Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Bahagian Inovasi dan Kualiti, Jabatan Korporat telah menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Tahun 2026 pada 16 Julai 2026 bertempat di Dewan Simfoni, Bukit Lagong.
Sesi ini telah dihadiri oleh YBrs. Puan Norhayati binti Ahmad, Pengarah Jabatan Audit Dalam MPS selaku Ketua Jawatankuasa Audit Dalam EKSA. Turut hadir ialah Puan Ekmatul Manurah binti Ikhtiman, Ketua Bahagian Inovasi dan Kualiti, Jabatan Korporat merangkap Penyelaras EKSA MPS; barisan Pasukan Juruaudit Dalam; serta Penyelaras-Penyelaras Zon EKSA MPS.
Penganjuran sesi ini bertujuan sebagai persediaan menjelang pelaksanaan Audit Dalam EKSA yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 30 Julai 2026. Selain membincangkan keperluan pelaksanaan audit, sesi ini turut menjadi platform perkongsian pandangan dan penyelarasan antara Pasukan Juruaudit Dalam dengan Penyelaras Zon EKSA MPS bagi memastikan pelaksanaan EKSA dilaksanakan secara terancang, sistematik serta mematuhi kriteria yang telah ditetapkan.
Komitmen serta penglibatan aktif semua peserta sepanjang sesi ini memperlihatkan kesungguhan warga MPS dalam memperkukuh pembudayaan EKSA sebagai amalan kerja yang berkualiti, kondusif dan berterusan. Semangat kerjasama yang dizahirkan turut menjadi pemangkin ke arah memperkasakan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, sistematik dan berintegriti, selaras dengan slogan “EKSA AMALAN KAMI”.