Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada empat orang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah menerima surat penyiaran pemangkuan jawatan kenaikan pangkat secara one-off (SSPA 2024) serta kenaikan pangkat secara hakiki bagi tahun 2025 pada 19 Mei 2025.
Sesi penyerahan telah disempurnakan oleh YBrs.Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Semoga kenaikan pangkat ini menjadi pemangkin untuk terus menabur khidmat bakti yang terbaik demi kemajuan bersama khususnya untuk MPS.
Susulan kejayaan penganjuran siri pertama seminar bersama komuniti strata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meneruskan kesinambungan program ini dengan menganjurkan Seminar Kehidupan Strata Sejahtera e-COB Siri 2/2025 MPS pada 25 Jun 2025 bertempat di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong.
Seminar ini menghimpunkan wakil 30 skim di bawah pentadbiran MPS dan bertujuan memperkukuh kefahaman komuniti strata terhadap pengurusan harta bersama, penggunaan sistem e-COB, pelaksanaan AGM, serta Tatacara dan Garis Panduan Teknik Mediasi Skim Strata.
Penyertaan kali ini turut mendapat suntikan ilmu dan perkongsian pengalaman daripada tiga penceramah iaitu Puan Sr Rosmaliza binti Osman, Timbalan Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan, Puan Norhaslinda bt Latif, Penolong Akauntan, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Puan Fadlilawati bt Masran, Mediator DBKL. Turut sama, Puan Nor Shafaliza binti Saharudin, Pengarah Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPS.
Menerusi penganjuran berterusan ini, MPS berharap agar hubungan erat antara pihak COB dan komuniti strata terus diperkukuh, selaras dengan slogan: “Strata Terpelihara, Komuniti Sejahtera.”
Taklimat Kempen Premis Makanan Bersih di Seri Selera Sungai Pusu, Gombak telah berlangsung pada 25 Jun 2025 bertempat di Seri Selera, Sungai Pusu. Taklimat ini diadakan dengan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengambil bahagian secara sukarela dalam Kempen Kesihatan Persekitaran 2025. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kebersihan gerai serta keselamatan makanan dan pengendali makanan.
Kempen ini merupakan sebahagian daripada enam (6) Kategori Kempen Kebersihan di bawah inisiatif KPKT. MPS mengambil bahagian dalam empat (4) kategori kempen, iaitu Kempen Tandas Awam Bersih, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih dan Kempen Membasmi Infestasi Tikus.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Megat Mohd Fadhli bin Zakaria, Ahli Majlis MPS Zon 1 dan Encik Ts. Hairudin bin Daud selaku Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan yang menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan persekitaran gerai kekal bersih, selamat dan sihat untuk semua.
Program diteruskan dengan sesi taklimat oleh beberapa wakil jabatan. Taklimat ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengisian dalam kempen yang dijalankan. Puan Kasmah binti Kamis dari Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) membentangkan syarat-syarat penyewaan gerai di bawah seliaan majlis. Seterusnya, Encik Muhd Kasri bin Muharddin dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPK) menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan makanan dan amalan kebersihan pengendali makanan.
Puan Fatin Nadiah binti Abd Aziz dari Jabatan Pelesenan pula menerangkan syarat-syarat permohonan lesen perniagaan. Majlis turut dimeriahkan dengan kuiz ringkas yang dikendalikan oleh Puan Siti Aisyah binti Borhannordin.
Program diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada pihak MPS kepada semua tetamu yang hadir atas komitmen dan penyertaan mereka. Diharapkan segala ilmu dan informasi yang telah dikongsi sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan komuniti dan kelestarian persekitaran seri selera sungai pusu.
Taklimat Kempen Pasar Awam Bersih dan Kempen Membasmi Tikus telah berlangsung pada 25 Jun 2025 bertempat di Pasar Baru Selayang. Taklimat ini diadakan dengan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengambil bahagian dalam Kempen Kesihatan Persekitaran 2025. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kebersihan pasar serta langkah-langkah membasmi tikus di premis-premis perniagaan.
