Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor telah berkenan mencemar duli ke lokasi Santapan Tengah hari di Orchard Villa, Gombak dan merupakan lokasi keempat dan terakhir dalam siri lawatan GRS 2.0 di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum baginda berangkat meneruskan lawatan ke kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Selangor telah disambut meriah oleh wakil-wakil komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli dengan iringan paluan kompang. Baginda turut berkenan menyantuni rakyat serta beramah mesra bersama komuniti yang hadir.
Dalam lawatan tersebut, DYTM Raja Muda Selangor turut berkenan menyempurnakan sesi menandatangani plak sebagai simbolik lawatan sebelum bersama-sama menikmati santapan tengah hari dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan rakyat serta menyemarakkan semangat perpaduan, kebersamaan dan kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0.