Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2023

Program Jom Teroka Selayang

Program Jom Teroka Selayang

Sebanyak 48 pasukan yang terdiri daripada orang awam, agensi kerajaan, JKP Zon Ahli Majlis dan kakitangan MPS telah menamatkan Program Jom Teroka Selayang anjuran Majlis Perbandaran Selayang bersama Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS dengan jayanya pada 27 Ogos 2023. YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS telah menyempurnakan pelepasan bagi 'treasure hunt' ini.

Objektif bagi program ini adalah bagi memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik di bawah kawasan pentadbiran MPS. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan yang telah diberikan mengikut checkpoint di lokasi seperti Gua Damai Extreme Park, Taman Rimba Templer, Batu Caves, Muzium Orang Asli, Tasik Biru Kundang dan lain-lain. Konsep penerokaan ini dapat menyuntik semangat kerjasama berpasukan, semangat setia kawan dan melatih minda serta kecergasan diri.

Tahniah diucapkan kepada pasukan '019 - Cuba Nasib Nak Menang' yang berjaya dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000. Manakala pasukan '049 - Marhaen Warrior' sebagai naib juara dan memenangi wang tunai RM1,500, pasukan '037 - Ninja Warriors' di tempat ketiga dengan wang tunai berjumlah RM1,000, pasukan '020 - Tiny Tigers' di tempat keempat dengan wang tunai RM800 dan pasukan '017 - Team Baru Nak Up' di tempat kelima dengan wang tunai RM500. Tempat keenam hingga kesepuluh juga telah berjaya membawa pulang wang tunai RM300 setiap pasukan.

Bersempena dengan Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos, pasukan '023 - Healing Ke Tu' telah berjaya memenangi kategori 'Kereta Paling Patriotik' pada program ini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200 beserta hamper. Turut diadakan sesi cabutan bertuah kepada semua yang bertanding. Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS telah menyampaikan hadiah pada majlis penutup program ini.

Turut hadir Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha, Ahli-Ahli Majlis MPS dan para pengarah jabatan MPS.

Semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada urus setia penganjur dan semua pasukan yang turut serta dalam Program Jom Teroka Selayang! Anda semua memang terbaik!

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

Program Jom Teroka Selayang 2023

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran

Sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Cawangan MPS yang ke-8, pihak ANULAE MPS telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran pada 25 Ogos 2023 bertempat di Dewan Keraian, Menara MPS.

Bacaan Yasin diketuai oleh Encik Mohd Asmadi bin Abdullah dari Jabatan Pusat Setempat dan Encik Muhammad Zulhelmy bin Sapawi dari Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan. Turut hadir pada majlis ini YBhg. Dato’ Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS, Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS, Puan Ruzani binti Sohot, Pengerusi ANULAE MPS serta pengarah-pengarah jabatan MPS.

Sesi serahan sumbangan khairat kematian kepada tiga orang wakil kakitangan MPS dan penyerahan sumbangan konvoi motosikal kakitangan MPS ke Thailand turut diadakan. Semoga majlis yang diadakan pada hari ini akan mendapat keberkatan dan rahmat inayahnya dari Allah SWT.

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

MPS Roboh Struktur

MPS Roboh Struktur

Kegagalan pemilik struktur bangunan terbuka iaitu stor kilang penyimpanan jentera untuk mematuhi dua notis sebelum ini mengakibatkan struktur itu telah dirobohkan oleh pihak MPS pada hari ini di Lot 168, Jalan D/A 6, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor.

Tindakan perobohan ini adalah hasil pemantauan selain aduan yang telah diterima daripada penduduk sekitar. Pemilik bangunan didapati membina bangunan tanpa kelulusan di atas tanah rizab yang merupakan kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133).

Operasi Bersepadu yang diketuai oleh Encik Azman Hisyam bin Kamarudin dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Bangunan MPS telah bermula pada pukul 10.00 pagi dan melibatkan seramai 45 orang dari jabatan dalaman MPS, Tenaga Malaysia Berhad serta Polis Diraja Malaysia. Operasi Bersepadu ini telah tamat pada pukul 11.00 pagi dengan lancar tanpa sebarang halangan atau provokasi daripada pemilik struktur bangunan dan orang awam.

MPS ingin mengingatkan kepada pemilik bangunan agar lebih peka dan mematuhi undang-undang serta standard keselamatan struktur bangunan yang ditetapkan atau tindakan tegas bakal diambil oleh pihak berkuasa.

