Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan rasmi daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi sesi Lawatan Penanda Aras Jawatankuasa Audit MPHS ke MPS. Delegasi MPHS telah diketuai oleh YBrs. Tuan Mohammad Faridul Amini bin Suhaimi, Ahli Majlis MPHS merangkap Ketua Jawatankuasa Audit MPHS. Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBrs. Tuan Tan Lai Sen, Ahli Majlis MPS merangkap Ketua Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat MPS, diiringi Puan Norhayati binti Ahmad, Pengarah Jabatan Audit Dalam MPS.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh pelaksanaan fungsi audit dalaman di MPHS melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh MPS. Selain itu, sesi ini turut menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta berkongsi pendekatan inovatif dalam memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan proses kerja audit.