Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan bertempat di Lobi Menara MPS. Program ini dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua MPS dan turut sama pada program ini Tuan Haji Az’har bin samsuri; Timbalan Yang Dipertua MPS, dengan penglibatan 14 jabatan dalaman.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan MPS dalam memperkukuh komunikasi bersama penduduk. Ia memberi peluang kepada orang awam untuk menyuarakan pertanyaan dan aduan secara langsung kepada pegawai jabatan berkaitan, termasuk mendapatkan penjelasan terus mengenai isu-isu perbandaran.
Sebanyak 26 aduan dan pertanyaan telah diterima sepanjang program berlangsung. Antara Isu yang dikemukakan termasuk isu berkaitan kompaun, aduan kejiranan, isu berkaitan infrastruktur, masalah parkir serta pertanyaan mengenai proses kebenaran merancang.
Program ini telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya sebagai saluran perkhidmatan bersemuka yang lebih telus dan mesra rakyat.
Orang awam yang tidak berkesempatan hadir boleh menyalurkan aduan atau cadangan secara dalam talian melalui portal SPAB di
https://mps.spab.gov.my atau menerusi platform media sosial rasmi MPS.