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

MPS Roboh Struktur 2023

Kilang Sembelihan dan Memproses Ayam Diarah Tutup

Kilang Sembelihan dan Memproses Ayam Diarah Tutup

Perbuatan tidak bertanggungjawab oleh pemilik Premis Kilang Sembelihan dan Memproses Ayam di Taman Selayang Utama pada 24 Ogos 2023 telah menyebabkan longkang di kawasan persekitaran kotor, tersumbat dan berbau busuk. Tambah menjijikkan, sisa ayam seperti bulu ayam, isi dalam ayam dan juga darah ayam telah masuk ke saliran Indah Water Konsortium (IWK) sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

Tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan & Establisyment Makanan 2007 iaitu penutupan serta-merta selama 14 hari atau sehingga premis dibersihkan secara menyeluruh kepada pemilik premis telah dikenakan susulan daripada siasatan oleh Unit Kawalan Mutu Makanan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS serta aduan daripada portal SISPAA-MPS. Pemilik premis juga dikenakan tindakan kompaun di bawah Sek 19(1)d UUK E. Makanan MPS 2007 berjumlah RM500 iaitu pelepasan effluen seperti darah dan bulu ayam terus ke dalam longkang.

MPS akan terus membuat pemantauan secara serius dan pemilik premis perniagaan adalah diarahkan untuk mengikut spesifikasi, mematuhi garis panduan dan arahan yang telah ditetapkan atau tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang berkenaan.

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

Kilang Sembelihan dan Memproses Ayam Diarah Tutup 2023

Pemantauan Aktiviti Sampah Haram Diteruskan

Pemantauan Aktiviti Sampah Haram Diteruskan

Pemantauan aktiviti pembuangan sampah haram diteruskan lagi oleh anggota Penguatkuasa dan Keselamatan MPS pada 23 Ogos 2023 Tanah Lot 17513 dan 2578 Belakang Masjid Zakaria, Gombak. Pemantauan mendapati sebuah lori sampah telah membuang sampah haram dan lori tersebut telah ditahan seterusnya disimpan di depoh sitaan. Tindakan telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS) 2007.

MPS ingin mengingatkan individu, pemilik lori atau syarikat untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan jika ingkar, tindakan tegas boleh diambil. 

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

Pemantauan Aktiviti Sampah Haram Diteruskan 2023

Program CSR Penanaman Pokok Rizab Jalan Dengan Kerjasama Daikin Malaysia, I-Green Landscape Dan Pro T

PROGRAM TANAM POKOK DI BRP

Program CSR Penanaman Pokok Rizab Jalan dengan kerjasama Daikin Malaysia, I-Green Landscape dan Pro T telah dirasmikan oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS pada 19 Ogos 2023 bertempat di Jalan BRP 7, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini memfokuskan kepada penanaman pokok di kawasan tanah rizab di mana telah melibatkan seramai 90 peserta. Sejumlah 6 pokok salam dan 1,700 pokok renek jenis kesinai serta jasmine telah ditanam. Inisiatif kolaboratif ini secara tidak langsung memberi kesan positif kepada semua pihak seterusnya dapat meningkatkan kualiti kawasan persekitaran pentadbiran Selayang untuk manfaat komuniti setempat.

Terima kasih kepada pihak Daikin Malaysia, I-Green Landscape dan Pro T atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Turut hadir Tuan Mitsuo Honda, Naib Presiden Kanan, Daikin Malaysia Sdn. Bhd.; Tuan Tan Yong Cheem, Naib Presiden, Daikin Malaysia Sdn. Bhd.; Encik Lim Fuang Yong, Pengarah Urusan, I-Green Landscape Sdn. Bhd.; Encik Muhammad Nur Aizat bin Hairuddin, Pengarah Projek, PRO T Sdn. Bhd.; Tuan Ng Kok Chuan, Ahli Majlis Zon 22 MPS dan para pengarah jabatan MPS.

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

PROGRAM TANAM POKOK DI BRP 2023

Program Gotong-Royong Majlis Perbandaran Selayang

PROGRAM GOTONG ROYONG BERSAMA KOLEJ KOMUNITI SELAYANG

Program Gotong-Royong Majlis Perbandaran Selayang dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang (2), Kolej Komuniti Selayang, Persatuan Penduduk Dataran Templer B dan Kakitangan Kuarters MPS telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS pada 19 Ogos 2023 bertempat di Laluan Persiaran 2, Bandar Baru Selayang.

