2025, manakala proses penjurian dijadualkan pada bulan Disember melibatkan panel MPS, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahli Majlis serta juri awam.

Hadiah berupa wang tunai, sijil dan hamper bakal diberikan kepada para pemenang dalam majlis penyampaian hadiah yang dijangka berlangsung pada Januari 2026.

MPS berharap inisiatif ini dapat memupuk budaya kebersihan dalam komuniti serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan makanan demi kesejahteraan bersama

MESYUARAT MAJLIS BIL. 9-2025

MESYUARAT MAJLIS BIL. 9-2025

MESYUARAT MAJLIS BIL. 9/2025

30 September 2025 | Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS

Mesyuarat Majlis Bil.9/25 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan bertempat di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS.

Mesyuarat majlis ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Dalam ucapan beliau, Tuan YDP telah berkongsi pencapaian sepanjang bulan September 2025 dan menzahirkan rasa bangga beliau atas kejayaan MPS.

Hadir sama dalam mesyuarat ini ialah YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; YBrs. Tuan Ts. Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS; Ahli Majlis MPS, pengarah jabatan dan pihak media.