Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

603-6126 5800 aduanmps@mps.gov.my

Laman Web Rasmi

Majlis Perbandaran Selayang

2025

PROGRAM KEMPEN DERMA DARAH SIRI 2-2025

PROGRAM KEMPEN DERMA DARAH SIRI 2-2025

PROGRAM KEMPEN DERMA DARAH SIRI 2/2025

12 Ogos 2025 | Lobi Menara MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui kerjasama erat antara ANULAE Cawangan MPS dan Pusat Darah Negara (PDN) telah menganjurkan Program Kempen Derma Darah Siri 2/2025 pada 12 Ogos 2025 bertempat di Lobi Menara MPS.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.30 petang ini turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS, bagi memberi sokongan moral kepada para penderma dan petugas.

Sambutan yang diterima pada penganjuran program kali ini amat membanggakan apabila seramai 102 orang berjaya menderma darah, sekali gus membantu menambah bekalan darah untuk kegunaan perubatan di seluruh negara. 

Pihak MPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma, petugas, dan pihak yang terlibat. Semoga usaha murni ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu yang memerlukan.

PROGRAM KEMPEN DERMA DARAH SIRI 2-2025

MPS SERTAI ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF)

MPS SERTAI ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF)

MPS SERTAI ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF)

12 - 15 Ogos 2025 | KLCC

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyertai ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025 yang berlangsung pada 10–15 Ogos 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre.

Jabatan Perancang Bandar MPS membuka reruai pameran di Hall 5, Aras G bagi mempamerkan inisiatif serta projek pembangunan bandar mampan kepada para pengunjung dari seluruh ASEAN. Turut hadir pada ASUF Forum ini Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS; bersama Tuan TPr. Affendei bin Samingan, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPS serta kakitangan MPS.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, dengan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming. Penyertaan ini mengukuhkan komitmen MPS dalam memperkukuh kerjasama serantau ke arah pembangunan bandar yang lestari dan inklusif.

ASEAN FUTURE CITIES AND REGIONS 2025

SESI AUDIT INSPEKTORAT ANUGERAH KHAS KESELAMATAN PERLINDUNGAN (IAKKP) 2025

SESI AUDIT INSPEKTORAT ANUGERAH KHAS KESELAMATAN PERLINDUNGAN (IAKKP) 2025

SESI PENGAUDITAN INSPEKTORAT ANUGERAH KHAS KESELAMATAN PERLINDUNGAN (IAKKP) TAHUN 2025

11 - 12 Ogos 2025 | Taman Rimba, Bukit Lagong

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan daripada Pejabat Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor susulan pencalonan MPS bagi Pengauditan Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (IAKKP) 2025 yang berlangsung pada 11 hingga 12 Ogos 2025.

Kunjungan ini diketuai oleh YBrs. Tuan A’ssri bin Hj. Ramli, Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor, bersama YBrs. Puan Nurul Adha binti Yahaya, Penolong Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor, serta barisan panel audit.

Majlis pembukaan telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS merangkap Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) MPS, sebelum diteruskan dengan semakan dokumen dan lawatan ke jabatan, bahagian, serta unit terlibat.

Penemuan daripada pengauditan ini akan menjadi rujukan penting dalam penambahbaikan aspek pematuhan keselamatan perlindungan secara holistik, merangkumi keselamatan fizikal bangunan, keselamatan persekitaran ICT, dan keselamatan dokumen rahsia rasmi di MPS.

MPS akan terus memastikan budaya keselamatan perlindungan ini menjadi amalan berterusan, demi memelihara integriti, kelancaran perkhidmatan, dan keyakinan masyarakat terhadap organisasi.

MAJLIS PENUTUP & PENYAMPAIAN HADIAH SELAYANG ESPORTS TOURNAMENT 2025

MAJLIS PENUTUP & PENYAMPAIAN HADIAH SELAYANG ESPORTS TOURNAMENT 2025

MAJLIS PENUTUP & PENYAMPAIAN HADIAH SELAYANG ESPORTS TOURNAMENT 2025

10 Ogos 2025 | 168 Park Mall, Selayang

Dengan visi memperkukuh komuniti e-sukan tempatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sekali lagi mencipta pentas besar untuk menyerlahkan bakat-bakat belia melalui Selayang eSports Tournament 2025 pada 9 Ogos 2025 bertempat di 168 Park Mall, Selayang.