Objektif gotong-royong ini diadakan bagi melakukan pengindahan kawasan rekreasi, kawasan berdekatan sekolah dan perumahan serta membaik pulih persekitaran. Ini bagi membolehkan laluan tersebut digunakan bagi aktiviti-aktiviti kecergasan fizikal dan rekreasi selain dijadikan laluan pejalan kaki dan pengangkutan tidak bermotor.

Terima kasih kepada pihak Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang (2), Kolej Komuniti Selayang, Persatuan Penduduk Dataran Templer B, Kakitangan Kuarters MPS dan komuniti setempat atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan bagi menjayakan program ini. Semoga program ini akan memberi impak yang positif terhadap persekitaran kawasan dan menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Turut hadir Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS; Puan Dayang Fauziah binti Awang Ismail, Guru Besar SK Bandar Baru Selayang (2); YBhg. Dato' Khairul Walid bin Mohamed, Yang Dipertua PIBG SK Bandar Baru Selayang (2); Tuan Brig. Jen. (Bersara) Haji Mohd Badran bin Ismail, Pengerusi Persatuan Penduduk Dataran Templer B; Encik Khairy bin Samingan, Pengerusi Kuarters Kakitangan MPS dan para pengarah jabatan MPS.
 
 #selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

PROGRAM GOTONG ROYONG BERSAMA KOLEJ KOMUNITI SELAYANG 2023

Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antara Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Dan Media Prima Omnia

PERLAWANAN BOLA SEPAK MPS DAN MEDIA PRIMA

Perlawanan Persahabatan Bola Sepak antara Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Media Prima Omnia telah diadakan pada 19 Ogos 2023 bertempat di Stadium MPS.

Pasukan MPS diketuai oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS manakala pasukan Media Prima Omnia diketuai oleh Tuan Shanaz Azali, Pengurus Besar Media Prima Omnia. Melalui perlawanan ini, ia dapat menjalinkan hubungan baik dan kerjasama strategik di antara MPS dengan Media Prima Omnia.

Perlawanan berakhir dengan pasukan MPS menewaskan pasukan Media Prima Omnia dengan skor jaringan 4-0. YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS, Tuan Mohd Anis Abdullah, Pengurus Media Prima Omnia, para pengarah jabatan, Ahli Majlis serta lebih 200 orang penonton turut hadir memberi sokongan. 

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan atas semangat kesukanan yang tinggi.

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

PERLAWANAN BOLA SEPAK MPS DAN MEDIA PRIMA 2023

Lagi Lori Sampah Disita 2

Lagi Lori Sampah Disita 2

Pemantauan aktiviti pembuangan sampah haram pada 16 Ogos 2023 mendapati dua buah lori sampah telah membuang sampah haram di Tanah Lot 17513 dan 2578 Belakang Masjid Zakaria, Gombak. Lori tersebut telah ditahan dan disita oleh anggota Penguatkuasa dan Keselamatan MPS seterusnya disimpan di depoh sitaan. 

MPS mengingatkan individu, pemilik lori atau syarikat sentiasa mematuhi undang-undang atau tindakan tegas akan diambil. 

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

Lagi Lori Sampah Disita 2 2023

Kempen Kibar Jalur Gemilang

PERHIMPUNAN BULANAN DAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG

MPS telah mengadakan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 pada 15 Ogos 2023 bertempat di Dataran MPS. YBhg. Dato Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua telah merasmikan kempen ini dengan penyerahan t-shirt Hari Kebangsaan untuk dipakai oleh kakitangan MPS pada setiap hari Jumaat sepanjang kempen ini berlangsung.

Turut diadakan serahan bendera kepada ketua-ketua WHIP dan Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua selaku wakil kakitangan MPS sebagai simbolik bagi Kempen Kibar Jalur Gemilang. 

MPS menyeru kepada semua bangunan kerajaan, pemilik premis perniagaan, premis swasta serta rumah kediaman di seluruh kawasan pentadbiran MPS untuk menyokong kempen ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Pada akhir majlis ini semua hadirin bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh semangat sambil mengibarkan bendera dan sesi fotografi.

Hadir sama Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS, barisan Ahli-Ahli Majlis MPS, para pengarah jabatan MPS serta warga kerja MPS. 

#selayangkusayang
#mpssejahteramakmurbersama
#malaysiamadani
#kitaselangor

PERHIMPUNAN BULANAN DAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG 2023