Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Unit Integriti dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak telah melaksanakan program saringan ujian air kencing kepada warga kerja MPS pada 24 hingga 26 November 2025.
Program yang berlangsung di Dewan Keraian, Tingkat 8, Menara MPS ini bertujuan memastikan tahap disiplin serta pematuhan warga kerja terhadap dasar bebas dadah terus terpelihara.
Sepanjang pelaksanaan program ini, proses saringan dijalankan mengikut prosedur AADK dan berjalan lancar tanpa sebarang isu. Seramai 523 kakitangan telah berjaya disaring sepanjang tiga hari program tersebut.
Keputusan penuh saringan kini dalam proses pengesahan oleh pihak AADK dan akan dikemukakan kepada MPS sebaik sahaja diterima. Unit Integriti akan melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian berdasarkan ketetapan prosedur yang telah ditetapkan.