2026
MAJLIS MENDENGAR AMANAT KPKT TAHUN 2026
Warga kerja Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah turut mengikuti siaran langsung Amanat Tahun 2026 oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang disampaikan secara dalam talian.
Siaran Amanat Tahun 2026 YB Menteri KPKT secara atas talian ini telah dihadiri seramai 50 orang kakitangan MPS yang diadakan bertempat di Bilik Keraian, Menara MPS.
Dalam amanat tersebut, YB Menteri menzahirkan penghargaan atas pelbagai pencapaian KPKT sepanjang tahun 2025 dan menyeru seluruh warga kementerian serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan pada tahun 2026. Beliau turut menegaskan kepentingan nilai, sikap dan budaya kerja yang menjadi asas ketelusan serta profesionalisme dalam perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat dan negara.
YB Menteri juga memperkenalkan satu iltizam serta pendekatan kerja yang lebih mudah diingati dan diamalkan oleh semua warga KPKT, iaitu ABCDT – Amanah, Bersih, Cekap, Disiplin dan Team (Kerja Berpasukan).
Menurut beliau, ABCDT bukan sekadar slogan, tetapi merupakan prinsip kerja yang perlu dijadikan panduan oleh seluruh anggota organisasi, daripada peringkat pengurusan tertinggi hingga ke peringkat pelaksana.
Dalam sesi yang sama, YB Menteri turut melancarkan Pelan Strategik KPKT 2026–2030, sebagai dokumen hala tuju bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dan pembangunan komuniti pada masa hadapan.
BENGKEL PEROLEHAN BEKALAN DAN PERKHIDMATAN
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Bengkel Perolehan Bekalan dan Perkhidmatan bagi memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan proses perolehan di pihak MPS. Bengkel ini berlangsung di Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong.
Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPS dalam memastikan tatacara, dasar dan prosedur perolehan dipatuhi dengan lebih sistematik serta selaras dengan garis panduan semasa. Melalui sesi ini, para peserta diberi pendedahan mendalam mengenai kaedah pengurusan perolehan yang lebih telus, teratur dan berkesan, termasuk peranan serta tanggungjawab pihak-pihak berkaitan.
MPS amat menghargai komitmen serta kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran ini, dan berharap bengkel berkenaan dapat memberi manfaat serta meningkatkan profesionalisme dalam urusan perolehan pada masa hadapan.
GOTONG-ROYONG DI GERAI MPS
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Bahagian Pengurusan Harta, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPS telah melaksanakan program gotong-royong di kawasan gerai MPS di Pinggiran Indah yang melibatkan seramai 37 orang kakitangan MPS.
Program ini diadakan bertujuan untuk memastikan persekitaran gerai berada dalam keadaan bersih, selamat dan teratur melalui aktiviti penebangan pokok-pokok besar, kerja-kerja mencantas pokok serta pembersihan kawasan dan longkang.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MPS dalam memelihara kebersihan persekitaran serta memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik.
KUNJUNGAN HORMAT PENGURUSAN TERTINGGI FAMA KE MPS
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima Kunjungan Hormat Pengurusan Tertinggi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berlangsung pada 16 Januari 2026 bertempat di Bilik Anggerik, Menara MPS.
Kunjungan delegasi seramai 15 orang ini telah diketuai oleh YBrs. Tuan Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA dan disambut oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang.
Tujuan kunjungan ini adalah bagi memperkukuh hubungan kerjasama sedia ada di samping membincangkan potensi kerjasama strategik antara FAMA dan MPS, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi setempat serta kesejahteraan komuniti.
Turut hadir mewakili MPS ialah Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat; Puan TPr. Noriza binti Bahari, Pengarah Jabatan Bangunan; Puan Sr. Norshima binti Norzlan, Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan; Tuan Haji Mohd Syukri bin Abdullah Zawawi, Pengarah Jabatan Pelesenan serta Puan Rohayu binti Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Perbendaharaan.
Diharapkan kunjungan ini dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dan berimpak positif demi pembangunan mampan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang.
PERTANDINGAN PREMIS MAKANAN BERSIH & TANDAS BERSIH, MENAWAN, WANGI (BMW) ZON 12 2025
Sesi penilaian akhir bagi Pertandingan Premis Makanan Bersih & Tandas Bersih, Menawan, Wangi (BMW) Zon 12 Tahun 2025 telah diadakan di Pasar Taman Selayang Jaya dengan penglibatan panel juri daripada Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 20, Ahli Majlis MPS Zon 7, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak (PKD Gombak) serta wakil Pasaraya Mydin.
Daripada 44 premis yang dipertandingkan, lapan premis terbaik telah terpilih ke peringkat akhir, iaitu:
- Kim Kee The Local Cuisine
- Vcentury PLT
- Restoran Heija Huan
- Restoran Har Sin Sin
- Domino’s Pizza
- Restoran Lao Wei Dao
- Jaya Home Recipe
- Chong Delicious Pastry
Untuk makluman, MPS telah menganjurkan Pertandingan Premis Makanan Bersih & Tandas Bersih, Menawan, Wangi (BMW) Zon 12 Tahun 2025 yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 30 November 2025.
Majlis perasmian bagi pertandingan ini telah berlangsung pada 30 September 2025 bertempat di Taman Selayang Jaya dan disempurnakan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud; Penolong Setiausaha MPS dengan kerjasama Tuan U Chin Ong; Ahli Majlis MPS Zon 12, Hotel Richbaliz dan Pasaraya Mydin. Program ini turut dimeriahkan dengan pameran kesihatan dan keselamatan makanan daripada pelbagai agensi yang berkaitan.
Sebanyak 44 premis makanan sekitar Taman Selayang Jaya telah mengambil bahagian dan penilaian pertama telah dijalankan pada 17 Disember 2025 oleh panel penilai daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) serta Jabatan Pelesenan MPS.