Kempen ini merupakan sebahagian daripada Enam (6) Kategori Kempen Kebersihan di bawah inisiatif KPKT. MPS mengambil bahagian dalam empat (4) kategori kempen, iaitu Kempen Tandas Awam Bersih, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih dan Kempen Membasmi Infestasi Tikus.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Deveandran, Ahli Majlis MPS Zon 7, yang menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan persekitaran pasar kekal bersih, selamat dan sihat untuk semua.
Program diteruskan dengan sesi taklimat oleh beberapa wakil jabatan. Taklimat ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengisian dalam kempen yang dijalankan. Puan Kasmah binti Kamis dari Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) membentangkan syarat-syarat penyewaan gerai di bawah seliaan majlis. Seterusnya, Encik Muhd Kasri bin Muharddin dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPK) menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan makanan dan amalan kebersihan pengendali makanan.
Puan Nozie Akmaar binti Mohd dari Jabatan Pelesenan pula menerangkan syarat-syarat permohonan lesen perniagaan. Majlis turut diteruskan dengan penyerahan borang kaji selidik oleh Encik Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Korporat, kepada Puan Haniza, wakil Persatuan Peniaga Pasar Selayang, untuk diedarkan kepada peserta sebagai usaha menambah baik pengurusan dan fasiliti pasar.
Majlis turut dimeriahkan dengan kuiz ringkas yang dikendalikan oleh Puan Siti Aisyah binti Borhannordin.
Program diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada pihak MPS kepada semua tetamu yang hadir atas komitmen dan penyertaan mereka. Diharapkan segala ilmu dan informasi yang telah dikongsi sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan komuniti dan kelestarian persekitaran pasar.
Majlis Perhimpunan Bulan Jun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang dihoskan oleh Jabatan Landskap telah diadakan pada 23 Jun 2025 bertempat di Lobi Menara MPS.
YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS dalam ucapan beliau mengingatkan tentang komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Selayang. Di samping itu, sempena kedatangan tahun baharu 1 Muharam 1447H, Tuan TYDP juga menekankan berkenaan penghijrahan kepada perkara yang lebih baik.
Beliau juga menyeru agar semua pihak terus bekerja dengan lebih gigih dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam, membudayakan sikap prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk, serta memperkuatkan kerjasama antara masyarakat dan MPS
Pada majlis ini telah diadakan penyampaian seperti berikut:
- Sumbangan Dermasiswa SPM 2024 oleh ANULAE Semenanjung Malaysia kepada 10 orang anak-anak ahli ANULAE Cawangan MPS
- Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Zon Tengah Tahun 2025
- Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penganjur Kempen Derma Darah Kepada MPS Sempena Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Sambutan Jubli Perak Pusat Darah Negara (PDN) 2025.
- Penyampaian Sijil Penghargaan dan Pengiktirafan kepada Ahli AKRAB MPS
- Penyampaian hadiah bagi Kejohanan Pemilihan Pasukan Ping Pong MAKSAK Selangor 2025
- Penyampaian Plak Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Pasukan Landskap vs JKR TLDM FC
Turut sama, Yang Dihormatkan, Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak; barisan Ahli Majlis, Pengarah Jabatan MPS dan kakitangan MPS.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jbatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah menerima lawatan daripada YB Puan Pua Pei Ling, ADN Bukit Lanjan bersama Ahli Majlis MPS, Tuan U Chin Ong ke Pangsapuri Taman Daya, Kepong sempena pelaksanaan Projek Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) pada 23 Jun 2025.
Lawatan ini bertujuan menghargai sumbangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada penduduk serta memantau kerja-kerja mengecat yang sedang dijalankan oleh kontraktor. Turut dimaklumkan bahawa permohonan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi skim Pengsapuri Kos Rendah dibuka bermula Oktober hingga Disember 2025 pada setiap tahun. Permohonan boleh dibuat kepada Jabatan COB dan akan dipanjangkan kepada KPKT.