Kejohanan ini merupakan inisiatif MPS dengan kerjasama 168 Park Mall, Selayang, khusus untuk mencungkil bakat-bakat belia dalam arena e-sukan. Selain menjadi pentas pertandingan, ia juga berperanan memupuk semangat kesukanan, disiplin serta kerjasama berpasukan dalam aktiviti digital yang sihat dan kompetitif. Ianya melibatkan tiga kategori permainan iaitu PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang dan FC25 (PlayStation 5).

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS, bersama Encik Edward Lam, Ketua Pengarah Eksekutif 168 Park Mall, Selayang, serta YBrs. Tuan Montazeri bin Nordin, Ahli Majlis Zon 11 MPS.

Keputusan pemenang adalah seperti berikut :

Mobile Legends

🥉Tempat Ketiga – RM1,000 : Kumpulan Gengar

Naib Johan – RM1,500 : Kumpulan DX King

Johan – RM2,000 : Kumpulan Kyzer

FC 25 (Bola Sepak Maya)

🥉Tempat Ketiga – RM500 : Kumpulan Bunohxn

Naib Johan – RM700 : Kumpulan Gamesmy Rasydan

🥇Johan – RM1,000 : Kumpulan Rajabos

PUBG Mobile

🥉Tempat Ketiga – RM1,000 : Kumpulan Celcomdigi Alliance

Naib Johan – RM1,500 : Kumpulan RW Junior

🥇Johan – RM2,000 : Kumpulan Sem9

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas pencapaian yang membanggakan ini. Penghargaan juga diberikan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang kejohanan ini berlangsung.

MAJLIS PENUTUP & PENYAMPAIAN HADIAH SELAYANG ESPORTS TOURNAMENT 2025

KURSUS PEMANDUAN ASAS KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA (4X4) MPS

KURSUS PEMANDUAN ASAS KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA (4X4) MPS

KURSUS PEMANDUAN ASAS KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA (4X4) MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

9-10 Ogos 2025 | Tanjung Malim, Perak

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Kursus Pemanduan Asas Kenderaan Pacuan Empat Roda (4x4) pada 9 hingga 10 Ogos 2025 bertempat di Teratak Riverview, Tanjung Malim. Program ini melibatkan seramai 28 peserta yang terdiri daripada pemandu jabatan, khususnya yang mengendalikan kenderaan 4x4.

Objektif pelaksanaan kursus ini bagi meningkatkan kecekapan pemanduan di pelbagai permukaan mencabar seperti jalan berbatu, berlumpur, berbukit dan kawasan off-road, di samping memberi pendedahan tentang penyelenggaraan serta sistem kenderaan pacuan empat roda. Dengan kemahiran ini, risiko kecelakaan dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan profesionalisme pemandu MPS.

Latihan ini dikendalikan oleh Wira Adventure Consultants yang berpengalaman dalam latihan dan simulasi pemanduan 4x4, dengan penyelarasan rapi oleh Bahagian Latihan dan Kompetensi MPS.

Kesemua peserta berjaya menamatkan kursus dengan cemerlang dan menerima sijil sebagai pengiktirafan. MPS yakin, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh akan dimanfaatkan dalam tugasan harian, seterusnya menyumbang kepada perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan berkualiti kepada masyarakat.

TAKLIMAT PELAKSANAAN GARIS PANDUAN DASAR PENETAPAN TAHAP KEBERSIHAN TANDAS (BMW)

TAKLIMAT PELAKSANAAN GARIS PANDUAN DASAR PENETAPAN TAHAP KEBERSIHAN TANDAS (BMW)

TAKLIMAT PELAKSANAAN GARIS PANDUAN DASAR PENETAPAN TAHAP KEBERSIHAN TANDAS BERSIH, MENAWAN & WANGI

8 Ogos 2025 | Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) telah mengadakan Taklimat Pelaksanaan Garis Panduan Dasar Penetapan Tahap Kebersihan Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BWM) sebagai salah satu syarat pembaharuan dan permohonan baharu lesen perniagaan bagi tahun 2026.

Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Ts. Hairudin bin Daud, Pengarah JPSPK MPS dan sesi penerangan telah disampaikan oleh Encik Zulkifli bin Mohammad, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi pencerahan berhubung pelaksanaan garis panduan ini. Turut hadir ialah Ahli Majlis MPS, wakil jabatan dalaman MPS serta wakil agensi yang berkaitan.

Melalui inisiatif ini, MPS terus melangkah ke hadapan dalam membudayakan persekitaran tandas yang bersih, menawan dan wangi (BMW) untuk semua pengguna.

PROGRAM SIRI JELAJAH PUBLISITI THE SULTAN OF SELANGOR'S CUP (TSSC) 2025 PERINGKAT MPS

PROGRAM SIRI JELAJAH PUBLISITI THE SULTAN OF SELANGOR'S CUP (TSSC) 2025 PERINGKAT MPS

PROGRAM SIRI JELAJAH PUBLISITI THE SULTAN OF SELANGOR’S CUP (TSSC) 2025 PERINGKAT MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

8 Ogos 2025 | Lobi Menara MPS

Siri Jelajah Publisiti The Sultan of Selangor’s Cup (TSSC) 2025 memilih Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai destinasi persinggahan kedua di Negeri Selangor dalam usaha menyemarakkan promosi menjelang perlawanan berprestij pada 27 September 2025 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Bertempat di Lobi Menara MPS, program ini menggabungkan kemeriahan aktiviti dan semangat kesukanan dalam kalangan warga kerja MPS.

Antara pengisian menarik termasuk Kuiz Kahoot khas yang menguji pengetahuan peserta mengenai sejarah dan fakta TSSC. Selain itu, majlis turut menyaksikan penyerahan tiket perlawanan oleh YBhg. Tan Sri Abd Karim bin Munisar, Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC, kepada YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS. Penyerahan seterusnya dilakukan kepada Ketua-Ketua Whip bagi mewakili Ahli Majlis MPS dan diteruskan kepada Ketua-Ketua Jabatan.

Turut hadir, Yang Dihormatkan Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Orang Besar Daerah Gombak, wakil pengurusan Red Giant FC Sdn. Bhd., para pemain veteran bola sepak Selangor, Ahli Majlis, Pengarah Jabatan serta warga kerja MPS.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan penuh aksi dan berprestij ini! Ayuh bersama-sama memeriahkan The Sultan of Selangor’s Cup 2025 pada 27 September di Stadium Merdeka. Tiket rasmi boleh didapati di setiap Siri Jelajah Publisiti TSSC atau Uncle K SACC Mall dan juga Concorde Hotel Kuala Lumpur. 

PROGRAM SIRI JELAJAH PUBLISITI THE SULTAN OF SELANGOR'S CUP (TSSC) 2025 PERINGKAT MPS

LAWATAN PENANDA ARAS DBKK KE MPS PERKONGSIAN SISTEM DOKUMENTASI ISO

LAWATAN PENANDA ARAS DBKK KE MPS PERKONGSIAN SISTEM DOKUMENTASI ISO

LAWATAN PENANDA ARAS DBKK KE MPS: PERKONGSIAN SISTEM DOKUMENTASI ISO SECARA DIGITAL

7 Ogos 2025 | Bilik Melur, Menara MPS

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan hormat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sempena lawatan penanda aras berkaitan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015. Lawatan yang berlangsung pada 7 Ogos 2025 bertempat di Bilik Melur, Menara MPS ini memberi tumpuan kepada sistem pangkalan data dalam talian yang digunapakai oleh MPS dalam pengurusan dokumentasi ISO.