Majlis penyampaian hadiah berupa wang tunai, sijil dan cenderamata kepada para pemenang dijadualkan berlangsung pada 28 Januari 2026. MPS berharap pertandingan ini dapat memupuk budaya kebersihan, meningkatkan kesedaran keselamatan makanan serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan sejahtera untuk komuniti setempat.
PENYERTAAN PROGRAM TEKNOLOGI DRON UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyertai Program Teknologi Dron Untuk Pembangunan Negara anjuran Drone Asia Academy yang telah berlangsung di Futurise Centre, Cyberjaya.
Program ini bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman berkaitan aplikasi teknologi dron dalam menyokong pembangunan negara, merangkumi sektor pertanian pintar, pemantauan alam sekitar dan pembangunan infrastruktur, termasuk demonstrasi operasi dron serta penggunaan data bagi tujuan perancangan dan pemantauan yang lebih berkesan.
Penyertaan MPS telah diwakili oleh pegawai dari Jabatan Pusat Setempat (OSC), iaitu:
* Mohd Nazhrullah Bin Abdul Rahim, Penolong Jurutera JA5
* Muhammad Hariz Bin Ismail, Pembantu Tadbir (P/O) N1
* Mohd Hasmizi Bin Hasan, Pembantu Khidmat Am H1
Penyertaan dalam program ini selaras dengan komitmen MPS untuk memperkukuh keupayaan dan adaptasi teknologi pintar dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda pembangunan mampan.
MAJLIS PENYERAHAN SURAT PENYIARAN KENAIKAN PANGKAT SECARA TIME-BASED TBK1 2026
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Y.M Tengku Kamarul Ariffin Bin Raja Jalil, Penolong Juruukur Bahan JA6 (KUP) yang telah menerima surat penyiaran kenaikan pangkat secara Time-Based TBK1 bagi tahun 2026. Ucapan tahniah ini turut dizahirkan sebagai penghargaan atas komitmen, disiplin, serta dedikasi berterusan beliau dalam melaksanakan amanah perkhidmatan.
Sesi penyerahan surat telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS dan disaksikan oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Semoga penganugerahan ini terus menyuntik semangat dan menjadi motivasi kepada semua warga kerja MPS untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan organisasi.
TAKLIMAT PENGENALAN & KESEDARAN MS ISO 90012015 & ISOIEC 270012022 MPS
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Taklimat Pengenalan dan Kesedaran MS ISO 9001:2015 – Sistem Pengurusan Kualiti serta ISO/IEC 27001:2022 – Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) bertempat di Dewan Keraian MPS.
Program ini merupakan inisiatif strategik MPS dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, menyeragamkan proses kerja serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan selaras dengan keperluan piawaian antarabangsa. Taklimat ini memberi pendedahan awal dan peneguhan kefahaman kepada warga kerja MPS, khususnya kakitangan lantikan baharu dan barisan hadapan, berkaitan prinsip, keperluan serta peranan masing-masing dalam pelaksanaan sistem pengurusan kualiti dan keselamatan maklumat.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh perunding bertauliah yang telah dilantik, merangkumi pengenalan kepada keperluan MS ISO 9001:2015 yang menekankan pendekatan berfokuskan pelanggan, pengurusan risiko, pematuhan prosedur serta penambahbaikan berterusan. Pada masa yang sama, pengenalan kepada ISO/IEC 27001:2022 memberi penekanan terhadap kepentingan perlindungan maklumat, pengurusan risiko keselamatan, kerahsiaan data serta tanggungjawab warga kerja dalam memastikan maklumat organisasi sentiasa dilindungi.
Melalui penganjuran taklimat ini, MPS komited untuk memastikan setiap perkhidmatan yang disampaikan kepada penduduk Selayang dilaksanakan secara sistematik, berintegriti, telus dan selamat. Program ini juga menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran serta persediaan MPS bagi mengekalkan pensijilan ISO secara berterusan, sejajar dengan aspirasi MPS ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti, berdaya saing dan dipercayai.
MPS merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan penyertaan aktif sepanjang sesi, dan diharapkan ilmu serta kefahaman yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam amalan kerja harian demi kecemerlangan MPS secara berterusan.
LAWATAN KERJA DELEGASI MBMB KE MPS
Delegasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi tujuan perkongsian pengalaman dan pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan serta sistem perakaunan di peringkat pihak berkuasa tempatan.
Lawatan yang diketuai oleh Ybrs. En. Muhammad Firdaus bin Sharif; Setiausaha Bandaraya MBMB turut disertai Pn. Siti Rahmah binti Ismail; Pengarah Kewangan, Tn. Ts. Adi Asharie bin Sani; Pengarah Teknologi Maklumat serta pegawai-pegawai MBMB. Delegasi MBMB disambut oleh pihak MPS yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Az'har bin Samsuri; Timbalan Yang Dipertua; Puan Zuriati binti Karia, Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Puan Rohayu binti Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Perbendaharaan.
Sepanjang sesi tersebut, kedua-dua pihak telah mengadakan taklimat dan perbincangan menyeluruh meliputi penggunaan sistem kewangan berkomputer, pengurusan proses perakaunan, pelaksanaan bajet tahunan, amalan terbaik dalam mengurus cabaran kewangan semasa, serta pendekatan meningkatkan kecekapan melalui pengaplikasian sistem teknologi maklumat.
Lawatan ini juga membuka ruang kepada pertukaran pandangan yang konstruktif dan perkongsian amalan terbaik antara MPS dan MBMB sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama strategik serta usaha ke arah peningkatan tadbir urus kewangan yang lebih cekap dan berkesan.







