2026
PROGRAM BIG GIRLS’ TALK MPS TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menganjurkan Program Big Girls’ Talk MPS 2026 di SMK Bandar Tasik Puteri, Rawang bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar perempuan mengenai isu sosial, kesihatan mental dan pembentukan sahsiah diri.
Program ini telah dihadiri oleh Puan Noraswalziha binti Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS serta Puan Maimon binti Salam, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), SMK Bandar Tasik Puteri. Ceramah telah disampaikan oleh Encik Fairuz bin Abu (Akhi Fairuz Al-Jengkawi), penulis e-buku Formula Mudahnya Mengajar Pendidikan Seksualiti kepada Anak Sendiri.
Seramai 60 orang pelajar perempuan Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 telah menyertai program ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial dan kesihatan mental, membentuk akhlak serta keperibadian yang positif, di samping memperkasakan remaja perempuan melalui ilmu pengetahuan, keyakinan diri serta kesedaran terhadap hak dan tanggungjawab sebagai seorang wanita.
Sepanjang program, para peserta mengikuti modul “Remaja Hebat Jauhi Maksiat” yang memberi penekanan kepada kepentingan membuat pilihan hidup secara bijak dan bertanggungjawab. Pengisian turut merangkumi perubahan ketika akil baligh, isu seksualiti dan jenayah seksual, serta cabaran remaja masa kini seperti budaya bercouple, vape, rokok, penyalahgunaan dadah, pornografi, child grooming, pedofilia dan buli.
Program ini merupakan antara inisiatif MPS dalam memperkasakan pembangunan sahsiah dan kesejahteraan remaja melalui penyampaian ilmu serta pendidikan pencegahan secara berterusan, sekali gus melahirkan generasi remaja perempuan yang berilmu, berakhlak mulia dan berkeyakinan tinggi.
LAWATAN PENANDA ARAS JAWATANKUASA AUDIT MPHS KE MPS
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan rasmi daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi sesi Lawatan Penanda Aras Jawatankuasa Audit MPHS ke MPS. Delegasi MPHS telah diketuai oleh YBrs. Tuan Mohammad Faridul Amini bin Suhaimi, Ahli Majlis MPHS merangkap Ketua Jawatankuasa Audit MPHS. Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBrs. Tuan Tan Lai Sen, Ahli Majlis MPS merangkap Ketua Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat MPS, diiringi Puan Norhayati binti Ahmad, Pengarah Jabatan Audit Dalam MPS.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh pelaksanaan fungsi audit dalaman di MPHS melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh MPS. Selain itu, sesi ini turut menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta berkongsi pendekatan inovatif dalam memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan proses kerja audit.
OPERASI PENGUATKUASAAN ALAM SEKITAR
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Alam Sekitar di kawasan komersial Taman Sri Batu Caves. Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan setiap premis komersial menyediakan tong sampah individu. Arahan turut dikeluarkan kepada pemilik premis supaya membuang sampah di lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak MPS. Sebanyak 126 premis telah diperiksa dan 8 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Operasi ini turut melibatkan penutupan 3 pusat tong sampah yang telah mengakibatkan limpahan sampah serta dijadikan lokasi pembuangan sisa industri secara haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Susulan penutupan pusat tong sampah tersebut, kutipan sampah akan dilaksanakan oleh KDEBWM secara pintu ke pintu bagi setiap premis komersial.
Operasi ini turut disertai oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, MPS
Orang ramai diingatkan supaya tidak membuang sampah di kawasan awam atau di lokasi yang tidak dibenarkan oleh pihak MPS. Sebarang pelanggaran terhadap arahan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM1,000.00 di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007.