Sekitar Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.
SUKANUN ini diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis bermula 3 sehingga 10 September 2023. Pada tahun ini, MPS mengambil bahagian dalam 3 acara iaitu golf, ping pong dan tarik tali melibatkan 45 kontinjen MPS yang diketuai oleh Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Golf MPS yang telah mendapat Johan bagi Kategori Nett manakala tempat ketujuh bagi Kategori Gross dan menjadikan MPS Naib Johan bagi keseluruhan Golf SUKANUN tahun 2023.
MPS amat berbangga dengan pencapaian ini dan mengucapkan terima kasih kerana mengharumkan nama Majlis Perbandaran Selayang
Tahniah dan syabas kepada pasukan Ping Pong MPS kerana layak memasuki pusingan akhir bagi Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) Tahun 2023 selepas mengalahkan pihak lawan, Majlis Bandaraya Shah Alam di separuh akhir dengan keputusan 3-1.
Pasukan MPS akan bertemu dengan pasukan Lembaga Hasil Dalam Negeri pada perlawanan akhir ping pong yang akan diadakan pada hari ini. Selamat maju jaya kami ucapkan kepada para pemain
Tahniah kepada yang bertuah terpilih bagi Program Semangat Patriotik Saya sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Anda juga ingin menjadi yang bertuah? Kibarkan dan hiaskan rumah kediaman anda mengikut kreativiti dan 10 pemenang lagi akan dipilih secara rawak untuk memenangi hadiah wang tunai RM50.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPS di talian 0361265824.
Sebagai sokongan kepada kontinjen MPS bagi sukan golf, ping pong dan tarik tali yang bakal bertanding di Karnival Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (Sukanun Ke-12) 2023, satu Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukan MPS telah diadakan pada 30 Ogos 2023 bertempat di Lobi Menara MPS.
Penyerahan bendera telah diberikan kepada ketua pasukan dan wakil sebagai simbolik kepada para kontinjen. Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS. Untuk makluman, Sukanun ke-12 ini akan diadakan pada 3 hingga 10 September 2023 bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perlis. Seramai 45 kakitangan MPS akan terlibat sepanjang Sukanun berlangsung.
Semoga semua atlet dapat memberikan tumpuan seterusnya peroleh kemenangan dan mengharumkan nama Majlis Perbandaran Selayang.
Seramai 100 kakitangan MPS bersama-sama mengimarahkan Malaysia Quran Hour Peringkat Majlis Perbandaran Selayang Tahun 2023 pada 30 Ogos 2023 bertempat di Surau MPS.
Dengan bertemakan "Malaysia Berakhlak Mulia : Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar", Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr telah dibaca secara serentak di seluruh Malaysia agar dapat melahirkan pemuda-pemuda berkemahiran (mastery) dalam membina projek untuk pembangunan negara sekaligus melahirkan para pemimpin untuk masa hadapan. Bacaan surah dan tadabbur telah diketuai oleh Ustaz Md. Ghazali bin Ibrahim dari Akademi Al-Ghazali.
Turut hadir YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS, Tuan Haji Az'har bin Samsuri, Penolong Setiausaha MPS dan para pengarah jabatan MPS.
Laungan 'Merdeka, Merdeka, Merdeka!' oleh YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Selangor menggamatkan lagi kemeriahan suasana pada tengah malam 31 Ogos 2023.
Pelbagai acara telah diadakan pada malam penuh bermakna ini seperti perarakan kontinjen, persembahan anggota beruniform dan pertunjukan bunga api serta persembahan pentas oleh artis terkenal. MPS turut menghantar kontinjen perbarisan pada malam sambutan Hari Kebangsaan ini.
Turut hadir YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi, Yang Dipertua MPS, Tuan Adi Faizal bin Ahmad Tarmizi, Timbalan Yang Dipertua bersama ketua-ketua agensi Negeri Selangor.
Program Edaran Risalah Kempen Kesedaran Cintai Sungai Kita bersama Ahli Majlis Zon 2 MPS telah diadakan pada 28 Ogos 2023 bertempat di Kampung Kerdas, Gombak.
Puan Norhayati Ahmad, Pengarah Jabatan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS telah menyerahkan 100 helai risalah kepada Encik Zulkifli Saharuddin, Penghulu Mukim Setapak yang kemudiannya akan diedarkan kepada penduduk di kawasan Kampung Kerdas.
Dalam program yang sama, turut diadakan taklimat tentang kesedaran berkaitan peranan penduduk di dalam menjaga kebersihan, memulihkan sungai dan pengindahan kawasan.
Diharapkan program ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada penduduk sekitar agar membuang sisa di tempat yang ditetapkan dan tidak membuang sisa sampah di dalam sungai demi menjamin kesejahteraan setempat.
Sekitar persediaan Pasukan Kontinjen MPS bagi persembahan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Selangor 2023 yang bakal diadakan pada 30 Ogos 2023 bermula 8.00 malam bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada sambutan ini antaranya program selawat dan munajat, persembahan artis terkenal, pertunjukan bunga api dan pelbagai lagi.
Ayuh turun beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan ini. Jumpa anda di sana!
Pemilik sebuah kilang memproses ayam tanpa lesen didapati masih berdegil dan meneruskan perniagaan seperti sedia kala walaupun pernah diserbu sebanyak dua kali dalam operasi bersepadu yang pernah dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang sebelum ini di Jalan Sungai Bakau, Rawang.
Untuk makluman, pemilik premis kilang pernah diberikan lesen sementara namun dibatalkan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui notis yang telah dikeluarkan pada 8 Februari 2023. Surat makluman pembatalan telah diserahkan kepada premis perniagaan pada 3 Ogos 2023 dan telah diarahkan untuk menghentikan aktiviti perniagaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat pemakluman pembatalan.
Selain itu, pelaksanaan operasi ini adalah kerana aduan orang awam yang terganggu dengan pencemaran bau, air dan serangga di kawasan persekitaran di mana lokasi memproses ayam tersebut adalah berhampiran dengan rumah kediaman. Malah premis itu juga didapati menumpahkan darah ayam dan air buangan terus ke dalam longkang.
Sehubungan itu, pihak MPS telah mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan empat kompaun, satu notis penutupan, sitaan dan pemotongan bekalan elektrik untuk lampu bangunan bagi tujuan pelumpuhan pengoperasian di kilang tersebut.
Notis dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007; UUK 27 (2), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007; UUK 19 (1) d, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007 dengan kompaun berjumlah RM1,000 maksimum setiap satu. MPS juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) kerana kesalahan penambahan dan perubahan dalaman premis dengan kompuan berjumlah RM12,500. Premis juga diarahkan untuk ditutup serta-merta selama 14 hari.
Operasi bersepadu yang diketuai oleh Tuan Ahmad Faisal bin Badiuzaman, Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS bersama-sama 69 anggota penguatkuasa dan jabatan dalaman MPS telah dimulakan pada pukul 3.00 pagi dan berakhir pada pukul 6.00 pagi pada 29 Ogos 2023 (Isnin) tanpa sebarang halangan atau provokasi daripada pemilik premis dan orang awam.
MPS memandang isu ini secara serius dan akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala haram ini. Pemilik premis diminta agar mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan atau tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.