Delegasi seramai sembilan orang dari DBKK diketuai oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan DBKK, telah disambut mesra oleh Puan Zulaina binti Abu Talib, Pengarah Jabatan Korporat MPS serta Puan Sr. Norshima binti Norzlan, Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan merangkap Ketua Dokumentasi MS ISO 9001:2015 MPS. Turut bersama dalam sesi ini ialah wakil daripada jabatan dalaman MPS.

Dalam sesi perkongsian tersebut, MPS telah membentangkan pengalaman lebih sedekad menggunakan sistem dalam talian bagi pengurusan dokumentasi ISO. Sistem ini terbukti berkesan dalam membantu penyimpanan dan pengurusan rekod secara sistematik, memudahkan pemantauan serta semakan berkala, dan pada masa yang sama menyokong pelaksanaan audit dalaman dan luaran dengan lebih efisien. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kawalan dokumen, malah menyumbang kepada amalan kerja digital dan mampan yang selari dengan aspirasi perkhidmatan awam masa kini.

MPS sangat berbesar hati dapat berkongsi amalan terbaik yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pengurusan kualiti, tetapi juga memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan. Diharapkan sesi lawatan ini dapat memberi manfaat bersama dalam usaha memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berkualiti kepada masyarakat.

SEMINAR KEHIDUPAN STRATA SEJAHTERA E-COB SIRI 3 2025 MPS

SEMINAR KEHIDUPAN STRATA SEJAHTERA E-COB SIRI 3 2025 MPS

SEMINAR KEHIDUPAN STRATA SEJAHTERA E-COB SIRI 3/2025 MPS

6 ogos 2025 | Dewan Simfoni, Taman Rimba Bukit Lagong

Seminar Kehidupan Strata Sejahtera e-COB siri ketiga anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diteruskan pada 6 Ogos 2025 bertempat di Dewan Simfoni Taman Rimba Bukit Lagong dengan mendapat penyertaan daripada 31 skim perumahan strata di bawah pentadbiran MPS.

Penganjuran seminar ini bertujuan memperkasa komuniti strata dengan pendedahan dan pemahaman menyeluruh terhadap aspek-aspek penting dalam kehidupan berstrata termasuk kepentingan pembayaran cukai taksiran, pengurusan aduan di skim masing-masing, peranan Sinking Fund dan Maintenance Fee, serta isu berkaitan haiwan peliharaan, sisa sampah dan pencegahan denggi.

Peserta turut berpeluang mendengar pembentangan dan perkongsian bermanfaat daripada barisan penceramah berpengalaman iaitu Puan Sr Farah Firdaerma binti Mohamed Nasokan, Ketua Bahagian Penilaian, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) MPS; Encik Muhd Kasri bin Muharddin, Pegawai Persekitaran, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPK) MPS; dan Encik Mohd Ismie bin Ismail, Penolong Pegawai Penilaian, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPS selain menyertai sesi perkongsian antara skim bagi memperkukuh hubungan serta amalan terbaik sesama komuniti.

MPS mengucapkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir dan berharap agar ilmu serta maklumat yang dikongsikan dapat dimanfaatkan ke arah pembangunan komuniti strata yang lebih cekap, harmoni dan sejahtera.

SEMINAR KEHIDUPAN STRATA SEJAHTERA E-COB SIRI 3 2025 MPS

MAJLIS PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM NEGERI SELANGOR 2025

MAJLIS PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM NEGERI SELANGOR 2025

MAJLIS PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM NEGERI SELANGOR 2025

4 Ogos 2025 | Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam

Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor 2025 anjuran Kerajaan Negeri Selangor telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025 serta peluncuran Kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) yang menjadi pemacu utama kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Sebagai simbolik kepada sambutan bulan kebangsaan, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah menyampaikan Jalur Gemilang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Selangor. Bagi pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jalur Gemilang telah diterima oleh Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS.

MPS kekal komited dalam menyokong pelaksanaan agenda reformasi ini serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan warga Selayang dan rakyat Negeri Selangor secara keseluruhan.