Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan pembuangan sampah longgok, sisa industri dan sisa binaan yang dibuang secara haram di Taman Industri Bolton, Batu Caves.
Kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai hotspot pembuangan sisa bercampur oleh individu luar serta premis perniagaan, meskipun pusat tong sampah yang disediakan adalah khusus untuk kegunaan penduduk Kampung Gombak Indah. Tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram di kawasan tersebut telah menyebabkan persekitaran menjadi kotor dan tidak terkawal. Bagi mengelakkan penyalahgunaan, pemasangan tali kuning turut dilakukan bersebelahan pusat tong sampah sebagai langkah kawalan.
MPS mengingatkan orang ramai agar tidak membuang sampah di kawasan awam atau di lokasi yang tidak dibenarkan. Tindakan kompaun sehingga RM1,000 boleh dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007 terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut.
MPS menegaskan komitmen untuk terus memantau lokasi-lokasi berisiko serta mengambil tindakan tegas bagi memastikan kebersihan dan kualiti persekitaran sentiasa terpelihara.