Pihak MPS komited dalam menyokong usaha penyelengaraan dan menaik taraf perumahan demi kesejahteraan komuniti kediaman strata di Selayang.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Sukan bagi acara catur sempena Kejohanan MAKSAK Indoor Games 2025 yang berlangsung dari 19 hingga 22 Jun di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Kejohanan kali ini menyaksikan pencapaian membanggakan daripada Pasukan Catur MAKSAK Selangor yang berjaya meraih tiga pingat dalam acara Catur Blitz iaitu satu pingat emas dan satu pingat gangsa bagi kategori wanita, serta satu pingat gangsa bagi kategori lelaki.
Lebih membanggakan, dua pemain wanita Selangor turut dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Best Board 5 dan Best Board 7.
Berdasarkan jumlah kutipan mata keseluruhan, Pasukan Catur MAKSAK Selangor berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan kelima daripada 16 pasukan yang bertanding. Pencapaian ini membuktikan kekuatan, strategi dan komitmen tinggi pasukan dalam arena sukan catur peringkat perkhidmatan awam.
Sempena Kejohanan MAKSAK Indoor Games (Catur) di Johor Bahru, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selaku Pengerusi Biro Kebajikan dan Khidmat Masyarakat Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) mengambil kesempatan menyantuni Ahli PBBM di Johor Bahru.
Pada sesi kunjungan ini, MPS telah diwakili oleh Tuan TPr Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) MPS, Puan Noraswalziha binti Ibrahim Timbalan Pengarah, JPM MPS, dan Encik Dzaeim Faisal bin Lokman Ketua Unit Pembangunan Sukan, JPM MPS.
Kunjungan pada kali ini adalah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan disambut mesra oleh Dr. Mohd Nasir bin Masroom, Yang Dipertua Badan Kebajikan Staf UTM (BAKES UTM), Encik Rizam bin Rahmat, Timbalan Yang Dipertua BAKES UTM, dan Encik Zulkifli bin Ahmad, Setiausaha BAKES UTM serta barisan Jawatankuasa BAKES UTM.
Dua orang kakitangan UTM daripada kumpulan B40 telah menerima sumbangan kebajikan sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap kebajikan warga agensi.
Selain itu, kunjung hormat ini juga turut membincangkan aspek perancangan sumbangan kebajikan serta menggalakkan penglibatan sosial dalam kalangan Ahli PBBM selain daripada memupuk semangat khidmat masyarakat di kalangan ahli badan berkanun.
MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sambutan mesra pihak UTM bagi menjayakan usaha bersama yang bersifat inklusif serta berimpak sosial tinggi.
Diharapkan dengan adanya program seperti ini dapat terus memperkukuh jalinan kerjasama di kalangan Ahli-Ahli PBBM.
Taska Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan lawatan ke Wetland Studio, Putrajaya yang melibatkan seramai 53 orang peserta termasuk ibu bapa dan urusetia Taska MPS.
Bertemakan “School Out For Adventure”, lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai kepelbagaian spesis tumbuhan dan haiwan akuatik, selain memperkenalkan konsep ekosistem semula jadi yang menyumbang kepada keseimbangan kitaran bumi. Aktiviti seumpama ini juga dapat memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
MPS komited dalam menyokong program pendidikan awal kanak-kanak yang berteraskan pembelajaran luar bilik darjah demi pembangunan menyeluruh generasi muda.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan operasi bersepadu perobohan struktur pondok pengawal yang dibina tanpa kebenaran di Jalan 12/2, Bandar Country Homes, Rawang. Tindakan ini diketuai oleh Jabatan Bangunan MPS dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan jabatan dalaman MPS.
Operasi yang bermula pada jam 10 pagi itu berjalan lancar dengan penggunaan logistik seperti lori serta jentera backhoe, dan berakhir sekitar jam 11 pagi. Pelaksanaan tindakan ini adalah selaras dengan penguatkuasaan peraturan sedia ada bagi memastikan pembangunan yang lebih teratur serta bebas daripada struktur yang menyalahi undang-undang.
MPS akan terus menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil bagi mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.